9 Apr 2011

Memurnikan Novel Panchayat

Saya kini dalam proses “memurnikan” novel Panchayat (2002) untuk diterbitkan semula dalam bentuk Panchayat: Edisi Khas (2011).


Ada yang bertanya mengapa perlu “dimurnikan” dan tidak bolehkah dibuat sahaja “Cetakan Kedua 2011”.



Bagi saya, alang-alang dicetak semula, biarkan segala kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang (mungkin) menyentuh sensitiviti pihak tertentu dimurnikan sebelum novel ini diterbitkan dalam edisi baru.



Kerja-kerja pemurnian manuskrip Panchayat dilakukan oleh saya sendiri bersama Editor Bersekutu yang menyemak, meneliti, mencadangkan pindaan serta memperakukan kerja-kerja pemurnian itu sebelum dicetak sebagai Panchayat: Edisi Khas.



Bagi saya, tidak menjadi masalah apabila novel saya “dimurnikan” kerana ia membuktikan bahawa banyak perkara yang berubah sejak novel Bahasa Malaysia ini diterbitkan kali pertama pada 2002.



Apa yang menjadi “masalah” dan “memalukan” adalah jika Panchayat: Edisi Khas terbit tanpa sempat “dimurnikan” dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang (mungkin) menyentuh sensitiviti pihak tertentu.



Beberapa bahagian seperti Prakata, Kata-kata Aluan, Pengantar dan Ulasan akan turut dimasukkan dalam edisi baru ini. Kulit novel juga akan diubah.



Tarikh sebenar penerbitan novel Panchayat: Edisi Khas tidak dapat saya nyatakan kerana saya masih dalam proses mencari sumber kewangan dalam bentuk tajaan dan sumbangan bagi menampung kos penerbitan.


Saya juga mempelawa sesiapa yang berminat turut serta sebagai Editor Bersekutu. Masih ada lima tempat untuk diisi. Kebanyakan tugas "besar" sudah/sedang dibereskan.


Mereka yang berminat perlu menyemak sekitar 10 halaman manuskrip novel ini dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum. Tidak perlu menjadi pakar! Cuma baca sebagai seorang manusia.


Jika berminat, sila hubungi saya melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my dengan segera kerana kerja perlu diselesaikan dalam masa dua minggu lagi.


Editor Bersekutu tidak dibayar gaji/upah. Sebaliknya akan diberi senaskhah percuma novel Panchayat: Edisi Khas apabila terbit nanti. Nama Editor Bersekutu juga akan dinyatakan pada novel berkenaan.