Thursday, 3 May 2012

Saya Sebatang Pensel

 
Saya sebatang pensel. Saya tidak tahu di mana saya dilahirkan atau siapakah individu yang melahirkan saya. Maka, tentulah saya tidak sesuai dijadikan watak utama dalam penulisan karangan berbentuk autobiografi di sekolah rendah.

Tapi bukankah saya sebatang pensel? Saya bukan sekadar suatu objek untuk diperkatakan secara konvensional dan membosankan mengikut skema pemarkahan yang sedikit pun tidak mengembangkan daya imaginasi, kreativiti, pemikiran kritikal dan keupayaan sebenar otak kiri dan otak kanan golongan kanak-kanak.

Jadi, saya memutuskan untuk tampil sendiri di pentas pada hari ini untuk menceritakan siapa sebenarnya saya.

Saya sebatang pensel. Saya tidak tahu di mana saya dilahirkan atau siapakah individu yang melahirkan saya. Kali pertama saya diperkenalkan kepada dunia adalah di sebuah bilik darjah di sebuah sekolah.

Bukan! Bukan! Bukan sebagai alat tulis untuk kegunaan murid atau pelajar.

Sebaliknya, saya sangat istimewa kerana saya antara pensel yang dibeli oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk kegunaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tanggal 8 Mac 2008. Tarikh yang mengubah sejarah dan masa depan negara ini.

Ya! Saya berada di sana semasa seorang demi seorang masuk ke bilik darjah yang dijadikan pusat mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang berhak menentukan siapa yang memegang tampuk pemerintahan.

Pangkah. Pangkah. Pangkah. Bukankah itu yang lazim dilakukan? Tapi jangan lupa. Kemampuan saya bukan hanya memangkah. Malah, mengundi sebenarnya bukan hanya dengan cara memangkah. [BACA DI SINI]

Namun, apakan daya. Ternyata rata-rata pengundi yang menggunakan saya pada hari itu bagaikan sudah diprogram, diasuh dan ditetapkan minda supaya hanya menggunakan tanda pangkah semasa menandakan kertas undi.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga masih percaya bahawa satu-satunya cara untuk mengundi adalah dengan memangkah pada kertas undi seperti yang sering dipropagandakan menerusi media arus perdana? ... bersambung ...

(Uthaya Sankar SB menulis menggunakan pensel sebelum mampu memiliki pen, mesin taip, komputer dan telefon bimbit. Beliau masih aktif menulis. Teks ini ditulis pada 7 Mac 2012 dan dipersembahkan semasa acara “Saya Sebatang Pensel” pada 18 Mac 2012 sempena Story Fest 2012 di PJ Live Arts, Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya. © Uthaya Sankar SB 2012. Cereka ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Mac 2012 dan dimuatkan dalam buku Kisah dari Siru Kambam. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!