[Sambungan daripada Bahagian 1] Di Malaysia, isu seseorang mualaf (masuk islam) mahu meninggalkan islam atau murtad merupakan persoalan undang-undang yang sangat kompleks kerana melibatkan hubungan antara Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah negeri-negeri, serta bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Berbeza dengan beberapa negara lain yang memberikan kebebasan mutlak untuk menukar agama melalui proses pentadbiran biasa, sistem undang-undang Malaysia meletakkan status agama islam di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah. Oleh itu, seorang individu yang telah masuk islam secara rasmi tidak boleh semata-mata mengisytiharkan dirinya keluar islam (murtad) tanpa pengesahan undang-undang.
Walaupun begitu, realiti perundangan di Malaysia menunjukkan bahawa terdapat beberapa laluan yang pernah digunakan oleh individu mualaf untuk meninggalkan agama islam secara sah di sisi undang-undang. Laluan-laluan ini biasanya melibatkan permohonan mahkamah, cabaran terhadap kesahan penukaran agama asal, atau pertikaian mengenai identiti agama seseorang.
Kes-kes yang pernah diputuskan di mahkamah serta kajian akademik menunjukkan bahawa proses tersebut memang sukar tetapi bukan mustahil. Semoga perkongsian di bawah ini menjadi panduan berguna kepada sesiapa yang memerlukan bantuan.
Cara paling jelas dan paling formal ialah melalui permohonan rasmi keluar islam di Mahkamah Syariah. Di beberapa negeri, terutama Negeri Sembilan, terdapat prosedur khusus yang membolehkan seseorang muslim memfailkan permohonan untuk diisytiharkan bukan lagi beragama islam. Saya pernah berbual dengan beberapa individu yang berjaya kembali kepada agama asal menerusi proses undang-undang seperti ini.
Pemohon biasanya perlu melalui sesi kaunseling agama atau “pemulihan akidah” sebelum mahkamah membuat keputusan akhir. Kajian akademik mengenai undang-undang murtad di Malaysia menunjukkan bahawa Negeri Sembilan mempunyai antara peruntukan paling jelas berkaitan prosedur keluar islam.
Di Sabah pula, Mahkamah Tinggi Syariah pernah menerima ratusan permohonan keluar islam. Laporan kajian mendapati bahawa pada tahun 2010, sebanyak 238 permohonan diterima dan hanya 67 daripadanya diluluskan. Antara alasan yang dikemukakan termasuklah masuk islam semata-mata untuk berkahwin, wujud kekeliruan identiti agama, dan kegagalan menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai muslim.
Selain itu, terdapat juga kes-kes di mana seseorang berjaya keluar daripada status islam dengan membuktikan bahawa penukaran agama asal sebenarnya tidak sah. Dalam keadaan seperti ini, mahkamah tidak menganggap individu tersebut sebagai murtad, sebaliknya memutuskan bahawa beliau sebenarnya tidak pernah menjadi muslim secara sah sejak awal. Individu dalam kategori ini juga menjadi sumber maklumat kepada saya dalam memperkatakan topik ini.
Faktor-faktor seperti tiada persetujuan sebenar, tidak memahami proses pengislaman, atau berlaku unsur paksaan sering menjadi hujah utama. Antara kes paling terkenal ialah kes Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang di Pulau Pinang. Beliau memeluk islam untuk berkahwin tetapi terus menjalani kehidupan sebagai penganut Buddha dan tidak pernah mengamalkan ajaran islam.
Mahkamah Syariah akhirnya mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah “bukan lagi orang islam” dan membenarkannya kembali kepada agama asal. Kes ini sering dirujuk dalam kajian undang-undang kerana menunjukkan bahawa mahkamah kadangkala menilai realiti kehidupan individu tersebut, bukan sekadar status pada dokumen rasmi.
Satu lagi pendekatan yang pernah diterima ialah dengan membuktikan bahawa seseorang itu tidak pernah benar-benar menghayati atau mengamalkan islam secara sukarela. Dalam beberapa keputusan mahkamah, aspek pengamalan agama diberi perhatian, termasuk sama ada individu tersebut memahami syahadah, menunaikan ibadah asas, atau menjalani kehidupan harian sebagai muslim.
Dalam beberapa kes di Sabah dan Sarawak, mahkamah mengambil kira hakikat bahawa individu tertentu memeluk islam hanya secara teknikal, misalnya kerana urusan perkahwinan atau pentadbiran, tetapi tidak pernah benar-benar mengamalkan agama tersebut. Oleh itu, mahkamah melihat identiti agama asal mereka sebagai masih dominan dalam kehidupan sebenar.
