31 Oct 2012

Komen untuk Kisah dari Siru Kambam

Saya sekarang sedang dalam proses menerbitkan Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia berjudul Kisah dari Siru Kambam yang memuatkan sejumlah cerpen yang menggunakan latar Siru Kambam.
 
Sekumpulan Editor Bersekutu membantu melakukan kerja-kerja penyuntingan dan nama-nama mereka akan diumumkan apabila tiba masanya.
 
Sementara itu, dalam kumpulan cerpen ini, saya bercadang memuatkan komen/ulasan rakan-rakan yang pernah membaca cerpen-cerpen saya. Namun, ada beberapa syarat yang wajib dipatuhi.
 
1. Komen/ulasan adalah mengenai cerpen-cerpen saya dan bukan mengenai saya.
 
2. Komen/ulasan mesti ditulis menggunakan Bahasa Malaysia.
 
3. Panjang setiap komen/ulasan adalah 10-50 patah perkataan sahaja.
 
4. Komen/ulasan bukan secara khusus mengenai sebuah cerpen tetapi secara umum mengenai cerpen-cerpen saya yang pernah anda baca.
 
5. Contoh boleh dirujuk dalam kumpulan cerpen Kathakali (2009) atau novel Panchayat: Edisi Khas (2012).
 
6. Komen/ulasan mesti dikirim menerusi e-mel ke alamat uthayasb@yahoo.com.my atau mesej peribadi menerusi Facebook. Kiriman melalui SMS tidak akan dilayan.
 
7. Komen/ulasan negatif juga dialu-alukan kerana setiap individu – termasuk puak anti-Uthaya – berhak mengemukakan pandangan secara ikhlas dan jujur.
 
8. Nama dan pekerjaan/jawatan serta tempat tinggal anda juga perlu dinyatakan pada akhir komen. Contohnya: Gunalan Muniandy, jurutera kimia, Ipoh atau Simon Lee Guan Seng, pelajar, Tawau.
 
9. Hanya sekitar 20 komen/ulasan yang paling awal diterima akan dipilih untuk disiarkan.
 
10. Para Editor Bersekutu tidak dibenarkan mengirim komen/ulasan bagi tujuan ini.
 
11. Komen/ulasan mungkin disunting dari aspek bahasa. Setiap ulasan/komen yang disunting akan dikirim semula kepada anda untuk mendapatkan kelulusan sebelum dimuatkan dalam kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam.
 
12. Komen/ulasan berkenaan juga mungkin disiarkan di blog dan Facebook selepas buku terbit.
 
13. Komen/ulasan yang dikemukakan adalah secara sukarela dan tidak dibayar.
 
Dalam pada itu, harap maklum bahawa tempahan awal (pre-order) bagi kumpulan cerpen ini dibuka pada 1 November 2012.