14 Jun 2011

Tarikan ‘Kasino’ Saifullizan Tahir

Setelah novel sulungnya dilancarkan, Saifullizan Tahir “rasa macam bertelanjang 24 jam”. Demikian dicatatkannya pada ruangan status Facebook pada tengah hari 12 Jun 2011, sehari selepas Kasino (Fixi, 2011) dilancarkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.


Saya ada bertanya soalan sama kepadanya apabila kami bertemu untuk makan tengah hari di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 9 Jun, bertemu pada jamuan makan malam di rumah Duta Belanda pada 10 Jun serta sejurus sebelum dan selepas bukunya dilancarkan pada 11 Jun. [Sedikit catatan awal sebelum pelancaran novel DI SINI.]


Saya lakukan demikian bukan semata-mata kerana mahu melihat reaksi seorang penulis (published writer) tetapi lebih kepada reaksi yang telah beliau terima daripada rakan-rakan, keluarga dan pembaca berikutan penghasilan novel berkenaan yang bukan sebuah “novel arus perdana”.


Namun, nampaknya, sehingga petang 11 Jun 2011, belum ada reaksi “negatif” diterima kerana (mungkin) kelompok “Saya Benci Fixi” selaku “peminat nombor satu Buku Fixi” belum membaca novel berkenaan dan kumpulan “Saya Suka Kasino Tapi Benci Novel Kasino” belum memulakan operasi di Facebook.


Apa pun, saya perlu akui bahawa apa yang terkandung dalam Kasino mungkin membuatkan ramai orang dan banyak pihak mengurut dada dan mengeluh panjang. Saya juga amat memahami jika ada pihak yang memutuskan untuk tidak akan membaca novel Kasino sepanjang hayat.


Punca sebenar adalah kerana Kasino umpama sebuah cermin yang memantulkan citra si pembaca. Maka, siapa termakan cili, dialah yang bakal terasa pedasnya.


Sejak awal – semasa Kasino masih dalam bentuk manuskrip dan saya “mengerjakannya” atas nama “perunding” – saya memang sudah boleh membayangkan bahawa novel Kasino pasti berhadapan tentangan hebat dari pelbagai penjuru sebaik diterbitkan.


Namun, saya ada memberitahu Amir Muhammad selaku penerbit dan Saifullizan Tahir selaku penulis bahawa “tentangan” serta “reaksi negatif” yang (bakal) diterima terhadap Kasino adalah sesuatu yang wajar dan perlu dialu-alukan dengan tangan terbuka.


Bagi saya, sekurang-kurangnya novel Kasino membuka ruang untuk pembaca dan pihak tertentu mencermin diri, selain mula berdialog.


Benar, ada beberapa adegan dalam novel ini yang (mungkin) dianggap keterlaluan jika dilihat menggunakan teropong konvensional dalam dunia/industri penerbitan novel di Malaysia.


Namun, jangan kita lupa bahawa Buku Fixi menerbitkan pulp fiction dan bukannya buku Komsas bertemakan “1Malaysia”. Novel-novel terbitan Buku Fixi bukan teks wajib di sekolah atau universiti; sebaliknya boleh dibeli/dipinjam/dicuri dan dibaca atas kemahuan sendiri.


Pada masa sama, memanglah akan ada kelompok yang tetap mahu mencari kelemahan (baca: kelainan) dalam novel ini berbanding novel-novel yang mereka minati (baca: mampu miliki).


Bagi kelompok terdesak seperti itu, dapatkan sahaja senaskhah novel Kasino dan terus buka halaman 205 untuk melihat apa yang dicari.


Manakala “keluarga dekat-jauh, kawan rapat-renggang ... dan semua pembaca gila” boleh membaca Kasino bermula halaman pertama untuk mendapatkan suatu pengalaman pembacaan yang lain daripada yang lain.


