5 Jul 2026

Apabila Mualaf Meninggal Dunia, Siapa Mewarisi Harta?

Ramai orang Bukan Islam yang mempertimbangkan untuk memeluk agama islam (“masuk islam”) menumpukan perhatian kepada soal akidah, ibadah, dan kehidupan baharu sebagai seorang muslim. Namun, ada satu perkara yang jarang dibincangkan secara terbuka iaitu persoalan pembahagian harta pusaka selepas kematian. Akibatnya, ramai mualaf hanya menyedari hakikat yang pahit apabila sudah terlambat.

Topik ini juga menjadi kandungan luahan perasaan beberapa individu yang menghubungi saya untuk berkongsi cerita. Mereka mengaku meninggalkan agama asal untuk masuk islam, dan kemudian terkejut apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai realiti yang tidak pernah mereka sangka dan jangka sebelum menjadi mualaf.

Situasi mereka amat berbeza dengan pengalaman saya secara peribadi yang sudah mengenali islam sepenuhnya—inside out—selama 50 tahun sebelum mengambil keputusan untuk “selamat tinggal”kan islam pada April 2022.

Sebuah tulisan bertajuk “Realiti mualaf, ibu bapa tak layak warisi harta?” (Sinar Harian, 2 Mac 2026) mengemukakan soalan yang amat penting. Saya berkongsi juga tulisan itu kepada individu mualaf yang masih jahil tentang isu berkaitan.

Dalam artikel itu, seorang mualaf yang masih menanggung ibu bapa yang Bukan Islam bertanya sama ada ibu bapanya boleh mewarisi hartanya jika dia meninggal dunia.

Jawapan yang diberikan Dr. Anne Ismail selaku pengasas dan pengarah urusan Pennawaris Sdn Bhd amat jelas: Menurut hukum faraid dan hadis sahih, orang Bukan Islam tidak boleh mewarisi harta orang islam, dan orang islam juga tidak boleh mewarisi harta orang Bukan Islam.

Hakikat ini bukan perkara baharu bagi saya yang pernah mengkaji islam secara mendalam. Hukum itu bersandarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Usamah bin Zaid yang bermaksud: “Orang islam tidak mewarisi harta orang kafir, dan orang kafir juga tidak mewarisi harta orang islam.” Prinsip ini turut disahkan dan dihuraikan dalam Sistem e-Faraid Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan menegaskan bahawa perbezaan agama merupakan salah satu halangan utama pewarisan.

Hukum faraid yang ditetapkan dalam quran, khususnya Surah An-Nisa, juga menekankan hal ini. Malangnya, ramai mualaf tidak menyedari implikasi besar hukum ini. Hakikat ini saya sedari hasil perbualan dengan sejumlah mualaf yang menghubungi saya.

Bayangkan seorang anak tunggal dalam keluarga kaum Cina atau India masuk islam. Dia terus menjalankan tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua, membayar sewa rumah mereka, menanggung kos perubatan, malah membeli rumah untuk mereka menggunakan hasil titik peluh sendiri.

Namun, jika dia meninggal dunia tanpa perancangan harta yang betul, ibu bapanya yang Bukan Islam tidak berhak menerima walau satu sen daripada harta pusaka tersebut menurut hukum faraid. Malah, dalam keadaan tertentu, harta itu boleh diserahkan sepenuhnya kepada Baitulmal jika tiada waris islam yang layak.

Perkara ini bukan sekadar teori. Bukan juga fakta yang saya reka sendiri! Lembaga Zakat Selangor menerusi kertas kerja “Pewarisan Harta Bagi Saudara Baru” oleh Mohd. Farid Mohd. Zainal menghimpunkan beberapa kes sebenar yang pernah berlaku di Malaysia. Bahan ini boleh dirujuk di laman sesawang Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Dalam kes Emily binti Abdullah @ Yeo Leng Neo yang meninggal dunia pada tahun 1996, sebahagian harta pusakanya diterima oleh suami muslim manakala baki diserahkan kepada Baitulmal kerana tiada waris islam lain yang layak.

Dalam kes Ooi Po Tsuan @ Zarina binti Abdullah pula, harta pusaka dibahagikan kepada suami, anak perempuan dan Baitulmal. Sekali lagi, waris Bukan Islam tidak menerima bahagian pusaka tersebut.

Lebih menyedihkan ialah kes Ramoo a/l Kuppusamy @ Abd. Rahman bin Abdullah. Beliau seorang mualaf yang kemudian berkahwin dengan wanita Hindu dan mempunyai tujuh orang anak. Apabila beliau meninggal dunia, timbul pertikaian besar kerana isteri dan anak-anaknya Bukan Islam.

Menurut rekod yang dibentangkan oleh Lembaga Zakat Selangor, keseluruhan harta pusaka Ramoo a/l Kuppusamy berjumlah lebih RM45,000 diserahkan kepada Baitulmal, manakala kedudukan dan hak waris Bukan Islam menjadi isu yang rumit.

Kes-kes seperti di atas menunjukkan bahawa konflik bukan sahaja berlaku selepas kematian, malah boleh memecahkan hubungan kekeluargaan yang selama ini terjalin baik. Ahli keluarga Bukan Islam mungkin berasa dikhianati atau tertipu kerana tidak pernah dimaklumkan tentang implikasi undang-undang dan hukum syarak yang berkuat kuasa ke atas ahli keluarga yang masuk islam.

