Bagaimanapun, pertubuhan itu tetap menyelar sikap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang meminggirkan sumbangan dan peranan golongan penulis.
Presidennya, Che Shamsudin Othman (Dinsman) berkata, Hari Ilmu seharusnya mengingatkan orang ramai kepada ilmu itu sendiri iaitu bagaimana ilmu terjadi, berkembang, sampai kepada manusia dan bagaimana setiap insan boleh menjadi orang berilmu.
“Soalan-soalan ini tentunya membawa kita berfikir mengenai penulis, kerana penulislah yang bertanggungjawab dan berjasa merakam-kan ilmu, memeliharanya dan menyebarkannya,” katanya semasa menyampaikan Ucap Utama pada Konvensyen Penulis sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.
Ucap Utama bertajuk “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan” itu disampaikan pada konvensyen yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.
Che Shamsudin berkata, tanpa penulis, ilmu tidak akan berkembang, tidak mampu tersebar dan tidak juga dapat diwarisi zaman-berzaman.
“Tanpa penulis juga ilmu takkan dapat dimajukan dan dimanfaatkan oleh manusia, dan tanpa penulis juga dunia dan tamadun manusia takkan terjadi atau mencapai ke tahap seperti keadaannya hari ini.
“Golongan penulis, termasuklah juga para seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual, sudah lama dipinggirkan dan sudah lama terpinggir,” katanya.
Mengulas lanjut, Presiden Paksi berkata, orang ramai dan kerajaan persekutuan dan negeri lama lupa kepada jasa dan peranan penting golongan penulis serta meminggirkan golongan penulis, seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual.
“Maka, biarlah kesempatan Konvensyen Penulis ini digunakan untuk berdialog secara terus terang dengan Menteri Besar Selangor kerana hanya beliau yang boleh menyampaikan hasrat dan hajat penulis untuk mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya yang bernilai tinggi, bernilai ilmu, di negeri Selangor yang makmur ini.
“Semoga selepas ini, kalau Menteri Besar bersetuju agar seni-budaya dimajukan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk rakyat, seniman dan budayawan sudah ada dan bersedia untuk melaksanakan dan menjayakannya,” katanya sebagai meluahkan pandangan mewakili para penulis.