Sunday, 11 September 2011

Mengundi Tanpa ‘X’

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tidak mustahil bahawa ramai yang akan keluar mengundi buat kali pertama – khususnya berikutan pengalaman 8 Mac 2008 dan insiden 9 Julai 2011.

Dalam hal ini, saya tidak sekadar merujuk kepada golongan belia yang baru mendaftar sebagai pemilih. Saya turut merujuk kepada kelompok yang sudah lama mendaftar tetapi memilih untuk tidak mengundi pada PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini atas alasan peribadi.

Sewaktu menjadi pensyarah Pengajian Malaysia di beberapa kolej (1999-2007), saya sering mengingatkan pelajar saya mengenai hak mereka sebagai pemilih. Tentu sahaja saya tidak mahu generasi muda – apatah lagi bekas pelajar saya! – menjadi golongan yang tidak tahu mengenai pilihan raya dan hak mengundi.

Saya mengingatkan pelajar saya bahawa mereka berhak untuk mendaftar sebagai pemilih apabila mencapai umur 21 tahun; selagi tidak hilang kelayakan.

Sekiranya mereka memilih untuk tidak mendaftar, jangan bising dan melalak mengatakan hak mereka untuk mengundi dihalang apabila tiba masanya.

Ada pelajar yang bertanya, apakah mereka wajib mengundi selepas mendaftar. Jawapannya: Tidak. Cuma, jika sudah mendaftar sebagai pemilih tetapi memilih untuk tidak mengundi semasa pilihan raya, jangan bising dan melalak ...

Soalan paling menarik – dan penting – yang ditanyakan pelajar saya pada setiap semester adalah berkaitan simbol atau tanda yang digunakan semasa mengundi.

Secara lazim, sejak dahulu, kita diminta dan diajar menggunakan tanda pangkah (X) untuk mengundi. Akibatnya, terlalu ramai yang tidak tahu bahawa tanda “X” bukanlah satu-satunya tanda yang boleh digunakan dan diterima. [Untuk makluman, saya bertugas sebagai KP di pusat mengundi pada PRU-11 dan PRU-12. Baca juga kisah Saya Sebatang Pensel.]

“Kalau kita gunakan simbol atau tanda lain, tidakkah kertas undi kita dianggap undi rosak?” Sering pelajar – dan rakan-rakan terpelajar juga – bertanya.

Cara paling mudah, paling lazim dan paling selamat adalah penggunaan tanda “X” kerana tidak menimbulkan keraguan. Akan tetapi, setiap pemilih berdaftar juga berhak untuk tahu bahawa penggunaan tanda “X” bukan satu-satunya cara mengundi calon pilihan semasa pilihan raya.

Malah, bayangkan jika generasi muda – dan juga dewasa – yang hanya tahu dan menerima tanda “X” ditakdirkan menjadi ketua tempat mengundi, kakitangan tempat mengundi, ejen mengundi atau kerani mengira undi apabila saya pergi “membuang” undi.

Maka, apa-apa yang saya huraikan di sini adalah demi “masa depan” kertas undi yang bakal saya “buang” ke dalam peti undi. Untuk itu, saya menggunakan contoh kertas undi yang bukan mewakili kertas undi sebenar yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Simbol-simbol parti politik (atau calon bebas) yang saya gunakan pada kertas undi ini adalah rekaan semata-mata. Nama calon tidak menjadi masalah kerana ketiga-tiganya nama saya. [Klik rajah di atas untuk besarkan.]

Rajah 1 dan Rajah 2 menunjukkan contoh kertas undi yang akan ditolak kerana terbukti termasuk dalam kategori “undi rosak”. Maka, walau berapa marah sekali pun anda terhadap mana-mana calon atau parti, tolong jangan luahkannya pada kertas undi! [PANDUAN MEMUTUSKAN UNDI RAGU]

Begitu juga, ingat bahawa ruang bagi setiap calon/parti adalah secara mendatar (horizontal) pada kertas undi. Misalnya, ruangan secara mendatar di bahagian atas adalah milik calon bernama Uthaya Sankar SB. Ruangan mendatar di tengah milik Shafie Uzein Gharib dan ruangan mendatar paling bawah milik Leonard Loar.

Sekiranya anda melanggar “sempadan” pada ruang horizontal itu dan masuk ke ruang calon lain semasa menandakan calon/parti pilihan sehingga menimbulkan keraguan calon mana sebenarnya dipilih, maka undi anda menjadi “undi rosak”. Jangan memilih lebih daripada seorang calon.

Sila maklum bahawa pensel disediakan di tempat mengundi tetapi anda berhak membawa pen sendiri untuk menanda kertas undi, jika mahu. Bagaimanapun, anda tidak dibenarkan memadam apa-apa yang sudah ditanda pada kertas undi. Jika dibuat, jadilah ia “undi rosak”. [13 February 2013 (The Star): “For the first time in Malaysian electoral history, voters will be using ballpoint pens instead of pencils to mark the ballot papers.”]

