Terima kasih kepada ibu bapa dan orang awam yang menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian berhubung perkembangan berkaitan novel Interlok Edisi Murid.
Menteri Pelajaran sudah mengumumkan keputusan di Parlimen pada 24 Mac 2011 [BACA DI SINI] dan tugas seterusnya adalah tanggungjawab Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Panel Bebas Mengkaji Pindaan sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan [BACA DI SINI] dan apa-apa yang berlaku selepas tugas kami selesai adalah di luar batas dan bidang kuasa kami.
Pada 25 Mac 2011, sejurus sebelum Encik G Krishnabahawan dan saya mengadakan taklimat media di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, Encik Krishnabahawan menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri untuk memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi Murid akan dicetak semula dan diedarkan kepada pelajar. [BACA DI SINI]
Bagaimanapun, maklumat yang disampaikan kepada saya oleh ibu bapa dan masyarakat awam sejak beberapa hari lalu adalah bahawa Kementerian Pelajaran menyediakan pelekat yang akan digunakan untuk menampal bahagian-bahagian yang memerlukan “pindaan” pada novel edisi murid itu.
Untuk makluman bersama, terdapat 106 pindaan yang sudah diperakukan dan wajib dilaksanakan. Senarai 106 pindaan itu dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India iaitu Dr N. S. Rajendran, Encik G Krishnabahawan dan saya sendiri berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai sejak kami dilantik menyertai Panel Bebas pada Februari 2011.
(Manakala senarai pindaan yang dikemukakan oleh individu lain dalam Panel Bebas juga telah diperakukan tetapi mereka kemudian “menarik balik” senarai itu atas alasan yang tidak diketahui.)
Orang ramai yang berminat mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan yang diperakukan dan wajib dilaksanakan itu boleh menghubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan salinannya.
Maka, jika benar pelekat khas digunakan untuk “memurnikan” novel Interlok Edisi Murid, bolehlah orang ramai melakukan semakan bagi memastikan kesemua 106 pindaan sudah dilakukan.
Saya juga tidak tau bagaimana “operasi pelekat” akan dilaksanakan. Mungkinkah kerja-kerja melekat dilakukan kakitangan DBP? Atau diserahkan kepada guru-guru kerana mereka adalah “kakitangan awam” yang perlu “menurut perintah”? Atau diserahkan kepada pelajar sendiri untuk melakukannya? Saya tidak tahu.
Sila ambil perhatian bahawa Panel Bebas tidak ada sebarang kuasa dan tanggungjawab dalam proses pelaksanaan “pindaan” ini. Segala pertanyaan wajar diajukan kepada Menteri Pelajaran.
Bagaimanapun, selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy), saya sedia memberikan khidmat rundingan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.
Kepada mana-mana pihak yang khabarnya mahu mengambil tindakan “berpuasa hingga mati” dan sebagainya sebagai usaha “menentang” penggunaan novel Interlok Edisi Murid, jangan lupa implikasi undang-undang.
Kepada mana-mana pihak yang mengatakan bahawa mereka akan “mengundi demi perubahan” pada Pilihan Raya Umum Ke-13 semata-mata berikutan kontroversi Interlok Edisi Murid, sesiapa pun tidak boleh menghalang niat mereka kerana mengundi adalah hak dan terpulang pada kebijaksanaan sendiri dalam memilih calon/parti yang paling layak memerintah dan menentukan hala tuju negara.
Apa yang penting, jangan biarkan emosi mengatasi kewarasan.