Saya tidak mahu membandingkan Kasino dengan empat novel yang diterbitkan Buku Fixi sebelum ini. Tindakan membuat perbandingan seperti itu tidak wajar – dan tidak adil – kerana masing-masing ada keistimewaan tersendiri sebagai sebuah karya pulp fiction.


Untuk berlaku adil, pembaca tegar novel-novel Melayu perlu ingat bahawa Saifullizan Tahir bukan penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Sebaliknya, ini novel sulung yang dihasilkan oleh arkitek landskap bertauliah ini yang turut mengendalikan perniagaan pengurusan acara dan latihan di Damansara.


“Ini novel tunggal saya,” katanya apabila saya cuba merisik tentang rancangan menghasilkan novel kedua dan seterusnya.


Bagaimanapun, saya percaya bahawa pengarang berbakat ini yang menyambut hari jadi ke-40 pada hari ini (14 Jun 2011) tidak akan “puas” selepas merasai nikmat kali pertama.


Tambahan pula, Saifullizan pernah menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim, serta cerpen, sajak dan eseinya pernah disiarkan di Dewan Budaya, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.


Novel Kasino masih mempunyai banyak ruang yang memungkinkan kisah yang dipaparkan dalam novel setebal 280 halaman ini disambung. Akan tetapi, sebelum mengharapkan kelahiran Kasino II atau Catur atau apa sahaja judul yang sesuai, orang ramai perlu terlebih dahulu menikmati Kasino – tanpa perlu mengetahui dan/atau mengunjungi kasino.


Ahli politik dan badut politik tentu tertarik membaca novel ini kerana kisah yang dipaparkan adalah mengenai mereka. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pasti tertarik kerana kisah yang didedahkan adalah mengenai mereka.


Golongan artis, personaliti televisyen dan seumpamanya yang menganggap diri mereka glamour juga boleh cuba “mencari” watak-watak yang mewakili mereka dalam novel ini yang tidak cuba “menyembunyikan” realiti hidup manusia.


Individu Melayu-Islam wajar memberi perhatian terhadap novel ini kerana kisahnya adalah mengenai sekumpulan individu yang mungkin mewakili kelompok yang rapat dengan anda.


Wartawan Free Malaysia Today, Pragalath Kumar, mengulas novel Kasino [BACA DI SINI] dan sengaja melakukan provokasi berhubung pelbagai aspek berkaitan gambaran watak utama dalam novel itu sebagai individu yang mengamalkan cara hidup bertentangan ajaran Melayu-Islam, tetapi tetap berpegang pada ritual keagamaan.


Misalnya, sewaktu menginap di Hotel Crown Casino, Melbourne, Mohd Narcissus Yussof menggunakan minibar di dalam biliknya sebagai “panduan” untuk menentukan arah kiblat.


Nampaknya, tidak ada apa-apa atau sesiapa yang “terlepas” daripada diheret masuk ke dalam Kasino. Anwar Ibrahim, Rosmah Mansur, Mahathir ... PAS, UMNO, Pakatan Rakyat ... serta beberapa watak yang namanya ditukar tetapi pasti tidak sukar dicam oleh pembaca.


Tidak lupa juga kehadiran Dina Zaman, pengarang buku I Am Muslim (2007) sebagai watak sampingan (cameo) dalam novel ini. Manakala watak sampingan bernama Uthaya dalam novel ini adalah seorang pengurup wang berlesen, vegetarian dan gemuk; sekali gus tiada kaitan dengan diri saya.


Bercakap mengenai plot, kisahnya disusun mengikut urutan kronologi tarikh (15-28 September 2010). Teknik imbas kembali digunakan untuk menceritakan kisah lalu yang perlu diketahui oleh pembaca untuk memahami apa yang telah/sedang/akan berlaku.


Memandangkan catatan ini sudah melebihi 888 patah perkataan, elok saya tamatkan di sini. Saya faham bahawa anda juga mahu mula “mencari” gambaran watak anda dalam novel Kasino.