Pada 9 Mac 2010, saya menerima e-mel daripada Pengarah Goethe-Institut Malaysia, Dr Volker Wolf yang memaklumkan bahawa proses menterjemah sebuah sajak saya ke Bahasa Jerman sudah selesai.
Beliau kini sedang menyemak manuskrip Contemporary Malaysian and German Poems yang memuatkan sajak-sajak beberapa penyair Malaysia dan diterjemah sekumpulan pakar Bahasa Jerman untuk diterbitkan dalam masa terdekat.
Sebenarnya, saya dihubungi Dr Wolf pada 8 Mei 2009 melalui e-mel dan beliau memaklumkan bahawa pihak Goethe-Institut Malaysia berminat menterjemah sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” yang termuat dalam antologi Ratib Seribu Syair (Gapena: 2005).
Sajak berkenaan saya tulis khas untuk disampaikan sempena Ratib Seribu Syair anjuran Gapena pada 2-3 November 2001 dan acara itu tercatat dalam The Malaysia Book of Records.
Sajak ini turut dideklamasi pada Deklamasi Penyair Merdeka pada 28 Ogos 2004 di Dataran Karyawan, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Versi ringkas sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” saya deklamasikan bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sempena majlis pelancaran antologi Salam Malaysia (DBP: 2006) di Auditorium DBP pada 13 April 2007 atas undangan Norazian Ahmad.
Beberapa tahun sebelum itu, deklamasi sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” pernah juga dirakam di sebuah studio di IBC, Angkasapuri, Kuala Lumpur ; tetapi saya fikir pihak berkenaan sedikit “gentar” untuk menyiarkannya kepada umum.
Kini, saya gembira kerana “semangat” dan “atma” yang terkandung dalam sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” akan dapat dinikmati khalayak antarabangsa.
Tambahan: Sajak "Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri" turut dimuatkan dalam Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka (2013) yang dilancarkan pada 19 September 2013 di Putrajaya.