Saya tidak pasti sama ada arwah pernah berpeluang ke Taiping, Perak semasa hayatnya tetapi saya pasti arwah memahami keunikan penduduk majmuk di sekitar bandar berkenaan.
Rata-rata penduduk pelbagai kaum di Taiping tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Sebagai individu yang lahir, belajar dan membesar di Taiping, saya menyedari sepenuhnya keunikan ini.
Apabila bercakap mengenai sejarah dan asal-usul Bahasa Malaysia, kita tidak dapat menafikan bagaimana istilah dan frasa daripada pelbagai bahasa lain meresap masuk dan berasimilasi sehingga melahirkan satu bentuk bahasa yang kini menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara bertuah ini.
Sejak zaman dahulu, bahasa yang dituturkan penduduk Melayu juga banyak menerima istilah Bahasa Cina dan Tamil. Misalnya, cawan, tauhu, tauke, cincai, tose, kedai, bumi dan ragam.
Sekiranya mahu disenaraikan kesemua perkataan/istilah “pinjaman” dalam sejarah perkembangan Bahasa Malaysia, senarai itu akan bersifat infinitif.
Malah, ada pandangan yang mengatakan bahawa perkataan-perkataan asli dalam Bahasa Malaysia adalah “kampung”, “parang”, “amuk” dan “babi”.
Namun, bukan itu topik yang mahu saya bincangkan pada kali ini.
Sebaliknya, saya mahu menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum terhadap hakikat bahawa dalam konteks di Malaysia, berlaku juga asimilasi Bahasa Malaysia ke dalam bahasa Tamil; khususnya selepas istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan pada 1970.
Saya mendapat maklumat yang unik dan menarik ini hasil perbualan bersama beberapa individu kaum India daripada generasi baru dan lama di sekitar Taiping, baru-baru ini.
Nama Siru Kambam sendiri membuktikan bagaimana istilah “kampung” diterima pakai secara meluas dalam kalangan masyarakat India semasa bercakap Bahasa Tamil.
Istilah “kampung” disebut “gramam” dalam Bahasa Tamil, Telegu dan Malayalam. Namun, dalam kalangan penduduk kaum India di Taiping, istilah yang digunakan adalah “kampung” atau “kambam”.
(Nota: Agak menarik untuk diperhatikan bahawa rupa-rupanya terdapat juga sebuah tempat bernama “Kambam” di Tamil Nadu, India!)
Sambil berbual-bual bersama jiran lama, penduduk dan kenalan lama di Aulong dan Aulong Lama, Taiping, saya sempat mencatatkan beberapa istilah yang membuktikan asimilasi Bahasa Malaysia ke dalam Bahasa Tamil sejak dahulu.
Penduduk kaum India generasi baru dan lama yang sempat saya temui semasa berada di Taiping baru-baru ini berbual menggunakan Bahasa Tamil yang diselitkan beberapa perkataan Bahasa Malaysia yang sudah sebati dalam jiwa mereka dan tidak lagi dianggap sebagai istilah yang dipinjam daripada bahasa pertuturan masyarakat Melayu di sekeliling mereka.
Berikut contoh ayat-ayat yang sempat saya catatkan bagi tujuan menunjukkan asimilasi bahasa yang dimaksudkan. Ayat-ayat ini sudah diterjemahkan daripada Bahasa Tamil untuk membantu pemahaman.
Perkataan-perkataan HURUF BESAR adalah perkataan yang kekal dalam Bahasa Malaysia walaupun penutur menggunakan Bahasa Tamil dalam perbualan.
