[Seperti dijanjikan – dengan izin Tuhan – kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam sudah siap dicetak pada 6 Mac 2013 dan diedarkan mulai 8 Mac 2013; sempena lima tahun selepas tarikh PRU-12 yang mengubah sejarah dan masa depan negara tercinta.] - [BORANG PEMBELIAN DI SINI] - [NOMBOR SIRI KHAS]
Judul: Kisah dari Siru Kambam
Kategori: Cerpen Umum/Dewasa
Ketebalan: 350 halaman (termasuk prelim)
Tarikh terbit: 8 Mac 2013
Harga pasaran: RM30.00
Penulis: Uthaya Sankar SB
Penerbit: Uthaya Sankar SB (40562)
Pengedar Tunggal: Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (SA0184670-H)
Peluang mengembalikan buku sebelum 31 Mac 2013 - BACA DI SINI. (Sukacita dimaklumkan bahawa TIADA buku dikembalikan.)
Baca ulasan buku ini dalam Bahasa Inggeris: Imaginary Homelands (15 April 2013) dan The Malaysian Village (3 Julai 2013).
Pengalaman menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas (2012) memberikan semangat dan keyakinan kepada saya bahawa memang ada ruang dan peluang untuk merancakkan usaha menerbitkan sendiri karya-karya saya.
Bagi menjayakan penerbitan novel itu, saya
mendapat bantuan kewangan daripada rakan-rakan dan kenalan dalam bentuk
tempahan awal. Dana itulah yang saya jadikan modal untuk mencetak novel edisi
khas itu. Maka, saya menamakannya “penerbitan berkebajikan”.
Kini, saya sedang dalam proses menerbitkan
sebuah kumpulan cerpen yang menggabungkan sejumlah cerpen baru dan lama. Projek
ini juga amat unik kerana saya meminta kerjasama sejumlah rakan-rakan dan
kenalan untuk menjadi Editor Bersekutu. Sambutan dan sokongan
yang diterima amat menggalakkan dan terus melonjakkan semangat saya dalam
melaksanakan projek ini.
Rata-rata cerpen dalam kumpulan ini
menggunakan latar tempat Siru Kambam atau mengangkat watak-watak
yang berasal dari kampung kecil itu. Allahyarham Dr Othman Puteh yang menjadi pembimbing
saya sejak 1991 merumuskan kampung berkenaan sebagai “suatu daerah berhampiran
Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan
hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, 1996). [Bandingkan pula: Kambam di India] [Baca juga: Imaginary Homelands]
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa saya
hanya mula menulis kisah-kisah yang berlatarkan Siru Kambam selepas saya
berpindah dari Taiping ke Klang pada akhir tahun 1991.
Pengalaman itu amat menarik dan penuh nostalgia. Begitu banyak kisah yang
diangkat; sehingga saya mendedikasikan kumpulan cerpen Siru Kambam (1996) dengan catatan “untuk para penduduk Siru Kambam
yang tidak pernah putus-putus membekalkan saya dengan pelbagai idea dalam
berkarya”.
Berbalik kepada kumpulan cerpen yang sedang
diusahakan, saya yakin bahawa karya-karya saya masih mendapat tempat dan
sokongan daripada rakan-rakan dan kenalan dari jauh dan dekat. Sambutan dan
sokongan terhadap Panchayat: Edisi Khas
membuktikan hal ini; walaupun ada pihak yang berusaha gigih melakukan sabotaj dan mendesak orang ramai memboikot karya-karya saya.
Antara alasan yang digunakan oleh “puak
anti-Uthaya” adalah bahawa saya sedang menyebarkan ajaran agama Hindu kepada
pembaca pelbagai kaum dan agama menerusi karya-karya saya. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
bersikap anti-Melayu. Harus saya akui bahawa
“kempen” yang dilakukan puak ini juga secara tidak langsung membantu
menimbulkan minat orang ramai untuk mengenali karya-karya saya.
Saya mendaftar judul bagi kumpulan cerpen
ini di Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 27
September 2012. Pegawai yang saya kenali di sana, Ishak Awang, tampil membantu memudahkan
urusan saya mendapatkan ISBN dan kod jalur (barcode).
Dua hari kemudian, saya memaparkan maklumat
di blog bahawa saya memerlukan kerjasama rakan-rakan dan kenalan yang sudi
menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi Editor Bersekutu. Sambutan yang
diterima memang amat membanggakan dan di luar jangkaan.
