7 Jul 2010

Melindungi Hak Penulis

Saya, Nisah Haron dan Zamri Mohamad antara penulis yang diundang menghadiri pre council bagi Mesyuarat Anggota Majlis, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Sesi 2010-2012 di Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya pada 5 Julai 2010.
.

Kami bertiga secara tidak langsung, antara lain, mewakili penulis, penggiat sastera, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penulis-penerbit-aktivis.

.

Apabila memperkatakan mengenai Dasar Perbukuan Negara (Dasar Buku Negara), terdapat wakil bagi penerbit, pengedar buku dan pelbagai pihak yang terlibat dalam perusahaan perbukuan; tidak demikian halnya dengan kelompok penulis.

.

Selepas mesyuarat, saya dan Nisah sempat duduk berbual mengenai perkara itu. Memandangkan kod dan etika penggiat perusahaan perbukuan turut disentuh dalam mesyuarat tadi, kami sependapat bahawa belum ada pihak – setahu kami – yang benar-benar mewakili kelompok penulis dalam isu-isu berkaitan kod, etika, hak cipta, royalti, harta intelek, penterjemahan dan pelbagai isu yang dekat dengan jiwa penulis.

.

Kita tidak menafikan wujud begitu banyak persatuan penulis; malah Nisah “orang kuat” Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) manakala saya bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

.

Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kebanyakan persatuan penulis tidak sepenuhnya diterajui “penulis” (dan yang masih “menulis”) sebagai jawatankuasa. Hal ini tidak salah dan langsung tidak dipersoalkan kerana selaras Perlembagaan masing-masing persatuan berkenaan.

.

Bagaimanapun, saya dan Nisah sependapat bahawa perlu ada kelompok “penulis” yang boleh dipertanggungjawabkan mewakili golongan “penulis” untuk bersuara dan menangani isu-isu yang berkait secara langsung dengan penulis dan kerja-kerja penulisan.

.

Misalnya (dan tidak terhadap kepada) isu hak cipta, royalti, plagiat, undang-undang, ditipu penerbit, ditipu penganjur aktiviti, proses menerbitkan buku sendiri, promosi dan pengedaran.

.

Dalam isu-isu berkaitan perundangan, golongan penulis amat bertuah kerana kita mempunyai Nisah yang boleh dijadikan pakar rujuk. Malangnya, kepakaran beliau kurang dimanfaatkan.

.

Apabila Dr Othman Puteh meninggal dunia pada 19 Oktober 2003, isteri Allahyarham menghadapi masalah berhubung pembayaran royalti yang tertangguh. Mujurlah beberapa penulis tampil membantu menyelesaikan isu itu dengan pihak berwajib.

.

Sebagai permulaan, saya dan Nisah bersetuju untuk memulakan usaha “mengesan” apakah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh “penulis” secara individu; bukan mewakili persatuan yang dianggotai.

.

Kami juga mengharapkan kerjasama, sokongan dan penglibatan lebih ramai penulis yang berpengalaman untuk sama-sama “membantu” rakan-rakan penulis yang menghadapi masalah. Konsep yang amat mudah: Penulis membantu penulis.

.

Apabila masalah-masalah yang dihadapi sudah dikumpulkan, senanglah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bertindak. Mudah juga untuk penulis “bersuara” mewakili golongan penulis.

.

Perlu dinyatakan bahawa usaha ini tidak membelakangkan mana-mana persatuan penulis atau mana-mana organisasi. Malah, sekiranya perlu, kami akan menghubungi persatuan dan organisasi terbabit untuk membantu kami menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan-rakan penulis.

.

Saya dan Nisah sependapat dalam hal ini: “Kalau bukan kita yang memulakan usaha ini, siapa lagi”.

.

Maka, penulis (tanpa had umur dan latar belakang) yang menghadapi masalah bolehlah mengirim maklumat ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my dan nisah.haron@gmail.com (sila hantar ke kedua-dua alamat) untuk tindakan lanjut.

.

Kami juga mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan penulis yang berpengalaman dan sudi tampil menjayakan usaha “melindungi” hak penulis. Kita bukan menjadi “pembangkang” tetapi kita berusaha menjadi “pembantu”.

.

Kalau bukan kita, siapa lagi?