Thursday, 23 June 2011

Interlok: Bila mesyuarat ‘rahsia’ pinda pindaan?

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2011 — Wakil panel khas kaum India yang terlibat dalam urusan kajian pindaan ke atas novel Interlok kontroversial terkejut seolah-olah telah diadakan satu mesyuarat ‘rahsia’ bagi meminda perkara-perkara yang telah diputuskan tiga bulan lalu.

Laporan media hari ini memetik Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan untuk meminda hanya sesetengah bahagian telah dibuat pada satu mesyuarat jawatankuasa dan Kementerian Pelajaran mengikut apa yang telah diputuskan.


“Ia bukan satu isu. Mereka (MIC) dialu-alukan untuk berhubung dengan pejabat ketua pengarah (pelajaran). Salinan pindaan boleh diperoleh. Jika mereka mahu, mereka boleh dapatkan daripada kami,” kata Wee.


Sehubungan itu wakil panel khas berkenaan, Uthaya Sankar SB berkata, beliau terkejut dengan komen timbalan menteri tersebut seolah-olah telah diadakan satu pertemuan selepas mesyuarat terakhir dengan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir Mac lalu.


“Saya tertanya-tanya mesyuarat panel rahsia bawah tanah yang mana beliau (Wee) merujuk,” kata Uthaya Sankar dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. [BACA DI SINI]


Keputusan akhir telah diputuskan ketika pertemuan dengan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri pada 23 Mac, katanya.


Malah beliau juga berkata, Wee tidak terlibat dalam pertemuan tersebut sama ada ketika mesyuarat-mesyuarat panel bebas ataupun ketika mesyuarat akhir dengan Menteri Pelajaran pada 23 Mac.


“Tidak perlu disebut mesyuarat kontroversial dan bersifat manipulasi pada 16 Mac 2011,” katanya.


Tambah beliau, mana-mana mesyuarat yang diadakan selepas pengumuman oleh Muhyiddin mengenai novel Interlok Edisi Murid di Parlimen pada 24 Mac lalu diadakan untuk memastikan pindaan 106 perkara dilakukan sebagaimana telah dijanjikan.


“Oleh itu, saya tertanya-tanya dari mana Dr Wee mendapat maklumat tidak tepat sedemikian, yang disampaikan kepada media,” katanya lagi.


Uthaya Sankar juga berkata, walaupun Kementerian Pelajaran memutuskan bahawa akan mencetak semula novel berkenaan tetapi beliau tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “lakonan” mana-mana pihak.


“Kebimbangan dan wasangka rakyat adalah berasas kerana bermula 16 Mac 2011, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu untuk menipu dan memutar belit fakta berhubung senarai pindaan yang diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011.


“Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka) yang saya tunjukkan terhadap janji Kementerian Pelajaran untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid adalah amat berasas,” kata beliau. [BACA LEBIH LANJUT]


Katanya, pihaknya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan yang dikemukakan tiga wakil kaum India pada 28 Februari lalu dan diperakukan oleh panel bebas 4 Mac serta diterima oleh Menteri Pelajaran pada 23 Mac dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.


Kata Uthaya Sankar, perkara pertama yang mahu dilihat adalah bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dicetak pada kulit hadapan novel.


“Perkara lain berkaitan hak pengarang yang mahu saya pastikan adalah bahawa terdapat ‘© Abdullah Hussain 1971’ dan kenyataan ‘novel Interlok Edisi Murid adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005)’ serta ‘novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka’ pada Halaman Hak Cipta.


“Pada keseluruhannya, terdapat 106 pindaan yang perlu dilakukan seperti dipersetujui dan dijanjikan Kementerian Pelajaran,” kata beliau lagi.


Katanya, kesemua pindaan yang diperakukan itu harus dilakukan mengikut cara dan bentuk yang sudah dibincang dan dipersetujui semasa perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada 23 Mac lalu.


(Manimaran, The Malaysian Insider, 23 Jun 2011)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!