29 Sept 2012

Editor Bersekutu untuk Kumpulan Cerpen

Saya sudah mendapatkan ISBN bagi sebuah kumpulan cerpen yang ingin saya terbitkan pada awal 2013; dengan izin Tuhan. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat mengenai pendaftaran ISBN buku itu.
 
Bagi menjayakan penerbitan kumpulan cerpen ini, saya membuka peluang dan menjemput rakan-rakan dan kenalan yang berminat menjadi Editor Bersekutu secara sukarela. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat mengenai Editor Bersekutu bagi novel Panchayat: Edisi Khas (2012).
 
Harus saya nyatakan sejak awal bahawa Editor Bersekutu tidak dibayar. Bagaimanapun, nama para Editor Bersekutu akan dinyatakan pada Halaman Hak Cipta buku itu nanti. Nama juga akan dinyatakan pada cerpen yang disunting oleh individu berkenaan.
 
Buku itu akan memuatkan cerpen-cerpen baru dan lama. Kebanyakannya sudah disiarkan di akhbar dan majalah; ada juga yang sudah dibukukan sebelum ini.
 
Tugas Editor Bersekutu adalah membaca satu atau dua manuskrip cerpen serta mengemukakan pandangan, pembetulan atau cadangan “pemurnian” terhadap manuskrip berkenaan; jika ada.
 
Urusan akan dijalankan sepenuhnya menerusi e-mel. Maknanya, Editor Bersekutu boleh berada di mana-mana pelosok dunia. Syaratnya: ada akses e-mel dan tahu Bahasa Malaysia.
 
Editor Bersekutu tidak semestinya pakar bahasa atau bekerja dalam bidang penerbitan/kewartawanan/penyiaran. Apa yang perlu adalah minat, kesungguhan dan mampu meluangkan masa sekitar tiga jam untuk membaca sebuah (atau dua buah) manuskrip cerpen saya dengan teliti sebelum mengemukakan pandangan, pembetulan atau cadangan “pemurnian” terhadap manuskrip berkenaan (jika ada) menerusi e-mel.
 
Mereka yang berminat perlu diingatkan bahawa kebanyakan cerpen Bahasa Malaysia dalam buku itu mengangkat budaya kaum India dan agama Hindu. Maka, sesiapa yang bimbang “ada unsur penyebaran agama Hindu” dinasihatkan sejak awal supaya tidak menawarkan diri menjadi Editor Bersekutu.
 
Saya memerlukan penglibatan sejumlah individu untuk bertindak sebagai Editor Bersekutu bagi menjayakan kumpulan cerpen ini. Keutamaan tentulah diberikan kepada rakan-rakan dan kenalan. Bagaimanapun, untuk berlaku adil, peluang sama rata juga dibuka kepada “puak anti-Kavyan” dan “puak anti-Uthaya” untuk sama-sama terlibat sebagai Editor Bersekutu secara sukarela.
 
Tarikh sebenar penerbitan kumpulan cerpen ini tidak dapat saya nyatakan kerana saya masih perlu menjual sekitar 100 naskhah novel Panchayat: Edisi Khas untuk melangsaikan hutang pada pencetak. Hanya selepas itu saya akan mula menghubungi rakan-rakan dan kenalan yang berminat membuat tempahan awal bagi buku baru ini.
 
Bagaimanapun, berikut beberapa tarikh sebagai panduan kepada sesiapa yang berminat menghulurkan tenaga sukarela sebagai Editor Bersekutu:
 
29 September 2012: Saya mula mencari rakan-rakan dan kenalan yang berminat menjadi Editor Bersekutu secara sukarela. Senarai nama akan dirahsiakan.
 
10 Oktober 2012: Pencarian Editor Bersekutu dihentikan. [TAWARAN SUDAH DITUTUP PADA 7:00 MALAM, 10 OKTOBER 2012]
 
11 Oktober 2012: Saya menghubungi semula rakan-rakan dan kenalan terbabit secara peribadi menerusi e-mel untuk mendapatkan pengesahan kesediaan menjadi Editor Bersekutu. Senarai nama tetap dirahsiakan.
 
15 Oktober 2012: Senarai Editor Bersekutu dimuktamadkan. Nama-nama masih dirahsiakan. Mereka yang terlibat juga diminta tidak mempromosikan diri sebagai Editor Bersekutu dalam projek penerbitan buku ini.
 
16 Oktober 2012: Manuskrip cerpen dikirim kepada Editor Bersekutu menerusi e-mel. Setiap Editor Bersekutu akan menyemak/menilai satu atau dua manuskrip cerpen. Manuksrip yang siap disemak dikembalikan kepada saya menerusi e-mel.
 
23 Oktober 2012: Mesej dikirim kepada Editor Bersekutu yang belum memulangkan manuskrip cerpen bersama-sama pandangan, pembetulan atau cadangan “pemurnian”.
 
31 Oktober 2012: Tarikh akhir tugas Editor Bersekutu bagi projek penerbitan kumpulan cerpen ini. Tarikh tidak akan dilanjutkan.
 
15 November 2012: Tempahan awal (pre-order) dijangka dibuka untuk mendapatkan sumbangan daripada rakan-rakan dan kenalan yang berminat memiliki kumpulan cerpen itu. Kerja-kerja penerbitan bermula. (Pada 29 September 2012, saya sudah berbincang dengan seorang rakan kongsi yang akan membantu saya dalam urusan mencetak kumpulan cerpen ini.)
 
Sesiapa yang sudi menawarkan diri secara sukarela sebagai Editor Bersekutu, sila hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my tetapi JANGAN kirim SMS.

Catatan pada 25 November 2012: Sila KLIK DI SINI untuk mengetahui senarai nama Editor Bersekutu.