1. Jambatan itu tidak berapa KUAT.
2. Kata orang, dialah KETUA kumpulan itu.
3. Kenapa sudah lama tidak BALIK KAMPUNG?
5. Di rumah sebelah juga ada pokok BUNGA RAYA.
6. Saya betul-betul SAKIT (sakit hati) apabila dapat tahu hal itu.
7. Kami memang sangat SEDIH sebab dia tidak datang.
8. Budak-budak itu memang BISING sampai ke larut malam.
9. Tempat ini sudah lama tidak BANJIR.
10. MURID itu ditangkap sebab menCONTENG di dalam TANDAS.
11. GURU BESAR sekolah itu tinggal di KAMPUNG sebelah.
12. Pemuda itu memang PANDAI menipu.
13. Mereka SESAT semasa mendaki BUKIT itu.
14. KASUT dia memang sangat BUSUK.
15. BUMBUNG ini sudah lama BOCOR.
16. TIANG itu sangat LICIN.
17. Kami TUMPANG sahaja di rumah ini sehingga rumah kami SIAP.
18. TAKUT juga nak pijak TANGGA itu.
19. Kalau mahu masak UBI KAYU ini memang SENANG.
20. CIKGU suruh kami bawa KAMUS esok.
21. Kedai MAMAK itu tentu sudah TUTUP/BUKA.
22. Kamu tidak pergi berJALAN-JALAN di bandar?
23. Janganlah PERLI.
24. Anak bongsunya CACAT sejak lahir.
25. Hujan sudah menjadi LEBAT.
26. Di SIMPANG itu, belok KANAN, bukan KIRI. Kemudian pergi TERUS.
Ayat-ayat di atas hanyalah beberapa contoh yang sempat saya catatkan sepanjang perbualan secara santai dan spontan bersama penduduk kaum India yang mewakili generasi baru dan lama dari latar pendidikan dan sosioekonomi yang juga berbeza di Aulong Lama dan Aulong, Taiping.
Penggunaan istilah Bahasa Malaysia dalam perbualan mereka mungkin juga dilihat sebagai satu bentuk pencemaran Bahasa Tamil yang melahirkan bahasa rojak. Saya sebagai pencinta bahasa memang tidak menyokong pencemaran seperti itu.
Walau bagaimanapun, pemerhatian saya di atas adalah lebih kepada aspek asimilasi Bahasa Malaysia ke dalam Bahasa Tamil dalam kalangan penutur Bahasa Tamil; bukan aspek bahasa rojak.
Saya lebih tertarik untuk memperhatikan bagaimana istilah-istilah Bahasa Malaysia sudah mula meresap masuk ke dalam Bahasa Tamil dan menjadi sebahagian kosa kata sejak tahun 1970; iaitu sejak istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan secara rasmi.
Sekiranya perkataan “kampung” dalam budaya Melayu sudah diterima pakai dalam Bahasa Tamil sebagai “kampung” dan “kambam”, tidak mustahil contoh sejumlah perkataan yang saya petik di atas juga sudah/akan menjadi sebahagian daripada kosa kata lazim dalam kalangan penutur asli Bahasa Tamil di Malaysia.
Rata-rata individu yang menuturkan ayat-ayat seperti di atas langsung tidak menyedari bahawa mereka menggunakan beberapa istilah Bahasa Malaysia semasa berbual menggunakan Bahasa Tamil.
Malah, ada juga beberapa individu (generasi tua) yang saya temui itu tidak bersekolah dan ada juga yang merupakan murid sekolah Tamil.
Hanya apabila saya menjelaskan kepada mereka, barulah mereka sedar bahawa beberapa istilah yang mereka gunakan secara spontan sebenarnya adalah istilah Bahasa Malaysia.
Mereka juga mengakui bahawa mereka tidak berniat mahu mencemarkan bahasa atau mengamalkan bahasa rojak dalam perbualan.
Sebaliknya, rata-rata individu yang saya temui mengatakan bahawa asimilasi Bahasa Malaysia ke dalam Bahasa Tamil seperti yang diperhatikan itu adalah suatu proses semula jadi sejak kecil.
“Walaupun bahasa ibunda kami adalah Bahasa Tamil, kami juga berbangga dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Jadi, apa yang berlaku (asimilasi bahasa) tidaklah pelik bagi kami di sini,” kata seorang suri rumah.