Tuesday, 6 July 2010

Novel Berhantu

Judul: Pembunuhan di Universiti Hagoromo
Penulis: Jiro Akagawa
Tahun terbit: 2008 (Bahasa Jepun), 2010 (Bahasa Malaysia)
Penterjemah: Liew Shu Jun dan Lee Ling Chee
Pengedar: Bookstation
Harga: RM19.90
..

Novel ini memang benar-benar “berhantu”!

.

Saya mendapat novel Pembunuhan di Universiti Hagoromo (2010) karya Jiro Akagawa daripada Encik Aman Loh sewaktu bertemu beliau dan rakan-rakan Gemilang Publishing Sdn Bhd di Pesta Buku Selangor pada 4 Julai 2010.

.

Saya turut diberi hadiah beberapa buku (siri Hardy Boys, siri Nancy Drew, siri Hakim Bao, novel Aku, Dia & Guitar, novel Budak Smart, novel Buku Bunga-bunga) tetapi entah mengapa, saya amat tertarik pada ayat “Dan mengapa kucing triwarna itu sering mengekorinya?” di blurb novel setebal 300 halaman itu.

.

Saya mula membaca novel Pembunuhan di Universiti Hagoromo pada pukul 10:00 malam, 4 Julai 2010 dengan cadangan asal, mahu membaca beberapa halaman sebelum disambung pada keesokkan hari. Malah, saya mempunyai sikap/minat membaca beberapa buku sekali gus; secara berselang seli.

.

Bahagian prolog novel ini sudah menjelaskan bahawa pembunuhan berlaku di universiti berkenaan; sebagaimana disarankan judulnya.

.

Dalam Bab 1, kita diperkenalkan kepada Yoshitaro Katayama, polis berumur 28 tahun, masih bujang, pemalu dan boleh pengsan jika melihat darah. Dia dihantar oleh Inspektor Mitamura menyiasat kes pembunuhan pelajar dan sindiket pelacuran di Universiti Hagoromo.

.

Perlu saya nyatakan bahawa buku ini tentu tidak diterima sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah kerana beberapa sebab. Antaranya, unsur seks, pelacuran, pergaulan bebas dan pembunuhan yang tidak “sesuai” dengan budaya 1Malaysia.

.

Saya pula secara peribadi sedikit terganggu dengan bahasa pasar yang digunakan dalam novel ini. Misalnya penggunaan “kitorang”, “pulak”, “diorang” dan “jugak” yang pasti lebih sesuai diganti dengan “kami”, “pula’, “mereka” dan “juga”. Pelik – dan lucu – apabila pegawai kanan polis serta pensyarah universiti berbual menggunakan kata ganti “kitorang” dan “diorang”.

.

Namun, kucing triwarna itu terus memukau perhatian saya, lalu saya tidak berhenti membaca novel ini sehingga selesai pada pukul 4:00 pagi, 5 Julai 2010.

.

Katayama ditampilkan sebagai seorang peminat novel penyiasatan dan cuba mengaplikasi minat itu dalam penyiasatan kes pelacuran, pembunuhan dan pelbagai misteri yang berlaku di universiti berkenaan.

.

Kisah kekasih misteri adiknya, Harumi dan pelbagai plot sampingan diadun secara kemas sehingga novel ini menjadi amat menarik. Tidak hairanlah Akagawa antara penulis novel paling berjaya di Jepun dan antara novelis yang menerima royalti paling tinggi di negara itu.

.

Akagawa lahir di Fukuoka pada 29 Februari 1948 (tahun lompat) dan menjadi penulis novel sepenuh masa pada usia 28 tahun. Beliau menghasilkan hampir 15 novel setahun. Dua novel beliau dijadikan filem animasi dan beberapa lagi dijadikan filem.

.

Membaca novel Pembunuhan di Universiti Hagoromo, terasa seperti “menonton” komik Jepun alih bahasa di televisyen; seperti boleh “mendengar” watak-watak bercakap Bahasa Malaysia di kaca televisyen!

.

Novel menjadi lebih menarik apabila pembaca diperkenalkan kepada Homuzu, seekor kucing betina triwarna: “Hampir kesemua bahagian belakangnya berwarna perang dan hitam. Perutnya putih. Kaki kanan depannya berwarna hitam tetapi kaki kirinya berwarna putih.”

.

Sebaik selesai membaca Bab 1, saya membuat catatan: Menarik! Jauh lebih baik daripada novel-novel Melayu di pasaran.

.

Homuzu menjadikan Katayama “milik”nya dan membantu polis itu menyelesaikan pelbagai misteri dlam novel ini. Plot dipenuhi twist dan unsur kejutan dan perkembangan di luar jangkaan.

.

Siapa @ apa sebenarnya Homuzu? Ada saya terfikir kemungkinan kucing itu sebenarnya jelmaan Yukiko Yoshiie. Kucing betina itu memang pelik dan aneh, sehingga Katayama sendiri sering bertanya, “Betulkah kau sebenarnya seekor kucing?”

.

Novel Pembunuhan di Universiti Hagoromo bukan novel misteri murahan. Sebaliknya, memaksa (ulang: memaksa) pembaca berfikir secara aktif sepanjang membacanya.

.

Membaca kisah Homuzu, segera mengingatkan saya kepada seekor kucing Parsi warna putih-jingga yang rasa-rasanya masih belum diberi nama oleh tuannya, Perdana Menteri Malaysia.

.

Pada 18 Jun 2010, menerusi blog rasmi, beliau meminta rakyat Malaysia mencadangkan nama bagi kucing berkenaan. Sehingga 5 Julai 2010, terdapat 622 cadangan dikemukakan.

.

Bagaimana dengan “Homuzu” kerana kucing Parsi itu mungkin akan mampu membantu menyelesaikan pelbagai “misteri” yang belum terjawab.

1 comment:

  1. Terima kasih atas komen itu. Penggunaan bahasa pasar akan diperbaiki pada masa akan datang :)

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!