Saya berpeluang berbual dengan beberapa individu dalam pelbagai kategori ini. Namun, tentulah saya merahsiakan identiti kesemua individu yang berkongsi pengalaman. Apa yang penting, pengalaman mereka mampu menjadi panduan dan pengajaran kepada umat Bukan Islam secara umum.
Di samping itu, terdapat juga kes-kes yang melibatkan cabaran di Mahkamah Sivil apabila isu tersebut berkait dengan hak perlembagaan atau pertikaian bidang kuasa. Walaupun Mahkamah Syariah mempunyai kuasa terhadap orang Islam, Mahkamah Sivil masih boleh terlibat jika timbul persoalan sama ada seseorang pernah menjadi muslim secara sah atau jika terdapat isu hak asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Kes Lina Joy merupakan contoh paling terkenal dalam sejarah perundangan di Malaysia. Lina Joy, yang dilahirkan sebagai muslim dengan nama Azlina binti Jailani, mahu menukar status agamanya pada kad pengenalan selepas memeluk agama Kristian. Mahkamah Persekutuan akhirnya memutuskan bahawa pengesahan keluar islam perlu diperoleh daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Walaupun Lina Joy tidak berjaya, kes itu menjadi rujukan utama dalam memahami hubungan antara kebebasan beragama dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia. Dalam beberapa kes lain melibatkan Orang Asli, Mahkamah Sivil turut mendengar hujah bahawa individu tertentu sebenarnya tidak pernah secara sah menjadi muslim sejak awal.
Selain faktor-faktor di atas, pembubaran perkahwinan campur juga sering menjadi asas kepada permohonan keluar islam. Ramai mualaf di Malaysia memeluk islam kerana syarat perkahwinan dengan pasangan muslim. Apabila berlaku perceraian, sesetengah individu memohon untuk kembali kepada agama asal. Tambahan pula, tujuan mereka meninggalkan agama asal adalah semata-mata untuk membolehkan mereka berkahwin secara sah dengan orang islam, bukan kerana menerima hidayah dan mahu menjadi seorang muslim.
Memang dalam beberapa kes di Sabah dan Sarawak yang saya rujuk, mahkamah mengambil kira dan mempertimbangkan hakikat bahawa tujuan asal memeluk islam hanyalah untuk memenuhi syarat perkahwinan, bukan kerana kepercayaan agama yang mendalam terhadap islam. Dalam kes-kes ini, faktor seperti tempoh pengamalan islam, hubungan dengan keluarga asal (Bukan Islam), dan kehidupan selepas perceraian turut diambil kira sebelum mahkamah membuat keputusan.
Namun demikian, walaupun terdapat beberapa laluan undang-undang untuk keluar islam secara sah di Malaysia, proses tersebut tetap rumit, penuh liku, dan berbeza antara negeri. Tidak semua negeri mempunyai prosedur yang jelas, malah ada negeri yang memperuntukkan hukuman atau tindakan pemulihan akidah terhadap individu yang cuba meninggalkan islam.
Tempoh proses mahkamah juga boleh menjadi sangat panjang dan memerlukan khidmat peguam syarie serta peguam sivil yang berpengalaman dalam isu Perlembagaan dan undang-undang agama. Inilah juga keluhan yang saya dengar daripada beberapa individu mualaf yang menganggap diri mereka “masih terperangkap dan terseksa” serta mengalami trauma setiap kali terpaksa menghadiri sesi kaunseling dan sesi pemulihan akidah yang diwajibkan; walaupun jiwa mereka tidak lagi—atau tidak pernah—menerima islam.
Memanglah seorang mualaf di Malaysia masih ada kemungkinan—walaupun peluang amat tipis—untuk meninggalkan agama islam secara sah di sisi undang-undang. Tetapi proses tersebut tertakluk kepada sistem perundangan syariah negeri dan pengawasan mahkamah. Prosesnya amat kompleks dan rumit. Malah, ada individu yang pernah meluahkan kepada saya bahawa mereka “lebih rela mati daripada terpaksa melalui neraka (proses perundangan) tanpa penghujung ini”.
Akhirnya, sebagai umat Bukan Islam yang memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, kita hanya mampu mengulangi kebijaksanaan orang lama yang sudah memberikan amaran dan peringatan menerusi pepatah dan peribahasa: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna; ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