Menurut as-Salihin Trustee Berhad, sebuah syarikat amanah islam yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 dan antara institusi terawal yang memberi tumpuan kepada perancangan harta secara patuh syariah di Malaysia, masalah utama ialah ramai orang islam tidak melakukan perancangan harta sebelum meninggal dunia. Akibatnya, harta menjadi beku, proses pentadbiran menjadi panjang, dan waris terpaksa berdepan pelbagai konflik yang boleh dielakkan lebih awal.

Dalam konteks golongan mualaf, kerumitan menjadi lebih besar kerana mereka sering mempunyai ibu bapa, adik-beradik, pasangan, atau anak-anak yang masih kekal dalam agama asal (Bukan Islam). Sistem e-Faraid MAIS menjelaskan bahawa waris Bukan Islam bukan sahaja tidak boleh menerima pusaka, malah mereka juga tidak dianggap sebagai waris yang boleh menghalang waris islam lain daripada menerima harta pusaka tersebut.

Apabila fakta seperti ini saya kongsikan dengan individu mualaf yang menghubungi saya, mereka terkejut dan terkebil-kebil kerana tidak pernah diberitahu dan tidak pernah ambil tahu tentang semua ini selama ini.

Situasi di Pulau Pinang berkaitan isu pewarisan mualaf juga sama. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 18-19 Ogos 2020 memutuskan bahawa perbezaan agama menghalang pewarisan secara faraid.

Oleh sebab itu, jika seorang mualaf di Pulau Pinang meninggal dunia sedangkan semua ahli keluarganya Bukan Islam, mereka tidak boleh menerima pusaka melalui saluran faraid biasa. Dalam keadaan tertentu, harta pusaka boleh berakhir di Baitulmal selepas urusan pentadbiran selesai.

Namun begitu, masih ada beberapa “lubang” yang boleh digunakan oleh seorang mualaf semasa hidup untuk menjaga kebajikan ahli keluarga Bukan Islam. Saya terpaksa menegaskan kepada individu mualaf yang menghubungi saya bahawa “lubang” itu hanya boleh dimanfaatkan (dimanipulasi) semasa mereka masih hidup.

Salah satu “lubang” atau cara paling mudah ialah menerusi hibah iaitu pemberian harta yang dibuat ketika seseorang masih hidup. Jika dilaksanakan dengan sempurna mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, harta yang dihibahkan individu mualaf kepada ahli keluarga Bukan Islam tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka selepas kematiannya.

Oleh itu, seorang mualaf boleh menghibahkan rumah, wang simpanan, atau aset tertentu kepada ibu bapa, adik-beradik, atau anak-anak yang Bukan Islam ketika masih hidup. Ingat: Hibah hanya boleh dilakukan semasa masih hidup.

Perkara ini turut dihuraikan secara terperinci oleh Abu Nuwairah, graduan Syariah Islamiyyah dari Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh menerusi portal Solusi Pusaka.

Sebagaimana saya nyatakan, ramai mualaf tidak memahami risiko sebenar apabila gagal membuat perancangan harta. Mereka menyangka keluarga Bukan Islam yang selama ini menerima nafkah daripadanya akan secara automatik menerima harta selepas kematian si mualaf itu.

Hakikatnya tidak begitu. Jika tiada hibah, wasiat, atau perancangan yang sah, keluarga Bukan Islam kemungkinan besar kehilangan hak ke atas harta yang selama ini dianggap milik bersama.

Selain hibah, terdapat juga “lubang” lain iaitu wasiat. Sistem e-Faraid MAIS turut menjelaskan bahawa seorang muslim (termasuk mualaf) boleh membuat wasiat kepada orang Bukan Islam. Namun, jumlah yang diwasiatkan lazimnya tidak boleh melebihi satu per tiga (1/3) daripada keseluruhan harta; kecuali mendapat persetujuan daripada waris muslim yang berhak.

Lembaga Zakat Selangor turut mengakui, kesedaran mengenai instrumen—atau apa yang saya sebut sebagai “lubang”—seperti hibah, wasiat, dan wakaf masih berada pada tahap yang rendah dalam kalangan masyarakat. Saya pula memberitahu individu mualaf dan keluarganya yang Bukan Islam bahawa “lubang” inilah sahaja yang mampu membantu memelihara hak waris islam dan Bukan Islam secara lebih adil serta mengurangkan pertikaian selepas kematian si mualaf terbabit.

Maka, saya sentiasa menasihati sesiapa yang bercadang masuk islam supaya terlebih dahulu memahami hakikat bahawa perubahan agama bukan sekadar melibatkan aspek kepercayaan dan ibadah. Ia juga membawa implikasi besar terhadap perkahwinan, status keluarga, hak penjagaan anak, pengurusan jenazah, dan pembahagian harta pusaka.

Sebagai individu yang mendalami islam—inside out—selama lima puluh tahun, apa yang saya kongsi bukan bertujuan menakutkan sesiapa, sebaliknya saya mahu supaya keputusan yang dibuat untuk masuk islam dilakukan dengan ilmu, kefahaman, dan kesedaran penuh.

Dalam banyak keadaan, masalah bukan berpunca daripada hukum faraid itu sendiri, sebaliknya susulan orang Bukan Islam tidak diberi penerangan secukupnya sebelum masuk islam.

Atas sebab itulah, setiap individu wajar mendapatkan nasihat dan ilmu secara menyeluruh sebelum meninggalkan agama asal. Dalam soal harta dan wang, perancangan awal yang dilakukan ketika masih hidup mampu mengelakkan pertikaian, salah faham, dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga Bukan Islam apabila si mualaf meninggal dunia.

Bacaan seterusnya: Dilema Orang Asli Diperdaya Masuk Islam

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]