Masihkah saudara ingat akan sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang mengakibatkan tsunami di negara kita sebelum ini?
.
Catatan ini mula-mula dipaparkan di laman sesawang saya pada 24 Jun 2008 – TEPAT setahun selepas sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (24 Jun 2007).
.
[Saya paparkan semula di blog ini bagi tujuan dokumentasi selepas laman sesawang asal “hilang” – baca DI SINI.]
.
Pelbagai pandangan dan komen disiarkan di media cetak dan media alternatif sejak sajak itu tersiar di Mingguan Malaysia pada 24 Jun 2007. Tidak kurang juga SMS dan e-mel kecaman yang saya terima (dan masih saya simpan sebagai dokumentasi rasmi).
.
Antaranya, komen dan pandangan oleh Salbiah Ani, Nassury Ibrahim, Ibnu Ahmad al-Kurauwi, Aidil Khalid. (Sila klik pada nama untuk membaca komen yang dimaksudkan.)
.
Bagaimanapun, tahukah saudara bahawa sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” bukan sajak yang baru ditulis pada tahun 2007? Sajak berkenaan dikarang pada 18 Disember 2002 dan merupakan kesinambungan kepada sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa”!
.
Kedua-duanya disiarkan di laman Komuniti Penyair kendalian Dr Irwan Abu Bakar pada Disember 2002 selain dimuatkan dalam surat berita Kavya keluaran Januari 2003.
.
Mungkin juga sesiapa yang tahu (baca: ambil tahu) senario berkaitan isu Bahasa Malaysia @ Bahasa Kebangsaan pada waktu itu (penghujung tahun 2002) lebih memahami “semangat” dan “atma” sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.
.
Dalam pada kita memperkatakan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak beberapa tahun lalu, mungkin kita lupa akan “kejutan” yang diterima para pejuang bahasa pada Mei 2002 apabila Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Muhamad mengumumkan cadangan awal bahawa PPSMI akan dilaksanakan mulai Januari 2003. [BACA DI SINI]
.
Saya sebagai pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia tidak “mengeluh,” “melalak” atau “melatah” walaupun saya memang “terkejut” dengan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Julai 2002.
.
Sebaliknya, saya “membayangkan” suasana apabila PPSMI dimansuhkan “suatu hari nanti” dan Bahasa Malaysia kembali didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu.
.
Lalu, saya mengarang sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.
.
Menjelang perarakan anti-PPSMI pada 7 Mac 2009, Jimadie Shah dari Malaysiakini menghubungi saya melalui telefon pada 6 Mac 2009 dan bertanya adakah Kumpulan Sasterawan Kavyan akan menyertai Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, yang juga Penasihat Agung Kavyan, dalam perarakan itu.
.
Saya menjelaskan bahawa “Kavyan tidak pernah berdemonstrasi bagi membantah dasar kontroversi itu” dan laporan lengkap boleh dibaca DI SINI.
.
Pada 8 Julai 2009, saya turut menunggu dengan penuh debar pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pemansuhan PPSMI.
.
Harapan saya adalah supaya “semangat” yang dicetuskan oleh “Pe(r)juang(an) Bahasa II” pada 24 Jun 2007 – sebenarnya sejak Disember 2002 di ruang siber – tidak luntur dalam kalangan Bangsa Malaysia !
.
Sila maklum bahawa saya adalah pejuang dan pencinta bahasa. Apabila saya berjuang untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia, tidak pula bermakna saya memperlekeh martabat Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain.
.
Dalam pada itu, sila klik DI SINI untuk membaca ulasan “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II” oleh Nakhoda di laman Komuniti Penyair pada 26 Disember 2002.