Rata-rata, meminjam kata orang tua-tua, “anjing yang menyalak bukit” berbuat demikian kerana “naluri dalaman” dan bukan kerana tahu serta faham apa yang dilakukannya.
Pada 26 Januari 2010, saya berpeluang menonton Creation (2009) arahan Jon Amiel yang menampilkan kisah Charles Darwin (lakonan Paul Bettany) sebelum dan semasa beliau menghasilkan On the Origin of Species.
Filem berkenaan memulakan tayangan di Britain pada 25 September 2009, Greece (15 Oktober 2009), Jepun (20 Oktober 2009), New Zealand (24 Disember 2009), Belanda (7 Januari 2010), Belgium (20 Januari 2010), serta serentak pada 22 Januari 2010 di Amerika Syarikat dan Kanada.
Apa yang menarik perhatian saya adalah bahawa filem Creation (yang pasti sahaja akan diharamkan di beberapa negara) sebenarnya menampilkan Charles Darwin sebagai seorang manusia. Lebih tepat lagi, sebagai seorang bapa.
Saya amat terharu menyaksikan hubungan Charles Darwin dengan anaknya, Anne Elizabeth Darwin (1841 – 1851); walaupun pasti sahaja apa yang dipaparkan dalam filem Creation tulisan John Collee merupakan faksyen – bauran antara fakta dan fiksyen.
Sebelum dan selepas kematiannya, Anne @ Annie (lakonan Martha West) sentiasa hadir untuk berbual, menasihati serta meminta bapanya menceritakan mengenai Jenny, orang utan yang dibawa ke Zoo London dari Borneo pada sekitar tahun 1838.
Selepas Anne meninggal dunia pada usia 10 tahun, Charles Darwin dan isterinya, Emma Darwin (lakonan Jennifer Connely) mengumpulkan barang-barang milik Anne di dalam sebuah kotak.
Sekitar tahun 2000, kotak itu ditemui oleh Randal Keynes yang seterusnya bertindak menulis buku Annie’s Box: Charles Darwin, His Daughter, and Human Evolution (2001). Buku itulah yang dijadikan asas untuk menulis skrip filem Creation.
Tentu sahaja kelahiran filem Creation tidak akan mampu mengubah persepsi negatif kelompok tertentu terhadap Charles Darwin serta teori-teori yang beliau kemukakan berhubung evolusi manusia.