28 Sept 2012

Buku untuk 2013

Pada 27 September 2012, saya memohon ISBN dan kod jalur (barcode) bagi buku yang sedang dirancang untuk diterbitkan pada awal tahun 2013.
 
Sepertimana sebelum ini, Encik Ishak Awang dari Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tampil membantu memudahkan urusan saya dalam menguruskan permohonan itu.
 
Buku yang sedang saya usahakan sekarang adalah sebuah kumpulan cerpen yang menggabungkan karya lama dan baru. Kesemua cerpen dalam buku itu nanti menampilkan latar Siru Kambam atau watak-watak yang berasal dari kampung berkenaan.
 
Bagi menjayakan penerbitan buku ini, saya akan menggunakan cara yang digunakan bagi novel Panchayat: Edisi Khas; iaitu meminta sumbangan berupa tempahan awal (pre-order) daripada rakan-rakan dan kenalan.
 
Walau bagaimanapun, sebelum terlibat secara penuh dalam proses penerbitan kumpulan cerpen itu, saya perlu menghabiskan dahulu stok novel Panchayat: Edisi Khas yang ada dalam simpanan. Saya perlu menjual 100 naskhah lagi untuk memastikan saya tidak lagi berhutang pada pencetak.
 
Hanya selepas itu saya akan mula menghubungi rakan-rakan dan kenalan yang berminat membuat tempahan awal bagi kumpulan cerpen terbaru dengan nombor ISBN 978-983-40562-7-8. Saya juga memerlukan Editor Bersekutu bagi menjayakan projek penerbitan ini.