16 Aug 2011

Komsas: Penerbit Tetap Berdegil, Kementerian Tiada Kuasa

“Kami tak kisah. Hantar sajalah surat apa pun. Kami ada peguam.”

Demikian reaksi yang diberikan Puan Julie Looi, Pengurus Penerbitan, Setia Emas Sdn Bhd apabila dihubungi pada petang 15 Ogos 2011.


Saya menelefon beliau pada jam 3:30 petang untuk bertanyakan isu novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman yang menjadi isu kerana penerbit menafikan hak pengarang terhadap karya itu. [BACA DI SINI]


Apabila ditanya mengenai e-mel yang dikirim mengenai perkara itu, Looi mengatakan beliau tidak menerima e-mel berkenaan walaupun alamat kiriman adalah betul.


Dalam e-mel berkenaan, saya meminta Setia Emas Sdn Bhd menjelaskan isu novel Cempaka Putih Untukmu dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Tiga di Johor, Sabah dan Sarawak mulai 2012 tetapi penulis tidak akan menerima royalti walau satu sen.


Looi juga mengelak daripada menjelaskan bagaimana novel itu boleh diterbitkan syarikat lain, iaitu Syarikat Nur Ilmu, untuk tujuan teks Komsas.


“Kami tak kisah. Hantar sajalah surat apa pun. Kami ada peguam. Penulis (Rohani) sudah jual manuskrip kepada kami. Jadi, semua itu hak kami. Dia (Rohani) hanya perlu kirim surat memberi izin kepada Nur Ilmu Sdn Bhd untuk edit novel itu mengikut kriteria ditetapkan Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran,” katanya.


Sementara itu, Haji Mohd Nor Azmi Sirat dari Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran ketika dihubungi menjelaskan bahawa kementerian berkenaan tidak ada sebarang kuasa dalam isu itu.


“Kami tiada kuasa dalam soal bayaran royalti penerbit kepada penulis. Kami membeli novel daripada penerbit tapi tidak ada hak campur tangan urusan antara penerbit dan penulis,” kata beliau yang mengaku pernah dihubungi Rohani untuk membincangkan perkara sama.


Katanya, Kementerian Pelajaran tidak ada kuasa mengambil tindakan terhadap penerbit walaupun terbukti penulis teraniaya, seperti dalam kes Rohani.


“Lagi susah kalau melibatkan novel, walaupun ia terpilih sebagai teks Komsas. Isu ini telah dimaklumkan sendiri oleh Rohani kepada kami. Tindakan susulan telah dibuat kepada aduan yang diterima,” katanya.


Haji Mohd Nor Azmi juga mempelawa saya dan Rohani pergi bertemu beliau “untuk perbincangan dan penjelasan”.


Di pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya, tentu sahaja kami tidak akan berdiam diri dengan penjelasan yang diberikan oleh Looi.


Saya akan menyiasat secara lebih mendalam kerana ternyata ada banyak perkara yang “tidak kena” dalam isu ini. Pasti banyak “perkara” akan terbongkar dalam masa terdekat!