13 Jun 2010

Menterjemah Karya

Sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” sudah diterjemah ke Bahasa Jerman dengan tajuk “Habt keine Angst, in eurem eigenen Häuschen zu wohnen” oleh Goethe-Institut Malaysia.
.

Saya turut menterjemah sajak berkenaan ke Bahasa Inggeris dengan judul “Fear Not to Live in Our Little Hut” untuk dikirim kepada editor sebuah majalah puisi di Amerika Syarikat. [BACA DI SINI]

.

Turut diterjemah ke Bahasa Inggeris adalah sajak “Datukku Bahasa Malaysia” kepada “Bahasa Malaysia, My Grandfather” dan “Sitayana” yang dikekalkan judulnya.

.

Saya amat bersetuju supaya penulis sendiri menterjemah karyanya ke bahasa lain. Apabila cerpen-cerpen saya diterjemah ke Bahasa Tamil untuk disiarkan di MinnalFM, saya akan terjemahkan secara lisan manakala biasanya Hemantha Kumar Nagappan akan menaip dalam tulisan Tamil. Contohnya, cerpen “Anjing” diterjemah kepada “Paasa Sangili” pada 2009.

.

Terus terang, saya kecewa dengan terjemahan cerpen “Yang Aneh-aneh” sebagai “Strange Things” pada 2009 dan “Nayagi” sebagai “Mistress of Destiny” pada 2009.

.

Kekecewaan saya bukanlah kerana terjemahan itu “salah” tetapi kerana terjemahan itu “kurang tepat”. Sesiapa yang ada penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang baik (atau sederhana pun sudah memadai, sebenarnya) akan menyedari hal ini.

.

Saya tidak pasti mengapa penerbit terbabit tidak terfikir untuk “membenarkan” saya membaca versi terjemahan sebelum buku diterbitkan. Sekurang-kurangnya kekurangan yang ada boleh dibetulkan sebelum karya sampai kepada khalayak antarabangsa.

.

Mungkin pada masa hadapan, sekiranya ada penerbit yang berminat menerbitkan karya saya dalam versi Bahasa Inggeris, saya akan meletakkan syarat bahawa biarlah saya sendiri melakukan kerja-kerja terjemahan; atau sekurang-kurangnya saya dibenarkan mengedit versi terjemahan itu sebelum diterbitkan.

.

Dalam hal ini, saya kagum dengan sikap Sharon Bakar yang meminta saya terjemahkan cerpen “Cat” untuk antologi yang sedang diselenggarakannya bersama Bernice Chauly. Maka, lahirlah “The Painted Cat” yang kini sedang dinilai untuk penerbitan.

.

Mungkinkah penerbit serta peminat sastera Bahasa Malaysia beranggapan Pejuang Bahasa Malaysia seperti saya tidak ada penguasaan bahasa-bahasa lain?