7 Dec 2010

Kambam di India

Pada 1996, Allahyarham Dr Othman Puteh merangkumkan Siru Kambam yang menjadi latar bagi kebanyakan cerpen saya sebagai “suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, DBP: 1996).
..
Sesiapa yang mengikuti cerpen-cerpen saya sejak 1992 pasti sedar akan kehadiran Siru Kambam sebagai latar tempat bagi kebanyakan cerpen saya. Pelbagai maklumat mengenai kampung ini boleh juga dibaca dalam cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.
..
Pada tengah malam, 4 Disember 2010, saya menulis sebuah makalah berkaitan asimilasi bahasa kebangsaan dalam kalangan penutur Bahasa Tamil di Malaysia; khususnya di Taiping, Perak. Dalam makalah itu, saya turut menyentuh mengenai penggunaan kata “kampung” yang disebut “kambam” oleh masyarakat India di Malaysia.
..
Pada tengah hari, 6 Disember 2010, sejurus selepas mengirim makalah berkenaan kepada rakan editor di sebuah majalah, saya cuba mencari (search) “Kambam” di Internet. Bayangkan! Rupa-rupanya ada bandar bernama “Kambam” di daerah Theni, Tamil Nadu, India dengan penduduk lebih 58,700 orang. Manakala Siru Kambam - sesuai dengan namanya "siru" yang bermakna "kecil" dalam Bahasa Tamil - tidak mempunyai penduduk yang ramai.
..
Saya perlu mengkaji maklumat lanjut berhubung bandar ini. Manalah tahu kalau-kalau ada hubungan antara Kambam dan Siru Kambam.