10 Jun 2011

Pesta Buku, Hari Ilmu & Konvensyen Penulis

Warganegara Malaysia daripada kalangan penduduk pelbagai kaum yang pernah menghasilkan karya dipelawa mengambil bahagian dalam “Perhimpunan Penulis” sempena Hari Ilmu Negeri Selangor dan Pesta Buku Negeri Selangor pada 26 Jun 2011, bermula jam 8:00 pagi di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC); bersebelahan Kompleks PKNS Shah Alam.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Puan Mastura Haji Muhamad berkata, perhimpunan besar-besaran itu bakal mengumpulkan dan mempertemukan lebih seribu penulis pelbagai bidang, termasuk pengarang profesional, penulis amatur, kolumnis, penulis bebas, penulis buku teks, penyair, novelis dan blogger.


“Penulis perlu mengisi borang penyertaan sebelum 26 Jun ini serta mengemukakan salinan muka depan karya atau buku yang dihasilkan. Mereka juga perlu menulis esei pendek bertajuk ‘Selangor Negeri Maju, Idaman, Sejahtera dan Berkebajikan’ untuk dibukukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk, baru-baru ini.


Menurutnya, para penulis dari seluruh negara juga berpeluang menyertai aktiviti “Reading Break” sebagai usaha membudayakan minat membaca dalam kalangan masyarakat sebelum majlis perasmian Hari Ilmu dan Pesta Buku Negeri Selangor pada 26 Jun ini, jam 9:30 pagi.


“Setiap penulis yang mendaftar lebih awal dan hadir mengambil bahagian akan menerima sijil penyertaan, selain esei yang mereka tulis dimuatkan dalam buku khas sempena Hari Ilmu Negeri Selangor,” katanya.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan rasmi dengan menghubungi e-mel sufiaz27@yahoo.com dan sarwania@hotmail.com dengan kadar segera.


Borang yang lengkap diisi perlu dikembalikan ke alamat e-mel yang sama selewat-lewatnya pada 16 Jun 2011 bagi memudahkan urusan pendaftaran peserta.


Pada 26 Jun juga akan berlangsung Konvensyen Penulis bermula jam 11:00 pagi dengan tema “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan”.


Puan Mastura berkata, Konvensyen Penulis akan menampilkan tokoh-tokoh hebat seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan dan Presiden Persatuan Paksi Rakyat, Che Shamsudin Othman.


“Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Puan Dr Hajah Halimah Ali akan turut terlibat dalam sesi yang diadakan,” katanya sambil menambah bahawa Sayed Munawar akan bertindak sebagai pemudah cara.


Pada majlis sama, penerima Anugerah Penulis Selangor juga akan diumumkan dan diraikan semasa perasmian Konvensyen Penulis.


Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai aktiviti sempenan Pesta Buku Negeri Selangor, Hari Ilmu Negeri Selangor dan Konvensyen Penulis.