Friday, 5 February 2010

Anda berasal daripada perak?

Saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong dan Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping; seperti yang saya ceritakan – antara lain – dalam cerpen “e-mel untuk anda” (Kathakali, 2009).

Hukum bahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) yang saya pelajari (tanpa berorientasikan peperiksaan) pada zaman persekolahan terus kekal dalam ingatan dan menjadi panduan kepada saya dalam urusan seharian – sebagai penulis, pembaca, penyunting, pensyarah dan pembimbing bengkel penulisan.


Misalnya, berkaitan penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada”. Berikut petua dan panduan mudah yang saya gunakan sejak sekolah rendah:


Kata sendi “dari” digunakan apabila kita boleh menjawab pertanyaan “dari mana?” dan “dari bila?” manakala kata sendi “daripada” digunakan dalam semua situasi lain.


Secara lebih khusus, kata sendi “dari” digunakan apabila merujuk pada “masa,” “tempat,” “arah” dan “sudut”.


Masa – Pameran itu berlangsung dari (masa/bila) 29 Januari hingga 1 Februari 2010.


Tempat – Saya berasal dari (tempat/mana) Perak.


Arah – Burung itu terbang dari (arah/mana) utara ke selatan.


Sudut – Perkara ini perlu dikaji dari (sudut/mana) perspektif sejarah.


Secara khusus, kata sendi “daripada” pula digunakan apabila merujuk pada “asal/sumber,” “perbandingan,” “pemberi/pengirim,” “sebahagian,” “mencegah” dan “perubahan”.


Asal/sumber – Rantai ini diperbuat daripada (asal/sumber) perak.


Perbandingan – Buah durian lebih besar (perbandingan antara dua atau lebih objek) daripada buah rambutan.


Pemberi/pengirim – Adik gembira menerima hadiah daripada (pemberi/siapa) ayah. Kakak gembira menerima surat daripada (pengirim/siapa) tunangnya.


Sebahagian – Tiga (sebahagian, bukan semua) daripada pelajar kelas ini tidak tahu membaca.


Mencegah – Kita perlu menjauhkan diri (mencegah/negatif)daripada dadah.


Perubahan – Berat badan saya bertambah (perubahan pada objek yang sama) daripada 50 kilogram kepada 70 kilogram dalam masa dua bulan.


Panduan dan petua penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada” yang saya gunakan sejak sekolah rendah, kini saya catatkan di blog ini supaya senang dirujuk kalau saya ditakdirkan terlupa pada usia tua! Sila KLIK DI SINI untuk panduan penggunaan imbuhan "pe-an" dan "per-an".

3 comments:

  1. Terima kasih dengan perkongsian maklumat yang berguna ini. Harap maaf saya copy dan paste dalam blog www.psumbersmkrc.blogspot.com untuk dikongsi dengan pelajar-pelajar.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dengan maklumat di atas. Izinkan saya copy & paste untuk dibuat rujukan.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih dengan maklumat di atas. Izinkan saya 'copy and paste' untuk dibuat rujukan.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!