15 Jan 2010

Akulah Pembunuh Bahasa!

Baru-baru ini, saya sempat berbual (“chat”) bersama-sama seorang rakan baru di Facebook. Saya terasa gembira apabila beliau menyatakan bahawa dirinya juga seorang pencinta Bahasa Malaysia. Malah, menurut beliau, beliau sering disangka orang Melayu.
.

(Saya pula menegaskan bahawa saya bercakap Bahasa Malaysia seperti orang Malaysia, bukan seperti orang Melayu. Akan tetapi, itu kisah lain.)

.

Bagaimanapun, saya sedikit hairan kerana beliau menggunakan bahasa SMS dan singkatan dalam komunikasi bertulis antara kami berdua. Apabila ditanya, beliau mengatakan bahawa beliau sudah terbiasa dengan bahasa SMS, singkatan dan bahasa rojak.

.

Menurut beliau, rakan-rakan di tempat kerja menggunakan bahasa rojak, bahasa tidak standard dan bahasa SMS dalam perbualan dan penulisan. Malah, kata beliau, mereka tidak dapat “menerima” jika beliau menggunakan bahasa yang betul semasa bercakap atau menulis; khususnya di ruang siber.

.

Maka, saya berhujah, bukankah beliau sebenarnya sama-sama menjadi pencemar, perosak, pemusnah dan pembunuh Bahasa Malaysia?

.

Jawapan yang diterima benar-benar membuatkan saya tersentak. Menurut beliau, sekiranya beliau seorang penulis buku atau seorang pakar bahasa, maka wajarlah beliau menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan sebagainya.

.

Memandangkan beliau bukan seorang penulis dan bukan seorang pakar bahasa, nampaknya beliau boleh terus menggunakan bahasa SMS, bahasa rojak dan bahasa yang tidak betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur bahasa dan sebagainya dalam urusan seharian; tetapi tetap mendabik dada mengiktiraf diri sebagai pencinta Bahasa Malaysia.

.

Akulah pembunuh bahasa!