Thursday, 18 August 2011

Komsas Abai Hak Cipta?

Sejak pertengahan Disember 2010, dalam pada orang ramai – termasuk politikus dan persatuan penulis – memperkatakan isu berhubung novel Interlok Edisi Murid, kita terlepas pandang pelbagai perkara lain yang ada hubung kait dengan topik Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Sebahagian daripadanya sudah saya ulas secara terperinci berdasarkan bukti – khususnya menerusi siri artikel di Free Malaysia Today sejak 18 Januari lalu. [BACA DI SINI]


Namun, masih ada banyak isu lain yang “tersembunyi” dan kini mula keluar sedikit demi sedikit. Ada beberapa individu menghubungi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan saya sendiri sebagai pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya untuk menyuarakan keresahan mereka.


Salah satu daripadanya berkaitan isu penulis yang karyanya diangkat menjadi teks Komsas tetapi si penulis tidak menerima sebarang royalti, sementara penerbit pula bakal menikmati habuan memandangkan teks itu akan digunakan selama sepuluh tahun.


Saya mendapat tahu mengenai perkara ini pada 10 Julai 2011 tetapi tidak sempat berbuat apa-apa kerana sibuk dengan urusan di Beijing, China. Hanya sekembali ke tanah air, saya mengumpul maklumat lanjut berhubung isu seorang penulis yang menjual manuskrip novel remaja secara outright purchase kepada penerbit.


Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani Deraman akan dijadikan teks Komsas Tingkatan Tiga di sekolah-sekolah seluruh Johor, Sabah dan Sarawak mulai 2012 tetapi si penulis dikhuatiri tidak akan menerima walau satu sen.


Bayangkan! Saya percaya Kementerian Pelajaran akan membeli sekurang-kurangnya 100,000 naskhah novel itu setiap tahun daripada penerbit.


Saya menghubungi Rohani dan mendapat tahu bahawa manuskrip novel itu dibeli pada harga RM350 oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001.


“Masa itu saya baru menulis dan tidak faham apa-apa mengenai undang-undang dan hak cipta. Tiba-tiba, novel itu jadi teks Komsas dan diterbitkan oleh Syarikat Nur Ilmu Sdn Bhd. Apabila saya tanya kepada penerbit asal, mereka kata, itu hak mereka dan saya tidak akan terima apa-apa bayaran,” katanya.


Rohani menceritakan bahawa apabila dibayar RM350 pada 2001, beliau diminta menandatangani suatu baucar.


“Kini, penerbit itu kata saya dah tandatangan kontrak, tapi saya hanya ingat baucar itu. Apabila saya minta pengurus penerbitan tunjuk kontrak, dia tidak mahu tunjuk,” kata penulis kelahiran Pasir Puteh, Kelantan yang kini menetap di Johor Bahru.


Apa yang lebih memeranjatkan dan mendukacitakan saya adalah apabila Rohani menceritakan bahawa beliau sudah mengadu kepada pegawai di Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran tetapi masih diberikan jawapan sama, iaitu penulis tidak ada apa-apa hak.


Perkara ini secara langsung mengingatkan saya kembali kepada isu berhubung novel Interlok Edisi Murid. Antara perkara utama yang dituntut oleh Kavyan – dan perjuangan perit kami masih berterusan – adalah supaya nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) dicetak pada kulit depan novel serta hak cipta karya dipegang oleh pengarang. [BACA DI SINI]


Kavyan dan saya sudah lali dituduh sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘anti-Melayu’ semata-mata kerana kami berani menuntut serta memperjuangkan hak, kebenaran dan keadilan tanpa tunduk pada desakan mana-mana pihak berkepentingan.


Saya percaya bahawa dalam isu Rohani, perkara sama akan berulang. Namun, seperti kata Mahatma Gandhi: Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.


Dalam kes Rohani, benarkah pengarang hilang segala hak sebaik menjual manuskrip kepada penerbit, seperti kata pegawai di Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran?


Saya percaya bahawa dalam pada kita bangga melihat Unit Hak Cipta di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dinaik taraf menjadi Bahagian Harta Intelek, kita juga tidak mahu hak penulis terabai tanpa dibela pihak berwajib.