Lalu, pada 10 Oktober 2012, saya mengirim
manuskrip cerpen kepada para Editor Bersekutu dan memberikan masa kepada mereka
sehingga hujung bulan untuk melakukan kerja-kerja pemurnian dan penyuntingan
yang wajar.
Seperti yang sudah saya nyatakan, buku ini
mengumpulkan cerpen-cerpen yang menggunakan latar tempat Siru Kambam dan/atau
watak-watak yang berasal dari sana. Memandangkan majoriti penduduk di kampung
berkenaan adalah kaum India beragama Hindu, maka aspek budaya kaum India dan
agama Hindu tidak dapat dielakkan.
Salah tanggap yang sering wujud dalam
kalangan penulis adalah bahawa apabila seseorang menulis menggunakan “bahasa Melayu”, maka karya itu mestilah
mengenai “orang Melayu” dan “budaya Melayu”.
Seolah-olah pembaca kaum Melayu tidak akan, tidak boleh dan tidak sanggup
membaca mana-mana karya yang keluar daripada sempadan itu.
Dalam hal ini, mujurlah saya menulis
menggunakan “Bahasa Malaysia” dan karya-karya saya adalah mengenai “orang
Malaysia” dan “budaya Malaysia”. Saya tidak menulis untuk kaum tertentu atau
penganut agama tertentu. Karya saya adalah untuk Bangsa Malaysia.
Pada akhir September 2012, timbul isu
sebuah cerpen saya ditolak atas alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu”.
Kononnya saya cuba “menyesatkan” pembaca Melayu-Islam. Alasan “bodoh dan lucu”
itu segera mendapat bantahan daripada rakan-rakan dan kenalan saya yang membaca
karya-karya saya sejak 1992.
Cerpen penuh kontroversi itu juga dimuatkan
dalam buku ini yang menggabungkan karya-karya yang dihasilkan antara 1992 dan
2012. Ada cerpen baru dan ada cerpen lama yang disunting khusus untuk dimuatkan
dalam buku ini. [BORANG PEMBELIAN DI SINI] [MAKLUMAT MAJLIS PELANCARAN BUKU DI SINI] [NOMBOR SIRI KHAS]
Saya harus mengakui bahawa saya amat
bertuah kerana sentiasa ada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan
secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kerja-kerja yang saya
lakukan. Bukan kerana saya seorang politikus atau jutawan atau artis atau
usahawan.
Jawapan yang biasanya diberikan adalah
bahawa rakan-rakan dan kenalan yang tampil membantu itu berbuat demikian kerana
mereka menyokong pendirian dan keberanian saya. Tentu
sahaja kata-kata seperti itu meningkat semangat dan mengukuhkan integriti saya
dalam meneruskan perjuangan demi kebenaran dan hak.
Buku pertama yang saya terbitkan sendiri
adalah kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (2001) bagi membuktikan “... bahawa istilah Bahasa
Malaysia sedia wujud dan sah digunakan” tatkala ada pihak berusaha gigih
menafikan hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada
bahasa kebangsaan negara ini.
Buku-buku yang saya terbitkan sendiri sejak
2001 tidaklah membawa keuntungan dari segi kewangan. Sebaliknya membawa
kepuasan jiwa dan hal ini jauh lebih penting serta lebih bernilai berbanding
keuntungan dalam bentuk wang-ringgit.
Pada masa yang sama, saya tetap dengan
pendirian memartabatkan Bahasa Malaysia serta
mengekalkan kemurnian bahasa itu. Walaupun buku-buku yang menggunakan bahasa
rojak semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, saya tidak mahu
terikut-ikut dengan budaya yang tidak sealiran dengan pendirian saya.
Kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam juga meneruskan pendirian, perjuangan dan
jati diri saya dalam hal-hal yang dinyatakan di atas. Saya percaya bahawa
apabila kita tegas dalam pendirian, tidak ada sesiapa yang boleh menggugat
integriti kita.
[Makalah
ini ditulis pada 21 Oktober 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 Oktober 2012. Tempahan awal buku ini pada harga istimewa dibuka dari 1 November 2012 hingga 31 Januari
2013. Dapatkan BORANG PEMBELIAN DI SINI bagi pembelian sementara stok masih ada. © Uthaya Sankar SB 2012.]