Wednesday, 16 June 2010

Panduan Menulis Intro Cerpen: Bahagian Dua

Benar-benar di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar. Tingkap yang terbuka telah memungkinkannya berbuat begitu dengan mudah. Jika tidak, tentu tubuhnya tercalar oleh kaca yang pecah.
..

Apakah reaksi anda semasa membaca perenggan di atas? Kalau sekali pun anda bukan peminat sastera, anda mungkin sahaja terasa suspens membaca kejadian yang dipaparkan di atas.

..

Hal ini adalah kerana kisah yang digambarkan di atas penuh dengan aksi yang di luar dugaan. Anda mungkin sahaja tertanya-tanya mengapa wanita itu tiba-tiba meluru ke arah tingkap dan melompat keluar. Apakah dia sedang cuba menyelamatkan diri daripada sesuatu? Atau mahu membunuh diri?

..

Sebenarnya, perenggan tadi merupakan perenggan pertama bagi cerpen berjudul “Yang Aneh-aneh” yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera (Mei 1996) serta termuat dalam kumpulan cerpen Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997).

..

Saya tidak mahu memperturunkan keseluruhan cerpen itu di sini. Sebaliknya saya mahu menjelaskan betapa perenggan pertama sebuah cerpen boleh menentukan kejayaan atau sebaliknya kegagalan sebuah cerpen. Kita juga akan melihat beberapa cara untuk memulakan cerpen dengan perenggan yang mampu menambat hati pembaca.

..

Perenggan pertama sering disebut introintroduction atau pengenalan. Dalam karangan ada pengenalan, isi dan penutup. Begitu juga dengan cerpen. Cuma, intro sebuah cerpen tidak semestinya memiliki ciri-ciri yang sama dengan bahagian pengenalan sebuah karangan sekolah.

..

Sebuah karangan mungkin dimulakan begini:

..

“Semua orang di dunia ini mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan. Saya juga mempunyai pengalaman seperti itu. …”

..

Atau:

..

“Budaya Melayu kaya dengan peribahasa. Salah satu peribahasa yang dikenali umum ialah ‘Air dicincang tidak akan putus’. Peribahasa ini membawa pengertian bahawa …”

..

Manakah yang lebih menarik perhatian anda? Intro cerpen “Yang Aneh-aneh” atau pengenalan dua buah karangan di atas? Saya percaya seorang manusia normal akan mengatakan bahawa intro cerpen tadi lebih banyak menimbulkan minat dan rasa ingin tahu terhadap apa yang terjadi dan bakal terjadi terhadap watak wanita itu.

..

Pembaca ingin tahu. Nah! Itulah rahsia dan petua utama semasa menulis intro sebuah cerpen. Perenggan pertama harus mampu mencengkam minat dan perhatian pembaca. Pembaca harus semacam ‘terpukau’ untuk terus membaca cerpen berkenaan. - [BERSAMBUNG]

...

(Uthaya Sankar SB, “Panduan Menulis Cerpen: Bahagian Dua”, Mingguan Wawasan, 1 April 1998)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!