Itulah pandangan saya terhadap isu-isu semasa kini, termasuk isu ‘Kamus Dewan’. Saya tidak faham mengapa akhbar Makkal Osai mempertikaikan penggunaan perkataan-perkataan yang sudah sekian lama wujud di dalam kamus ini... Ini adalah sebuah kamus, yang digunakan oleh semua peringkat sehingga dewasa. Jika mereka tidak mahu para murid menggunakan Kamus Dewan ini di sekolah kerana perkataan-perkataan yang mereka kira sensitif, cadangkan sahaja supaya satu ‘Kamus Dewan – Edisi Murid’ diterbitkan.
Dalam isu ‘Interlok’ dahulu, saya menyokong buku itu dimurnikan seperti saudara Uthaya Sankar SB daripada Kavyan kerana hakikatnya buku ‘Interlok’ itu telah pun dimurnikan terlebih dahulu. [BACA DI SINI] Ia bukanlah naskhah asal novel Interlok karangan Datuk Abdullah Hussain, tapi satu terbitan yang telah diubah suai atau dimurnikan untuk menyenangkan para murid memahaminya. Jadi tak salah kalau nak memurnikannya lagi sekali. Proses memurnikan buku telah lama berlaku di seluruh dunia. Malah jika kita ambil karya Sherlock Holmes tulisan Sir Arthur Conan Doyle, tidak ramai yang sedar bahawa watak Sherlock Holmes yang asal, ada menghisap dan mengambil dadah. Sejak dadah diharamkan di seluruh dunia, maka pihak penerbit buku pun memurnikan karya terbabit dan membuang fakta sedemikian.
Waktu zaman persekolahan saya dahulu, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu berdiri dengan sendiri dan tidak digabungkan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia. Kini sudah tiada dan diserapkan sebagai salah satu komponen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Ia dipanggil ‘Komponen Sastera’ atau akronimnya Komsas. Sebab itu teks sastera ini dipanggil teks Komsas. Bila digabungkan dua mata pelajaran jadi satu, nah sudah pasti tidak lengkap ilmu sastera yang dipelajari oleh para murid. Masa untuk memberi penerangan pun tentu tidak cukup. Sebagai seorang pelajar Kesusasteraan Melayu sewaktu di bangku sekolah dahulu, saya amat faham perbezaan belajar Bahasa Malaysia berbanding Kesusasteraan Melayu. Malah bagi saya guru yang terlatih dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, tidak semestinya terlatih untuk mengajar Kesusasteraan Melayu. Sebab itu waktu isu ‘Interlok’ ini timbul, saya mencadangkan kepada saudara Uthaya, supaya satu pembuka kata baru dimasukkan untuk menerangkan maksud perkataan-perkataan yang dikira sensitif. Ada juga rakan yang mencadangkan sistem nota kaki. Ini dapat membantu bukan sahaja para murid, tetapi juga para guru.
Tetapi saya dan juga Uthaya pada awalnya setahu saya, tidak pernah menyokong penarikan semula buku ‘Interlok – Edisi Murid’ itu daripada digunakan di sekolah. Saudara Uthaya bukanlah seperti sesetengah pihak yang mengambil jalan melampau sehingga membakar buku terbabit. Dia, seperti saya lebih gemar mencari jalan tengah.
Dan begitulah juga dengan isu ‘Kamus Dewan’ ini. Saya tidak menyokong tindakan Makkal Osai. Saudara Uthaya pun kata dia tidak mau masuk campur dalam hal yang ditimbulkan pihak Makkal Osai. Dahulu pun tahun 2009 sudah ada kes mahkamah tentang perkara yang sama, dimana pihak Angkatan Pelopor India Muslim [APIM] telah kalah secara teknikal apabila meminta supaya perkataan ‘Keling’ dibuang daripada Kamus Dewan.
Kita mestilah membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukan emosi. Perkataan ‘Keling’ sudah lama digunakan di Nusantara. Secara sejarahnya, ia ditujukan kepada kaum India yang asalnya berpindah ke Nusantara melalui suatu tempat di selatan India, bernama Kalingga. Sebab itu mereka dipanggil ‘Keling’ walaupun mereka tidak berasal dari Kalingga, hanya mengambil kapal di sana untuk belayar ke mari. Malah di zaman Melaka, benua India dipanggil benua Keling! Bukalah buku teks Sejarah Melayu, ada tertulis di dalamnya.
