16 Jan 2011

Perhimpunan Aman di Rumah Gapena

Saya secara peribadi amat 'bangga' dan merakamkan ucapan 'tahniah' kepada Gapena (serta kerabat) dan kesemua NGO Melayu yang menghadiri perhimpunan membantah isu Interlok dipolitikkan, di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011.
.
Saya yang tiba jam 2:40 petang pada mulanya risau juga kerana mungkin tiada tempat meletakkan kereta. Bagaimanapun, saya tidak menghadapi sebarang masalah. Saya lihat beberapa anggota polis di luar pintu masuk Rumah Gapena.
.
Ternyata perhimpunan bermula tepat jam 2:30 petang dan hal ini memang wajar dipuji dan menjadi ikutan semua. Seseorang sedang memberi ucapan di ruang pintu masuk Rumah Gapena yang dijadikan pentas berucap. Perkara ini juga membanggakan kerana tidak membazir wang.
.
Saya duduk di sebelah Kak Mun yang saya kenali sejak melangkah ke Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada Julai 1993. Kemudian saya berjalan dan bertemu beberapa rakan penulis dan aktivis seni. Hampir 60 individu dari lebih 30 NGO dilaporkan hadir. Seperti yang saya nyatakan dalam catatan sebelum ini [BACA DI SINI] memang tidak ada sebarang masalah untuk saya hadir bersama pada majlis ini.
.
Namun, saya tiba-tiba diundang bercakap di hadapan sebagai Presiden Kavyan! Saya cuba menolak tetapi diminta oleh rakan-rakan supaya ke depan. Maka, saya memulakan dengan menyatakan bahawa saya sepatutnya tidak bercakap – mengeluarkan kenyataan – sebagaimana sudah saya terangkan dalam tulisan saya di akhbar Sinar Harian pada 15 Januari 2011. Maka, saya sekadar mengulang beberapa perkara yang dinyatakan dalam artikel itu. Secara teknikal, saya tidak mengeluarkan sebarang “kenyataan”.
.
Ada juga hadirin yang meminta saya menjelaskan mengapa penggunaan istilah ‘paria’ dalam novel Interlok menjadi begitu sensitif dan menimbulkan isu. Saya meminta mereka yang berminat menghadiri Taklimat Khas Kavyan Mengenai Interlok Edisi Murid di Shah Alam pada 16 Januari 2011. Memang ada hadirin yang kurang berpuas hati dan mengasak dengan laungan "Now! Now! Now!", namun saya tetap berpegang pada janji untuk tidak mengeluarkan kenyataan semasa menghadiri perhimpunan di Rumah Gapena sebagai menghormati tuan rumah. [TONTON VIDEO ITU DI SINI]
.
Selepas itu, saya teruskan bertemu dan bersalaman dengan rakan-rakan. Percayalah! Hubungan kami tetap mesra kerana kami semua sama-sama berfikiran rasional dan mampu berhujah secara intelektual. Malah, selepas ada rakan penulis berucap berapi-api (sekali gus “menyelar” saya) di pentas, kemudian kami bertemu dan masih mampu bersalam dan berpelukan. Kami mampu membezakan antara rasional dan emosional.
.
Ringkasnya, saya secara peribadi tabik kepada Gapena (serta kerabat yang bernaung di bawahnya) dan kesemua NGO Melayu yang hadir pada perhimpunan besar-besaran ini. Tentu sahaja Kavyan turut membantah tindakan mana-mana pihak membakar buku dan foto sasterawan; seperti yang sudah dinyatakan DI SINI.
.
Perhimpunan berakhir dengan pembacaan lapan resolusi [BACA DI SINI] sekitar jam 4:00 petang. Sempat saya memberitahu beberapa rakan penulis: mungkin selepas ini akhbar Sinar Harian akan menyediakan ruangan sastera kerana terbukti berita dunia sastera juga ada daya tarikan!
.
Oh, ya! Akhbar Sinar Harian (di mana saya menjadi Penolong Editor) pada Ahad, 16 Januari 2011 membuat liputan khas 6 halaman mengenai isu berhubung novel Interlok.