Wednesday, 22 June 2011

“Pelekat ajaib” masih tak murnikan Interlok

Pindaan 9 halaman menggunakan “pelekat ajaib” dalam novel Interlok bertentangan dengan janji Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, dakwa panel pindaan novel itu Uthaya Sankar SB.

Sasterawan itu berkata, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran pada 23 Mac lalu bersetuju menerima kesemua 106 pindaan yang meliputi lebih 40 halaman dalam novel itu.

Justeru, Uthaya menyifatkan tindakan kementerian itu “boleh ditafsirkan sebagai ‘lakonan’ dan sekadar bertujuan mengabui mata rakyat”.


“Bagi saya, tindakan menggunakan ‘pelekat ajaib’ juga tidak membantu mengangkat maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong pada 1996,” katanya.

New Straits Times hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dalam pindaan terbaru, pihaknya akan menggunakan pelekat di 9 halaman yang berkenaan.

Menulis di blognya hari ini, Uthaya berkata, selagi kesemua pindaan yang diperakukan tidak dilaksanakan seperti dijanjikan, selagi itulah Interlok belum “dimurnikan”.

“Saya sedia menerima undangan untuk tampil memberi penerangan lanjut berhubung perkara ini kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang berminat mendapatkan penjelasan lebih mendalam berserta bukti berhubung kontroversi ini,” katanya. – Baca lagi DI SINI

(Norsyafinas Ahmad Sukri, Malaysiakini, 21 Jun 2011)