Dan, perkataan ini bukan digunakan untuk mengejek atau menghina kaum India pada waktu itu. Manakan mereka berani, sedangkan keluarga kerabat bendahara termasuk Bendahara Tun Mutakhir sendiri, asalnya daripada benua Keling! Sebab itu Sultan Melaka memanggil Bendahara dengan gelaran Mamak Bendahara, di mana perkataan ‘Mamak’ dalam bahasa Tamil bermaksud bapa saudara. Tun Mutakhir adalah bapa saudara Sultan Melaka!
Perkataan ‘Keling’ juga digunakan dengan banyak dalam perumpamaan Melayu. Di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, orang India memang selalu dipanggil ‘Keling’. Nama tempat pun ada menggunakan terma ‘keling’. Saya tahu kerana datuk saya orang Kedah, dan tidak pula saya lihat sahabat India dia marah-marah. Lainlah kalau dipanggil ‘Paria’, itu memang mencari nahas!
Tapi saya akui, perkataan ‘Keling’ ini juga telah menjadi satu perkataan menghina dan ejekan zaman sekarang. Saya sebagai generasi ‘muda’, sedar akan perkara ini sebab itu saya sendiri tidak memanggil sahabat India saya ‘Keling’. Dikatakan ia bermula sekitar tahun 70-an. Jika betul ia adalah satu fenomena baru, sebab itu datuk saya dan sahabat India dia tidak begitu kisah tentang hal ini.
Nah, bermakna sekarang ini perkataan ‘Keling’ membawa dua maksud. Apa yang dikatakan oleh Makkal Osai dan APIM ada betulnya. Tetapi jika saya setuju dengan mereka habislah semua teks sastera lama seperti Sejarah Melayu terpaksa dihapuskan! Juga apa yang dikatakan oleh orang Melayu yang mempertahankan maksud asal perkataan ‘Keling’ pun betul juga. Tapi kalau saya sokong mereka sahaja silap-silap boleh berlaku pertumpahan darah antara orang India dan orang Melayu! Jadi apakah jalan penyelesaiannya?
Bagi saya mudah. Orang yang matang akan menerima kedua-dua maksud bagi perkataan terbabit. Kalau saya menyokong pihak Makkal Osai dan APIM, bermakna saya menyokong satu kenyataan melampau atau ‘Ketuanan India’ sahaja. Jika saya menyokong kaum saya sendiri, iaitu orang Melayu, tindakan itu juga melampau dan berbaur ‘Ketuanan Melayu’. Yang saya mahu ialah keadilan berdasarkan fakta dan ‘Ketuanan Rakyat’. Dan, fakta menunjukkan, kedua-dua maksud adalah betul. Kadangkala satu-satu perkataan boleh berubah maksud, mengikut peredaran zaman, konteks ayat dan sebagainya.
Sebab itu dalam isu ‘Kamus Dewan’ ini, saya terkejut dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mengatakan kamus terbabit mestilah difahami berdasarkan fahaman kaum Melayu sahaja. [BACA DI SINI] Saya terkejut, dan begitu juga dengan saudara Uthaya dari Kavyan yang telah menulis penentangan beliau terhadap kenyataan Kementerian Pendidikan ini. [BACA DI SINI] Saya sokong tindakan beliau kerana bagi saya ini bukan hanya tidak adil, tapi satu kenyataan yang mustahil.
Bahasa Malaysia itu sendiri banyak menerima perkataan pinjaman daripada bangsa lain dan proses ini berterusan. Bahasa bukanlah satu entiti yang statik. Ia berkembang mengikut peredaran zaman. Bila datang orang Arab membawa Islam, kita tambah perkataan ‘Masjid’. Bila datang orang Portugis kita tambah perkataan ‘Almari’. Datang era IT, kita tambah perkataan ‘Komputer’. Maksud perkataan-perkataan ini bukanlah datangnya daripada orang Melayu, tapi daripada bangsa yang memperkenalkan perkataan ini kepada kita.