Apabila isu ini saya kemukakan menerusi Facebook dan Twitter pada 6 Ogos, Jamal Raslan Abdul Jalil dan Ksatriya Words berpendapat bahawa secara teknikal, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan si penulis kerana beliau sudah menjual hak karya.


Fadli Al-Akiti pula menjelaskan bahawa penulis masih boleh menuntut haknya jika terdapat klausa tertentu dalam perjanjian yang ditandatangani.


Daripada perbincangan saya dengan Rohani, ternyata kes beliau adalah seperti dikatakan Jimadie Shah Othman, iaitu penulis menjual manuskrip dalam keadaan tidak faham soal hak cipta.


Sementara Balwinder Singh dan Clifford Tan mencadangkan penulis menyaman penerbit terbabit, Faz Kamaruddin pula mencadangkan penulis membaca semula kontrak yang ditandatangani untuk meneliti jika ada ruang untuk menuntut semula hak cipta karya itu.


“Elok juga kalau penerbit terbabit secara sukarela beri sedikit royalti kepada penulis itu,” Anas Zubedy dari zubedy (m) sdn bhd mencadangkan.


Helmy Samad dari Wira Bukit Sdn Bhd yang menangani penerbitan karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said pula berpendapat, “Penerbit harus hormati penulis dan haknya. Penjualan hak secara total seharusnya tidak berlaku jika penerbit itu berwibawa.”


Koh Yok Hwa dari Gemilang Publishing Sdn Bhd turut menasihatkan penulis meneliti semula kontrak dan menyemak jika terdapat sebarang klausa berhubung projek teks Komsas.


“Penulis boleh berunding semula dengan penerbit atau hubungi Kementerian Pelajaran untuk meluahkan dilema yang sedang dihadapi,” katanya.


Seperti dinyatakan Rohani, penerbit dan kementerian nampaknya sudah “lepas tangan” dalam isu ini dengan alasan penulis sudah menjual manuskrip kepada penerbit.


Maka, saya tidak terkejut apabila Pragalath Kumar menyarankan penulis menyaman kementerian terbabit di bawah Akta Hak Cipta kerana menafikan hak penulis terhadap karyanya.


Sebenarnya, inilah juga nasihat dan bantuan yang akan saya berikan kepada isteri Pak Lah, Datin Siti Saroja Basri sekiranya hak cipta novel Interlok Edisi Murid tidak dikembalikan kepada pengarang.


Dalam pada itu, Rohani turut mendedahkan bahawa cerpen “Warkah Daripada Ibu” karyanya dijadikan teks Komsas Tingkatan Dua tanpa pengetahuannya.


“Cerpen itu dimuatkan dalam antologi Hanya Kita Yang Tinggal oleh Penerbit Mega Setia Emas pada 2001 dan saya dibayar RM40 sahaja. Pada 2007, cerpen itu diantologikan sekali lagi oleh Edu Quest Publisher, kemudian baru masuk dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius.


“Saya hanya tahu cerpen itu jadi teks Komsas apabila dimaklumkan beberapa pelajar. Apabila saya tanya, penerbit kata saya dah tak ada hak atas cerpen itu,” katanya sambil meminta bantuan Kavyan menyelesaikan isu ini.


Tentu sahaja saya dan Kavyan yang sudah sedia dilabel sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘anti-Melayu’ tidak akan berundur daripada memperjuangkan hak penulis seperti Pak Lah dan Rohani; walaupun kami pasti semakin dibenci pihak tertentu.


(Uthaya Sankar SB, “Komsas Abai Hak Cipta?” dalam Free Malaysia Today, 15 Ogos 2011)

1 comment:

  1. Saudara Uthaya, pada pandangan saya dalam kes ini kerajaan diwakili oleh kementerian yang berkaitan yang juga tertakluk kepada sistem perundangan yang sedia ada. Menyalahkan Kerajaan adalah tidak beitu tepat. Saya amat bersetuju dengan pendapat Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said bahawa “Penerbit harus hormati penulis dan haknya. Penjualan hak secara total seharusnya tidak berlaku jika penerbit itu berwibawa.” Dalam kes ini kemungkinan penulis telah menjual hak secara total tanpa disedari.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!