10 Jun 2011

Sesi Membaca @ Readings

Sepanjang bulan Jun 2011, saya akan terlibat dalam beberapa siri “membaca” dan sesi diskusi yang juga sangat berkait rapat dengan aktiviti pembacaan.

Pada pukul 10:30 pagi, 10 Jun 2011, saya akan hadir mendengar sesi pembacaan oleh beberapa penulis luar negara di Teater Eksperimental, Universiti Taylor’s (Kampus Tasik), Subang Jaya sempena Writers Unlimited Tour.


Pengarang yang dijadualkan membaca petikan karya dalam bahasa ibunda dan/atau Bahasa Inggeris ialah Abeer Soliman (Mesir), Rodaan Al Galidi (Iraq, Belanda), Gunduz Vassaf (Turki) dan Maaza Mengiste (Ethiopia, Amerika Syarikat).


Pada pukul 10:30 pagi, 11 Jun 2011, saya akan terlibat dalam sesi diskusi dan sesi membaca petikan karya di The Annexe Gallery, Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur. Saya mungkin membaca sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” (versi Bahasa Malaysia) supaya membuka ruang bagi perbincangan topik berkaitan “pendatang” dan pelbagai isu lain yang dekat di hati.


Pada 12 Jun 2011, pukul 8:30 malam, satu lagi sesi pembacaan diadakan sempena Writers Unlimited Tour yang diuruskan oleh Bernice Chauly. Pada acara ini yang dijadual berlangsung di No Black Tie, Jalan Mesui, Kuala Lumpur, saya akan membaca petikan cerpen “Cat” (versi Bahasa Malaysia) manakala hadirin digalakkan mengiau dalam mana-mana bahasa pilihan.


Seterusnya, pada 17 Jun 2011, saya memenuhi undangan Sharon Bakar dalam siri promosi antologi Readings from Readings di Kinokuniya, KLCC. Selain petikan “Cat”, saya juga akan membaca petikan karya lain mengikut kesesuaian.


Pada 19 Jun 2011 – Hari Bapa – saya terlibat bersama-sama Dipika Mukherjee, Alina Rastam, Sharon Bakar, Clarissa Tan, Nora Adam, Brian Gomez dan KH Krishnan dalam sesi “Readings from Readings” pada pukul 3:00 petang di Kedai Buku Times, Pavilion KL, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Pesta Buku Negeri Selangor berlangsung dari 24 Jun hingga 3 Julai 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam. Kumpulan Sasterawan Kavyan terlibat dalam beberapa aktiviti, termasuk aktiviti Baca Novel Jiro Akagawa anjuran bersama One Nusantara Sdn Bhd pada 28 Jun 2011, pukul 3:00 petang. Sesi Diskusi Penulis Buku Fixi pula dijadualkan pada 27 Jun 2011, pukul 11:00 pagi, manakala Dialog Penulis Astana Fantasia dijadualkan pada 2 Julai 2011, pukul 4:00 petang.


Pada 2 Julai 2011, pukul 10:30 pagi, saya dijadual berada di Ipoh, Perak untuk membaca petikan “The Painted Cat” (versi Bahasa Inggeris) dan “Fear Not to Live in Our Own Hut” (versi Bahasa Inggeris) sempena acara Northern Writers atas undangan Yusuf Martin. Untuk makluman, acara pembacaan dalam Bahasa Inggeris itu julung kali diadakan pada 4 Jun 2011.


Orang ramai diundang menghadiri acara-acara yang saya nyatakan di atas. Sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my jika memerlukan maklumat lanjut.