25 Mar 2010

E-mel kepada Dato’ Hussamuddin, 18 Mac 2010

Tahniah dan syabas kerana akhbar Sinar Harian edisi Johor akan menjadi realiti dalam masa terdekat.
.

Selepas menjadi sebahagian anggota keluarga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd bermula 1 Februari 2010, izinkan saya mengemukakan sedikit cadangan ikhlas; khusus bagi Sinar Harian Johor.

.

Cadangan ikhlas saya adalah supaya sebelum Skuad Cakna dihantar ke daerah masing-masing di Johor, satu “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” diadakan secara intensif sekurang-kurangnya selama lima hari (Isnin-Jumaat).

.

Bengkel itu nanti wajib disertai sepenuhnya oleh wartawan (skuad), ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor Sinar Harian Johor yang kini berada di Shah Alam; sama ada sudah berpengalaman puluhan tahun atau baru setahun jagung; sama ada akan dihantar ke daerah-daerah di Johor atau akan bertugas di Shah Alam.

.

Pada “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” nanti, kesemua individu terbabit perlu dibimbing semula secara intensif mengenai gaya penulisan berita Sinar Harian, etika kewartawanan, objektiviti, perundangan, komunikasi inter-personal, cara mendapatkan bahan berita, penggunaan Bahasa Malaysia yang betul/standard, anti rasuah dan sebagainya.

.

Dato’ sendiri (bukan versi rakaman!) perlu hadir dalam satu slot pada “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” ini untuk menyampaikan visi serta meniupkan “roh” Sinar Harian ke dalam jiwa keluarga Sinar Harian Johor. (Jangan lupa mengazankan ke dalam telinga “anak-anak” yang baru lahir ini!)

.

Maka, seluruh “unit” Sinar Harian Johor akan mempunyai “gaya” yang sama; bermula daripada Skuad Cakna sehingga kepada editor. Gaya “pemikiran” kesemua mereka juga akan selari dan sehaluan dengan “Gaya Sinar Harian” – ada “kiblat”nya.

.

Selepas seminggu bersama-sama mengikuti “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian”, saya percaya akan wujud juga keakraban dan semangat kekeluargaan dalam kalangan kesemua mereka yang terlibat dalam Sinar Harian Johor: wartawan (skuad), ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor.

.

Apabila skuad sudah bertolak ke daerah masing-masing dan memulakan tugas, agak sukar untuk kesemua mereka (wartawan, ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor) bertemu dan bersemuka. Komunikasi lebih banyak melalui telefon dan e-mel; serta kurang komunikasi bersemuka.

.

Bagaimanapun, keakraban dan “kesamaan fikiran” yang dibentuk semasa bengkel “Gaya Penulisan Sinar Harian” pasti membantu mewujudkan semangat kekeluargaan dan “gaya penulisan” yang sama dalam kalangan kesemua mereka. Kesemua mereka juga mempunyai “kiblat” yang sama.

.

Saya optimis bahawa langkah penganjuran “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” secara intensif sebelum Sinar Harian Johor mula beroperasi mampu membawa perubahan besar dalam kalangan “anggota keluarga” Sinar Harian Johor; sekali gus merealisasikan wawasan Dato’ dalam memulakan akhbar Sinar Harian.

.

Demikian cadangan ikhlas saya. Semoga mendapat perhatian Dato’ tetapi sila abaikan jika difikirkan tidak penting.

.

Nota: Reaksi segera Dato’ Hussamuddin – “Saya setuju 100 peratus idea saudara. Nanti saya minta dilaksanakan.”