Tuesday, 18 January 2011

Kematian Malini Bukti Interlok Boleh Dimurnikan

Kematian watak Malini, isteri kedua Maniam, dalam novel Interlok menjadi bukti nyata dan kukuh bahawa novel itu memang boleh “dimurnikan” apabila dijadikan edisi murid.
.
Sejak tercetusnya kontroversi berhubung novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010), beberapa pihak tampil mempertahankan buku edisi murid itu dengan mengatakan bahawa mana-mana bahagian dalam novel itu tidak boleh diubah kerana perbuatan mengubah (menyunting, menambah, membuang bahagian tertentu) novel itu adalah satu penghinaan kepada sebuah “karya agung” yang dihasilkan oleh seorang Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.
.

Kumpulan masyarakat India yang mendesak supaya novel Interlok Edisi Murid diubah mengharapkan bahagian-bahagian yang menghina masyarakat India (dan Melayu), menghina amalan agama Hindu, serta kesalahan fakta yang amat nyata itu diperbaiki dan dibetulkan sebelum Interlok Edisi Murid dibenarkan dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan media meminta supaya novel Interlok Edisi Muriddimurnikan” iaitu mana-mana bahagian yang menyentuh sensitiviti masyarakat (India, Melayu, Cina), menghina budaya dan agama kaum India beragama Hindu, serta kesalahan-kesalahan fakta dibetulkan (dibaiki, diperelokkan, disesuaikan, dimurnikan) supaya novel itu menjadi benar-benar sesuai bagi bacaan pelajar sama ada sebagai sebuah karya sastera (fiksyen) atau karya sejarah (fakta).

.

Pendirian tegas kumpulan tertentu dan individu tertentu yang mempertahankan novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010) adalah bahawa mereka “membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut” dengan alasan (antara lain) bahawa usaha “memurnikan” novel Interlok Edisi Murid bermakna menghina karya agung seorang Sasterawan Negara.

.

Melalui “Taklimat Khas Kavyan Mengenai Novel Interlok Edisi Murid” di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, pada 16 Januari 2011, Kavyan mengemukakan puluhan bukti bahawa selain daripada isu perkataan “paria” dan “kasta” yang hangat diperkatakan, terdapat puluhan kesalahan fakta yang perlu “dimurnikan” selaras dengan tujuan novel Interlok diperkenalkan sebagai teks Komsas; selaras objektif Komsas.

.

Kumpulan tertentu yang memperjuangkan bahawa novel Interlok tidak boleh diubah walau sepatah perkataan, mungkin tidak sedar bahawa novel itu memang sudah mengalami separuh proses “dimurnikan” apabila dijadikan edisi murid.

.

Dalam edisi asal karya Datuk Abdullah Hussain, watak “Malini bunuh diri” dan bapanya, Perumal, “menjumpainya tergantung di pokok belimbing di belakang dapur” seperti boleh dibaca di halaman 324-325 novel Interlok (DBP: 2003).

.

Novel Interlok Edisi Murid (DBP: 2010) pula menggambarkan Malini batuk-batuk dan muntah-muntah di dapur. Kemudian dia sudah meninggal dunia; seperti boleh dibaca di halaman 283-284 edisi murid.

.

Tahniah kepada penerbit (DBP), panel penilai (Kementerian Pelajaran) dan editor (pegawai DBP) yang melakukan “pemurnian” mengenai punca kematian Malini apabila novel Datuk Abdullah Hussain dijadikan edisi murid. “Pemurnian” (penyuntingan) yang dilakukan tidak sedikit pun menghina atau mempertikaikan sebuah “karya agung” yang dihasilkan oleh seorang Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong. Tidak sama sekali!

.

Sebaliknya, “pemurnian” (penyuntingan) berjaya “memurnikan” karya itu supaya sesuai dijadikan teks Komsas di sekolah. Maka, kumpulan yang “membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut” tidak ada primafasi (prima facie) untuk menghalang tuntutan supaya mana-mana bahagian yang menyentuh sensitiviti masyarakat (India, Melayu, Cina), menghina budaya dan agama kaum India beragama Hindu, serta kesalahan-kesalahan fakta dibetulkan (dibaiki, diperelokkan, disesuaikan, dimurnikan) supaya novel itu menjadi sesuai bagi bacaan pelajar sama ada sebagai sebuah karya sastera (fiksyen) atau karya sejarah (fakta).

.

[Ini hanya satu contoh untuk menyokong hujah. Anda boleh membaca sendiri Interlok dan Interlok Edisi Murid. Rujuk juga www.uthayasb.blogspot.com dan www.kavyan.blogspot.com untuk maklumat tambahan.]

.

Maka, Kavyan yang diasaskan pada tahun 1999 serta terlibat dalam pelbagai akiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara kekal dengan pendirian bahawa langkah terbaik DBP selaku penerbit dan Kementerian Pelajaran sebagai pihak bertanggungjawab dalam hal ini adalah menarik balik Interlok Edisi Murid, sementara novel itu “dimurnikan” lagi dan kemudian diedarkan semula (“edisi murni” atau “edisi murid diperbaiki”) ke sekolah-sekolah dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat dan pelbagai kesalahan fakta yang amat nyata dalam Interlok Edisi Murid.

.
Dalam pada itu, Kavyan berpegang teguh pada pendirian bahawa Datuk Abdullah Hussain selaku pengarang novel Interlok tidak boleh dipersalahkan dalam segala kontroversi dan isu yang wujud sejak Interlok Edisi Murid terbit. Sekali gus, Kavyan membantah tindakan mana-mana pihak menghina Datuk Abdullah Hussain dalam apa cara sekali pun.
..
Nota: Kenyataan media ini diedarkan pada 8:00 pagi, 18 Januari 2011 sebelum dimuatkan di blog pada 12:00 tengah hari. Sila KLIK DI SINI untuk membaca laporan di FreeMalaysiaToday. Sila KLIK DI SINI juga untuk membaca hujah di hadapan Yang Arif.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!