“Apabila melihat nama saya sebagai seorang pengarang yang berasal dari Ethiopia, orang ramai, khususnya di Amerika Syarikat, menganggap serta mengharapkan saya menulis kisah-kisah yang ada kaitan rapat dengan tanah kelahiran saya serta pergolakan yang berlaku di sana,” katanya semasa kami berbual sambil menikmati teh tarik di sebuah restoran berdekatan Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada petang 11 Jun 2011.
Pengarang novel Beneath the Lion’s Gaze (2010) itu mengakui bahawa novel sulung berkenaan memenuhi kriteria berkenaan iaitu berkisar revolusi dan pergolakan di Ethiopia pada awal 1970-an.
“Saya menulis Beneath the Lion’s Gaze bukan atas desakan, permintaan atau cadangan penerbit. Sebaliknya demi kepuasan diri serta keinginan merakamkan kisah yang berlaku di tanah kelahiran saya pada masa lalu.
“Saya mengutip pengalaman semasa kanak-kanak serta menambah dengan kisah yang saya dengar daripada ibu saya dan melakukan kajian mendalam bagi menghasilkan karya fiksyen ini yang banyak mengangkat fakta dan kejadian sebenar,” katanya yang turut terlibat dalam sesi diskusi sempena Writers Unlimited Tour di The Annexe Gallery, Pasar Seni pada sebelah pagi.
Pengarang wanita berumur 40 tahun ini pernah tinggal di Nigeria dan Kenya sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat. Beliau mengikuti pengajian penulisan kreatif di Universiti New York dan kini menjadi pensyarah di sana.
“Bagi saya, tidak adil untuk mengharapkan seorang penulis kreatif menghasilkan karya yang hanya berkaitan negara asal serta etniknya sendiri. Bagi seorang pengarang, tiada sebarang sempadan bagi daya kreativiti dan capaian bidang penulisannya,” kata Maaza yang datang ke Kuala Lumpur buat pertama kali bersama-sama Abeer Soliman (Mesir), Rodaan Al Galidi (Iraq/Belanda) dan Gunduz Vassaf (Turki).
Menceritakan mengenai sambutan terhadap novel Beneath the Lion’s Gaze, Maaza berkata, penduduk Ethiopia turut gembira dengan kelahiran sebuah karya yang merakamkan kisah yang berlaku di negara mereka.
“Saya sering diundang membaca petikan novel ini di negara asal saya dan saya berpeluang mendengar pelbagai pengalaman yang diceritakan pula oleh mereka. Maka, novel ini membuka ruang untuk mengenang sejarah penting bagi negara Ethiopia.
“Malah, saya juga menerima e-mel daripada remaja perempuan dari Ethiopia yang meluahkan rasa gembira dan bangga melihat kejayaan saya dalam kerjaya dan bidang penulisan. Saya bersyukur kerana mampu menjadi contoh kepada mereka,” katanya yang berkarya menggunakan Bahasa Inggeris.
Sementara itu, pengarang dari Mesir, Abeer Soliman menceritakan kecintaannya terhadap Bahasa Arab yang membantunya meluahkan emosi dan pandangan secara indah dan berkesan.
“Saya lahir, membesar dan belajar di pedalaman serta kurang terdedah pada Bahasa Inggeris. Hanya kemudian saya mempelajari bahasa itu dan kini amat gemar membaca karya-karya Bahasa Inggeris,” katanya yang turut sama minum teh tarik bersama-sama saya, Maaza dan wartawan portal berita dalam talian Free Malaysia Today, Pragalath Kumar.
Mengenai penulisannya pula, penulis Diary of an Old Spinster (2010) mengaku bahawa beliau menulis demi kepuasan diri kerana hanya selepas memuaskan tuntutan santapan minda sendiri maka seseorang boleh memikirkan untuk menyajikannya kepada khalayak.
Abeer berhasrat membuka mata dan minda orang ramai, khususnya golongan lelaki di Mesir, yang sering memandang rendah terhadap kedudukan dan kemampuan golongan wanita.
“Mengikut perangkaan rasmi, pada tahun 2009, sekitar 2,700 wanita Mesir membunuh diri kerana tidak mampu berdepan dengan pelbagai masalah dan cemuhan semata-mata kerana mereka lahir sebagai wanita,” kata wanita berumur 34 tahun ini yang juga kolumnis di akhbar Baladna dan agen sastera bagi Noon Organisation.
Menurut Abeer, 54 peratus penduduk Mesir berada di bawah paras kemiskinan tegar dan beliau cuba membantu mereka menerusi penglibatannya dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Antara program yang kami atur adalah berkaitan memberi kesedaran kepada golongan wanita mengenai hak mereka, isu berkaitan penderaan seksual dan keganasan rumah tangga, serta mengajar seni kraf kepada golongan wanita untuk membina keyakinan dan kemampuan berdikari,” katanya.
Abeer turut menulis lakon layar dan terlibat dalam dunia kewartawanan. Selain itu, beliau kini sedang melakukan kajian dan kerja-kerja mengumpul maklumat bagi novel yang sedang diusahakannya.
“Menulis memberi saya peluang untuk memotivasi diri serta memotivasi orang lain, khususnya golongan wanita di Mesir. Sejak perubahan dalam politik dan kepimpinan negara baru-baru ini, golongan wanita – khususnya generasi muda – turut menyedari tanggungjawab dan peranan mereka dalam sama-sama menyumbang ke arah pembinaan negara yang diimpikan,” katanya.
Foto: Abeer, Maaza, Rodaan dan Gunduz di Taylor’s University pada 10 Jun 2011.