22 Jun 2011

Interlok: MIC kecewa pelekat ajaib diguna tutup perkataan sensitif

KUALA LUMPUR, 21 Jun – MIC kecewa dengan tindakan menggunakan pelekat - yang wakil panel khas kaum India menyifatkannya sebagai “pelekat ajaib” - bagi menutup perkataan-perkataan sensitif dalam buku teks sastera Interlok.

“Apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang mengecewakan,” kata Presiden MIC Datuk G Palanivel dalam satu kenyataan malam ini.


Kata Palanivel, jika tiada jaminan bahawa buku teks itu akan diedit dan dicetak semula, MIC akan membuat satu pendirian tegas termasuk meminta agar ia ditarik balik daripada digunakan di sekolah.


Kementerian Pelajaran telah menyerahkan tanggungjawab menyunting dan mencetak semula kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seterusnya dibekalkan untuk kegunaan pelajar tingkatan lima di zon dua.


Isu kontroversi Interlok yang dilihat sudah reda dengan keputusan tiga bulan lalu muncul semula dengan laporan media hari ini bahawa pendekatan pelekat khas akan digunakan untuk menyelesaikan sama sekali perkara tersebut.


Palanivel berkata sememangnya sudah ada persetujuan bahawa novel Interlok akan diedit secara total dan dicetak semula ekoran keputusan yang dicapai berkaitan pindaan tiga bulan lalu.


“Kami juga diberitahu bahawa MIC dan anggota panel kaum India akan diberikan versi yang sudah diedit terlebih dahulu (untuk diteliti sebelum dicetak),” kata Palanivel.


Bagaimanapun tambah beliau, apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang mengecewakan.


“MIC, anggota panel kaum India dan masyarakat India rasa malu dengan apa yang berlaku,” kata Palanivel lagi.


Difahamkan Palanivel juga telah berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu ini hari ini dan diberi jaminan bahawa buku teks kontroversial itu akan dicetak semula.


Dalam reaksi awal hari ini, salah seorang wakil panel khas kaum India dalam isu Interlok menegaskan pindaan menggunakan “pelekat ajaib” pada novel kontroversial itu bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan106 pindaan sebelum ini.


Uthaya Sankar SB berkata beliau ada mendengar khabar mengenai langkah menggunakan pelekat khas – “pelekat ajaib” kerana kedengaran lebih menarik – bagi memurnikan novel Interlok Edisi Murid.


Katanya, beliau tidak setuju bahawa pindaan menggunakan “pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan.


“Senarai pindaan yang dikemukakan oleh tiga wakil kaum India dalam panel bebas mengkaji pindaan novel Interlok pada 28 Februari lalu melibatkan pindaan bagi 106 perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum,” katanya.


Kata beliau, senarai 106 pindaan yang dikemukakan oleh tiga wakil kaum India diperakukan oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 4 Mac lalu.


“Bagi saya, keputusan menggunakan ‘pelekat ajaib’ bagi melakukan pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan kontroversi ini secara baik,” kata beliau. – Baca lagi DI SINI


(G Manimaran, The Malaysian Insider, 21 Jun 2011)