19 Aug 2011

Pe(r)juang(an) Interlok

Hampir dua bulan selepas saya mendapat maklumat mengenai cadangan penggunaan “pelekat ajaib” bagi menutup kes novel Interlok Edisi Murid, rakan-rakan, ibu bapa, guru dan pelajar kembali bertanya akan perkembangan terkini.

Saya faham bahawa mereka risau berikutan kenyataan rasmi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi pada 20 Jun mengenai penggunaan “pelekat ajaib” [BACA DI SINI] dan kenyataan seorang lagi timbalan menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong pada 22 Jun bahawa pindaan sembilan halaman sahaja diperakukan Panel Bebas. [BACA DI SINI]


Akhirnya, keputusan dibuat bahawa sekitar 390,000 naskhah Interlok Edisi Murid yang sudah dipinda akan dicetak semula. [BACA DI SINI] Maka, orang ramai tertanya-tanya apakah pindaan dilaksanakan seperti dijanjikan atau akan ada “sandiwara” baru.


Apatah lagi pada 22 Jun 2011, Utusan Malaysia melaporkan bahawa “pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel itu walaupun pindaan dibuat”.


Bagi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pendirian kami tetap sama sejak awal: Sekiranya segala perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kesilapan bahasa dan kesalahan fakta tidak dimurnikan seperti dicadangkan, maka novel berkenaan elok tidak dijadikan teks wajib di sekolah. [BACA DI SINI]


Semasa perjumpaan Jawatankuasa Kavyan pada 7 Ogos 2011, perkara sama ditekankan semula. Dan kami yakin bahawa kami berada di landasan yang benar.


Antara perkara utama yang dituntut oleh Kavyan sejak mula adalah supaya nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) dicetak pada kulit depan novel dan hak cipta karya dikembalikan kepada beliau. [BACA DI SINI]


Demikian juga janji saya mewakili Kavyan kepada isteri Pak Lah, Datin Siti Saroja Basri pada Februari lalu. [BACA DI SINI]


Saya yakin dan percaya bahawa persatuan penulis serta NGO Melayu yang pernah menyertai perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari lalu akan menyokong usaha murni Kavyan.


Masakan kita sanggup berpeluk tubuh menyaksikan kehilangan hak seorang pengarang yang pernah menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.


Ada pihak yang bertanya kepada saya, mengapa Kavyan begitu bertegas meminta kerja-kerja pemurnian dilakukan. Sebenarnya, senarai saranan pindaan itu sudah diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac, dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac dan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac. [BACA DI SINI]


Maka, hanya menunggu untuk dilaksanakan sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan kepada Rakyat Jelata. Selagi kesemua pindaan itu tidak dilakukan, selagi itulah novel berkenaan belum dimurnikan seperti dijanjikan. [BACA DI SINI]


Tentu sahaja mana-mana pihak yang tidak pernah membaca versi asal novel Interlok, edisi pelajar dan edisi murid, serta tidak tahu makna ‘abridged’ tidak layak masuk campur dalam topik ini.


Ada juga yang bertanya mengapa kesilapan bahasa perlu dibetulkan. Mungkin mereka tidak sedar novel Interlok Edisi Murid digunakan sebagai teks wajib bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia; bukan mata pelajaran Sastera Melayu.


Tentu sahaja teks Komsas wajar dijadikan bahan yang membantu pelajar mempelajari penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, kata sendi, tanda baca dan sebagainya.


Selepas membaca Interlok Edisi Murid, saya membuat kesimpulan bahawa Ruziati Abdul Rani dan Baharin Aiyob yang menangani manuskrip novel itu masih amatur – atau membuat kerja secara tergesa-gesa kerana mengejar masa.


Maka, segala cadangan pemurnian dari aspek bahasa dan fakta sebagaimana disarankan Kavyan sebenarnya memudahkan kerja editor berkenaan membuat penyuntingan lebih menyeluruh pada kali ini sebelum edisi yang dimurnikan itu dicetak seperti dijanjikan.