Di Malaysia, kita punya pelbagai bangsa. Maksud perkataan ‘gerek’ di Kedah ialah basikal. Tapi jika di Sarawak, ‘gerek’ adalah kekasih. ‘Bah’ di Semenanjung bermaksud ‘ombak’ tetapi di Sabah ia membawa pelbagai maksud termasuk ‘ya’. Perkataan ‘Mamak’, bagi ramai orang Melayu bermaksud ‘orang India Muslim’, tapi jika ikut sejarah orang Melayu sendiri terutamanya zaman Melaka dan juga fahaman orang India Tamil, ia membawa maksud ‘bapa saudara’.
Malah jangan katakan untuk bangsa lain, di kalangan bangsa Melayu pun perkataan yang sama boleh membawa maksud berlainan! Perkara ini pernah ditimbulkan oleh mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sendiri yang menyatakan:
“Before Malay takes its primary place it is the duty of the Malay scholars to improve their own language because among not more than three million Malays in Malaya, different dialects are being used and some words have different meaning attached to them. For instance, the common every day word ‘semalam’ which in the north and east of Malaya means ‘last night’, in the southern and central parts of Malaya means ‘yesterday’….. Similarly, with the word ‘bebal’. In the north it means ‘to show temper’ but in the south it means ‘stupid’…..” - Tunku Abdul Rahman, 'The Road To Independence; Standardising the National Language; speech at the opening ceremony of the Third Malay Language and Literary Congress, Johor Bahru, 16th September 1956.
Sebab itu, dalam Kamus Dewan sendiri, di bahagian ‘Panduan Penggunaan Kamus Dewan’ ada dinyatakan iaitu perkataan yang ditepinya ada symbol ‘Sr’ contohnya adalah untuk Sarawak, manakala ‘Sb’ untuk Sabah, ‘Ar’ ialah Arab, ‘C’ China dan seterusnya. Nah, para penulis kamus ini pun sedar yang Bahasa Malaysia itu mempunyai hubungan yang kuat dengan pelbagai bangsa lain, bukan hanya Melayu. Kamus Dewan adalah hak milik semua rakyat Malaysia, bukan hanya satu-satu kaum!
Oleh sebab itu jika akhbar Makkal Osai mahu meneruskan agenda ‘Ketuanan India’ mereka ini, saya tidak akan sokong. Sama juga dengan orang Melayu yang mahu meneruskan agenda ‘Ketuanan Melayu’ mereka, saya akan tentang.
Bagi saya Kamus Dewan mestilah difahami berdasarkan fahaman semua rakyat Malaysia seperti mana biasa dilakukan. Janganlah kita terpedaya dengan mereka-mereka yang sengaja mau membuat onar dengan bermain api perkauman dan pemikiran yang sempit.
Saya terima hakikat keadaan perpecahan kaum di Malaysia sekarang semakin parah. Oleh sebab itu saya bersetuju jika beberapa teks di sekolah, dimurnikan atau dibuat satu edisi murid. Kamus Dewan juga boleh diadakan satu edisi murid. Ini semua hanyalah jalan penyelesaian sementara, untuk mengelakkan perkara tak diingini di kalangan remaja sehinggalah polarisasi dan persengketaan kaum ini berkurangan dan keadaan kembali tenang. Tetapi seperti naskhah Interlok yang asal, saya tidak bersetuju jika Kamus Dewan yang dijual untuk orang ramai dimurnikan atau dihalang penjualannya. Biarlah kedua-dua teks asal Interlok dan Kamus Dewan, dijual terutamanya untuk orang dewasa. Orang dewasa sepatutnya sudah lebih matang untuk menilai baik dan buruk, fakta dan fiksyen.
Jika masih ada yang menganggap buku Interlok adalah buku sejarah, atau Kamus Dewan sebagai milik kaumnya sahaja, biarlah dia dengan labu-labunya. Jika ada yang masih mahu membakar buku Interlok dan Kamus Dewan, biarlah dia dengan labu-labunya. Tidak semua orang dewasa matang, dan tidak semua orang yang matang itu orang dewasa.
Berbalik kepada isu Kamus Dewan, perkara 152 Perlembagaan Malaysia dengan jelas menyatakan yang Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu. [Terma Bahasa Malaysia adalah polisi kerajaan dan tiada pindaan dibuat setahu saya kepada Perkara 152 untuk menggantikan terma Bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia setakat ini]. Oleh itu Kamus Dewan adalah Kamus Kebangsaan. Kamus Kebangsaan adalah milik kita semua. Dan kita adalah Bangsa Malaysia.
(Ahmad Faiz Faiza, The Malaysian Insider, 20 April 2011)