(Pengundi diingatkan supaya tidak membawa/memakai apa-apa lambang/logo mana-mana parti politik apabila memasuki kawasan mengundi. Larangan ini termasuk bagi botol air mineral dan pen yang ada logo parti politik.)

Bercakap mengenai undi rosak, memang ada pemilih yang sengaja mahu kertas undi mereka menjadi “undi rosak”. Ada rakan saya yang mendaftar sebagai pemilih kerana, katanya, jika dia tidak mendaftar, dia bimbang kemungkinan ada “hantu” mendaftar menggunakan namanya.

Kemudian, pada tarikh pilihan raya, rakan saya itu tetap pergi ke pusat mengundi kerana, katanya, jika dia tidak pergi mengundi, mungkin ada “hantu” mengundi menggunakan namanya.

Maka, dia tetap mengambil kertas undi daripada pegawai bertugas dan menandakan seperti Rajah 1 atau Rajah 2. Maka, kertas undinya itu menjadi “undi rosak”. Sekurang-kurangnya, tiada “hantu” mengundi bagi pihaknya.

Dia juga tidak sekadar melipat dan memasukkan kertas undi yang kosong (tidak bertanda) ke dalam peti undi kerana, katanya, mungkin ada “hantu” menandakan calon yang bukan pilihannya!

Rajah 3 dan Rajah 4 pula menunjukkan beberapa kemungkinan cara saya sendiri mengundi pada PRU dan PRK. Setahu saya, kesemua contoh mengundi yang saya paparkan pada Rajah 3 dan Rajah 4 adalah sah dan tidak boleh ditolak atau dianggap “undi rosak”. [CONTOH TERBARU DI SINI] [PANDUAN MEMUTUSKAN UNDI RAGU]

(Usah bimbang. Jika saya salah, pasti SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi semua media seluruh negara untuk membetulkannya dalam masa 24 jam sebaik artikel ini disiarkan.)

Sila maklum bahawa bukan hanya tanda “X” dianggap sah dalam mengundi calon/parti pada pilihan raya. Dalam contoh pada Rajah 3 dan Rajah 4, saya tidak melanggar “sempadan horizontal” yang diperuntukkan bagi calon/parti.

Perhatikan juga bahawa kertas undi di mana saya langsung tidak menanda pada ruangan kosong di sebelah kanan (Rajah 3) masih sah kerana saya tetap telah menandakan (mengisyaratkan) dengan jelas siapa calon/parti pilihan saya. [CONTOH TERBARU DI SINI]

Saya percaya bahawa ketua tempat mengundi (KTM) dan kakitangannya, kerani pengundian (KP), kerani mengira undi (MU) serta calon, ejen pilihan raya (EPR), ejen tempat mengundi (ETM) dan ejen mengira undi (EMU) diberi taklimat dan panduan mengenai “undi sah”, “undi ragu” dan “undi rosak” setiap kali sebelum pilihan raya menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) yang dilancarkan pada 8 Januari 2007 dan terletak di bawah Bahagian Operasi SPR.

Inilah antara perkara asas yang sebenarnya tidak dimaklumkan kepada masyarakat umum. Mungkin dengan niat murni tidak mahu “mengelirukan” orang ramai.

Akhirnya, sejak SPR ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, kita hanya tahu – dan dibenarkan – mengundi menggunakan tanda “X”.

Malah, dalam nota yang diedarkan semasa ‘Kursus Kenegaraan MPI: Media dan Pilihan Raya Umum’ di Universiti Malaya pada 4 Disember 2007, cara-cara mengundi dijelaskan begini:

“Seseorang pemilih hanya boleh memangkah seorang calon sahaja, iaitu dengan menandakan ‘X’ bersebelahan nama calon yang dipilih.”

Namun, saya menaruh harapan bahawa KTM dan kakitangannya, MU serta calon, EPR, ETM dan EMU tidak akan mudah “terkeliru” mengenai hak saya membuat pilihan menggunakan tanda selain “X” semasa pilihan raya.

Harap maklum juga bahawa pada hari mengundi, anda selaku pengundi BERHAK untuk tidak menerima kertas undi yang meragukan (bertanda, terkoyak dan sebagainya) dan meminta diberikan kertas undi lain. Pastikan suara anda cukup kuat [tapi bukan menjerit] supaya didengar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Ejen Tempat Mengundi (ETM).
 
(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 September 2011. Beliau bertugas di pusat mengundi semasa pilihan raya umum 2004 dan 2008. LEBIH BANYAK PANDUAN TERKINI MENJELANG PRU-13 - DI SINI)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!