30 Oct 2012

Kisah Politik Semasa

Saya sudah tamat membaca novel Panchayat: Edisi Khas (2012) karya Uthaya Sankar SB. Saya anugerahkan lima bintang bagi novel ini.
 
Sewaktu saya memulakan pembacaan, saya dapati novel ini agak membosankan dengan babak dua orang beradik yang amat mesra sedang pulang dari kuil sambil diperhatikan seorang lelaki bernama Sitambaram. Namun, siapa sangka bahawa Sitambaram yang tersenyum melihat telatah dua beradik kembar itu adalah antagonis utama dalam novel ini.
 
Mujurlah penulis cepat-cepat menyuntik keinginan saya untuk terus membaca. Bermula dengan babak Raja, Ramani, Malliga dan Revathi bertembung dengan Sitambaram, Kim Seng, James Arivalahan dan Mahmood di kuil, saya semakin teruja untuk mengikuti babak-babak seterusnya. Ya, tentu sekali ada sesuatu yang berlaku di sebalik pertembungan yang tidak disengajakan itu.
 
Penulis bijak “mempermainkan” minda pembaca dengan persoalan-persoalan misteri disertai klu-klu yang membawa kepada jawapan-jawapan yang salah. Dari mula hingga akhir, saya beberapa kali “tertipu” dengan diri saya sendiri. Misalnya, babak seorang pemuda bangkit daripada pengsan, namun orang di sekelilingnya tidak mendengar tutur katanya, seumpama dia sudah mati dan yang bangkit itu adalah roh. Padahal tidak!
 
Penulis juga mahir menggunakan sudut-sudut pandang yang berbeza. Ada kalanya penulis menggunakan sudut padang ketiga, kemudian pada babak seterusnya penulis mengubah gaya kepada sudut pandang pertama. Bagi pembaca yang malas, sudah tentu novel ini tidak akan berjaya dihabiskan. Mungkin juga pembaca yang malas itu akan menyesal kerana membeli novel ini. Ah, saya pasti semua orang yang membeli Panchayat: Edisi Khas bukanlah pembaca yang malas!
 
Tema novel ini adalah keadilan. Sungguhpun karya asalnya digubah pada tahun 1994, namun tema dan mesej yang diangkat masih sangat relevan pada hari ini. Ketua panchayat yang dipengaruhi seorang rakyat biasa bernama Sitambaram umpamanya boleh dizahirkan di mana-mana sahaja.
 
Pemimpin yang duduk di atas takhta menjadi boneka kepada orang yang berjaya mempengaruhinya. Dacing keadilan yang dipikulkan di atas pundak seorang hakim contohnya, tidaklah mampu diimbangkan kalaulah hakim itu pun memaksa dirinya sendiri untuk mengikut telunjuk orang lain yang berkepentingan.
 
Oleh itu, tidak hairanlah jenayah yang dilakukan oleh orang besar-besar dibiarkan berleluasa, sebaliknya ikan-ikan bilis dijadikan lauk makan tengah hari. Itu belum dikira kambing-kambing hitam yang disembelih untuk dijadikan keraian.
 
Watak Sitambaram itu sendiri mempunyai signifikan yang tidak boleh diabaikan. Penulis menggambarkan lelaki itu seperti serigala yang bijak mengatur langkah supaya tidak dihidu oleh musuhnya ataupun mangsanya. Sangat menakjubkan apabila seorang pencuri yang sepatutnya dihadapkan ke pengadilan sebagai seorang tertuduh, malah datang sendiri kepada hakim sebagai saksi utama kejadian.
 
Kesaksian penjenayah ini pula dipersetujui oleh hakim, lalu keputusan yang salah pun dibuat. Tidakkah kes semacam ini banyak berlaku dari dulu sampai sekarang? Selain itu, agaknya, siapakah pemain politik yang berperwatakan seperti Sitambaram pada hari ini?
 
Pada fikiran saya, memandangkan sambutan Deepavali semakin hampir, novel ini amat sesuai dijadikan hadiah kepada rakan-rakan dan saudara-mara; sesuai dengan konsep “kebaikan menentang kejahatan” yang dikaitkan dengan pesta cahaya.
 
Maklumat lanjut mengenai novel setebal 296 halaman ini yang diterbitkan sendiri oleh penulis boleh dirujuk di www.uthayasb.blogspot.com.
 
(Ulasan ini ditulis oleh Mohamad Faiz Mohd Jamaluddin dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Oktober 2012)