9 Jun 2011

Kasino & Writers Unlimited Tour

Saya mempunyai alasan tersendiri untuk menghadiri majlis pelancaran novel Kasino karya Saifulllizan Tahir pada 11 Jun 2011 (Sabtu), 12:30 tengah hari.

Majlis berkenaan yang dianjurkan Buku Fixi milik Amir Muhammad dijadual berlangsung di Restoran Precious Old China, Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur.


Sebelum ini, saya menghadiri pelancaran tiga novel pertama terbitan Buku Fixi, iaitu Pecah (Khairulnizam Bakeri), Cekik (Ridhwan Saidi) dan Kougar (Shaz Johar) pada 14 April 2011, serta pelancaran novel Dendam (Affifudin Omar) pada 26 Mei 2011.


Novel Kasino setebal 280 halaman dan dijual pada harga RM18 dengan dua reka kulit. Kisahnya mengenai Mohd Narcissus Yussof (MNY = money?), seorang usahawan Bumiputera yang berkebolehan, kacak, hidup mewah dan penuh hedonis, serta pantang dicabar.


Cerita menjadi menarik apabila dikaitkan dengan kisah sebuah negeri yang berjaya ditawan Pakatan Rakyat, sekali gus membuatkan MNY tersepit kerana perlu memulangkan RM3.8 juta kepada kerajaan negeri yang baru.


Pembaca juga disajikan dengan kehidupan seorang individu yang “tidak lupa sembahyang” walaupun hidup penuh dosa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai kemahuannya.


Demikian antara ciri pulp fiction yang kini diberi tumpuan oleh Buku Fixi; sehingga ke tahap ada orang membuka laman “Saya Benci Fixi” di Facebook.


Seperti yang saya nyatakan tadi, ada beberapa alasan mengapa saya akan menghadiri majlis pelancaran novel Kasino.


Pertama, saya terlibat sama sebagai “perunding” dalam penerbitan novel-novel Buku Fixi bermula novel keempat (Dendam). Sila KLIK DI SINI untuk membaca pandangan saya mengenai novel-novel terbitan “Buku Fixi yang seksi”.


Kedua, pengarang novel Kasino adalah abang saya. Saifullizan Tahir yang lahir di Johor merupakan arkitek landskap serta mengendalikan perniagaan pengurusan acara dan latihan di Damansara. Cerpen, sajak dan eseinya pernah disiarkan di Dewan Budaya, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu; selain menang Hadiah Sastera Kumpulam Utusan Exxon-Mobil dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim.


Ketiga, jejaka dengan senyuman manis (atau menyeringai dalam satu lagi versi kulit buku) adalah adik saya, Rusyan Sopian yang mengingatkan saya kepada watak Shaggy dalam komik Scooby Doo!


Keempat, penerbit iaitu pemilik Buku Fixi, Amir Muhammad juga abang saya; walaupun dia mungkin mengaku (menipu?) lebih muda daripada saya!


Kelima, saya akan berpeluang “membuli” Khairulnizam Bakeri dan kawannya, Zaki Mahmood, yang juga kawan baru saya di ruang siber. Saya sudah meminta Zaki hadir sama dan bersedia untuk dibuli.


Maka, ternyata ada pelbagai alasan berbaur “kroni” mengapa saya akan menghadiri majlis pelancaran Kasino pada 11 Jun 2011, walaupun saya sudah membaca novel berkenaan pada tahap manuskrip.


Oh! Ada juga alasan Keenam. Majlis pelancaran tertutup itu juga diadakan sempena Writers Unlimited Tour yang diuruskan oleh Bernice Chauly. Malah, sebelum majlis pelancaran novel Kasino, pada pukul 10:30 pagi di The Annexe Gallery, akan berlangsung sesi diskusi melibatkan Kee Thuan Chye, Dipika Mukherjee, Gunduz Vassaf, Maaza Mengiste dan saya sendiri. Amir Muhammad pula menjadi pemudah cara (moderator).


Selesai majlis pelancaran novel Kasino, akan berlangsung pula satu lagi sesi diskusi bermula pukul 2:30 petang. Kali ini menampilkan Chuah Guat Eng, Dain Said, Abeer Soliman dan Rodaan Al Galidi. Umapagan Ampikaipakan akan bertindak sebagai pemudah cara.


Maka, mari kita sama-sama menghadiri sesi diskusi sempena Writers Unlimited Tour di The Annexe Gallery, Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur. Kedua-dua sesi terbuka kepada umum secara percuma. Hubungi Bernice Chauly menerusi talian 012-3230929 atau e-mel mulutmata@gmail.com untuk maklumat lanjut.


Jika berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai novel Kasino dan novel-novel lain oleh “pengarang Fixi yang seksi” maka sila hubungi Amir Muhammad menerusi e-mel kancah2001@yahoo.com untuk maklumat lanjut.