Akhbar The Star dan New Straits Times pada 22 Jun 2011 melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid yang dijadikan teks Komsas.
Keputusan itu tentunya selepas cadangan menggunakan “pelekat ajaib” seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011 mendapat bantahan Rakyat.
Sila KLIK DI SINI untuk membaca kenyataan saya bertarikh 21 Jun 2011 berhubung perkara ini. Terdapat juga pautan ke laman maklumat tambahan berhubung kontroversi ini.
Kini, walaupun Kementerian Pelajaran khabarnya akan mencetak semula novel berkenaan, saya tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “lakonan” mana-mana pihak.
Kebimbangan dan wasangka Rakyat adalah berasas kerana bermula 16 Mac 2011, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu untuk menipu dan memutar-belit fakta berhubung senarai pindaan yang diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011.
Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka!) yang saya tunjukkan terhadap janji Kementerian Pelajaran untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid adalah amat berasas.
Pasti sahaja saya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India pada 28 Februari 2011 dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta diterima oleh Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
Perkara pertama yang saya mahu lihat adalah bahawa “Sasterawan Negara Abdullah Hussain” dicetak pada kulit hadapan novel. (Novel berkenaan akan dicetak semula dengan kos RM5 senaskhah, seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 22 Jun 2011.)
Perkara lain berkaitan hak pengarang yang mahu saya pastikan adalah bahawa terdapat “© Abdullah Hussain 1971” dan kenyataan “novel Interlok Edisi Murid adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005)” serta “novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka” pada Halaman Hak Cipta.
Pada keseluruhannya, terdapat 106 pindaan yang perlu dilakukan seperti dipersetujui dan dijanjikan Kementerian Pelajaran.
Sejumlah 106 pindaan yang diperakukan itu harus dilakukan mengikut cara dan bentuk yang sudah dibincang dan dipersetujui semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.
Pada lewat malam 21 Mac 2011, seorang wartawan akhbar Siasah menelefon saya dan mengatakan bahawa dia telah menghubungi seorang ahli Panel Bebas dan individu itu khabarnya memberitahu wartawan terbabit bahawa pindaan hanya melibatkan 19 perkara di 9 halaman novel Interlok Edisi Murid.
Saya tidak mahu membazir masa dan tenaga membantah atau membetulkan kenyataan orang lain. Sebaliknya, saya berpegang teguh pada keputusan rasmi dan janji Menteri Pelajaran. Kesemua 106 pindaan perlu dilaksanakan mengikut cara dan bentuk sebagaimana dipersetujui, serta buku dicetak semula sebelum digunakan sebagai teks Komsas.
Orang ramai juga boleh turut serta dalam proses memastikan kesemua 106 pindaan itu dilakukan sepenuhnya seperti dijanjikan. Sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas pada 28 Februari 2011.
Kemudian, orang ramai boleh melakukan semakan bagi memastikan bahawa kerja-kerja pemurnian sudah dilaksanakan sepenuhnya apabila buku dicetak. Jika masih ada unsur “lakonan” dan “penipuan”, maka Rakyat sendiri boleh menjadi Hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Kementerian Pelajaran (Kerajaan).
Sila maklum bahawa sejumlah 106 pindaan yang dinyatakan itu tidak semestinya melibatkan 106 halaman. Malah, tidak semestinya melibatkan pembetulan di 106 tempat sahaja.
Misalnya, penggunaan frasa “orang berkulit hitam” di halaman 251 minta ditukar kerana “menyentuh sensitiviti dan mengundang prejudis atau diskriminasi warna kulit” serta “tidak patuh pada syarat pemilihan buku teks seperti ditetapkan Kementerian Pelajaran”.
Perkara itu sudah diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 dan dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.
Maka, setiap kali frasa “orang berkulit hitam” muncul secara yang tidak wajar untuk menggambarkan watak kaum India, perlulah secara automatik dimurnikan dalam novel Interlok Edisi Murid mengikut cara-cara yang sudah dibincang dan diputuskan dalam perbincangan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011.
Untuk makluman, saya hanya boleh memperjuangkan 106 pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas. Saya tidak boleh berbuat apa-apa berhubung senarai saranan pindaan yang dikemukakan pihak lain dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 tetapi “ditarik balik” oleh orang sama semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 16 Mac 2011.
Dalam hal ini, mujurlah perkara-perkara berkaitan hak pengarang (nama pada kulit novel, hak cipta karya dan sebagainya) dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India. Maka, dapat terus diperjuangkan dan dipastikan akan dilaksanakan seperti dijanjikan.
Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperjuangkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.