Segala cadangan pemurnian oleh Kavyan meliputi aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum adalah sangat berasas dan berdasarkan fakta.


Wajar juga dinyatakan bahawa Ku Seman Ku Hussain yang “sebenarnya tidak begitu mengenali penulis bernama Uthaya Sankar SB” (Utusan Malaysia, 21 Februari 2011) [BACA DI SINI] mengakui bahawa terdapat “beberapa kelompangan dalam penyuntingan Interlok” (Utusan Malaysia, 25 April 2011).


Ada yang bertanya, mengapa Kavyan dan saya tidak memilih untuk berdiam diri memandangkan perkataan “*****” sudah dipersetujui untuk digugurkan dari halaman 211 Interlok Edisi Murid.


Maaf, masih ada banyak perkara yang wajar dimurnikan dalam novel berkenaan. Misalnya, soal hak cipta karya, harta intelek dan hak moral si pengarang.


Agak menghairankan jika DBP yang mempunyai Bahagian Harta Intelek “mengabaikan” perkara ini. Begitu juga, entah bagaimana Kementerian Pelajaran boleh “terlepas pandang” semua ini.


Sementara itu, sejak Januari lalu, reaksi terbuka beberapa tokoh di Facebook amat mengecewakan, malah mengaibkan.


Misalnya, seorang tokoh penulis wanita yang ada PhD menulis: “Nah sudah ku lempar kasut ... kasut sudah ku banting ke pintu T Mu Rugi ah, ah ah, ane !!! hamba dari kaum Brahmin yang damai di kuil Bangsar , sekarang mengajar Kathakali , poooodah.”


Seorang tokoh penulis lelaki yang disegani menulis: “Boikot semua calon MIC, Boikot semua majlis anjuran MIC, boikot semua majlis yang dihadiri pemimpin MIC, boikot semua yang ada kaitan dengan MIC. Ini adalah kerana MIC meniupkan sentimen perkauman dalam isu Interlok.”


Seorang tokoh penulis dari Sarawak pula terbukti terkeliru lalu menulis: “Bagaimanakah *** dilayan di India? Layan serupa itulah juga di sini, kalau nak sangat pusaka itu dan tak sedar di mana bumi dipijak. Dulu kita tak kisah tapi dia orang ingatkan kita tentang keturunan *** di India. Maka layanlah mereka sebagaimana *** di India.”


Semasa perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 [BACA DI SINI] ada tokoh mencadangkan supaya kemasukan filem Hindi ke Malaysia disekat sebagai “pengajaran” kepada kaum India di negara ini.


Sehingga kini, saya tetap tidak mengerti bagaimana segala cadangan dan reaksi “tokoh-tokoh” itu boleh membantu menjernihkan keadaan.


Dalam pada itu, saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dihubungi beberapa penulis yang turut menjadi “mangsa” selepas karya mereka dipilih menjadi teks Komsas.


Dalam hal ini, saya tabik pada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Dato’ Raslin Abu Bakar yang tampil membantu penulis menerusi projek pembelian terus buku daripada pengarang. Barulah benar rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!


Sebaliknya, dalam hal Komsas pula, ternyata ada pengarang – termasuk Sasterawan Negara – yang dinafikan hak mereka terhadap hak cipta dan harta intelek. Bak kata peribahasa Melayu: Malang Pak Kaduk, ayamnya menang, kampung tergadai.


Lebih malang apabila “gajah di depan mata” hanya disedari Kavyan; sementara pihak lain sibuk melempar kasut, memboikot majlis MIC, melayan kaum India sebagai *** dan meneruskan sandiwara.


Namun, saya yakin bahawa pihak berwajib akan segera memberi perhatian serius terhadap perkara ini.


(Uthaya Sankar SB, “Pe(r)juang(an) Interlok” di The Malaysian Insider, 15 Ogos 2011. Sila KLIK DI SINI untuk koleksi bahan berkaitan kontroversi novel ini.)