Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” dalam kumpulan fiksyen Sebelas Amanat Swamiji (2025) memaparkan secara jelas bagaimana sebuah kultus (cult) boleh beroperasi secara licik menggunakan bahasa spiritual, simbol keagamaan, dan kuasa karismatik bagi menyebarkan fahaman ekstremis dalam masyarakat.
Walaupun karya ini mungkin bersifat fiksyen semata-mata, kesemua sebelas “amanat” yang dipetik daripada kitab rasmi kultus dalam cerita itu memperlihatkan pola pemikiran yang amat dekat dengan ciri-ciri kultus autoritarian dan gerakan radikal yang pernah muncul dalam sejarah dunia sebenar.
Kesebelas amanat itu bukan sekadar menyeru ketaatan mutlak kepada pemimpin, sebaliknya turut menggalakkan budaya menggertak atau menakut-nakutkan orang (intimidasi), keganasan, pemusnahan pihak lawan, penolakan pluralisme, dan pembentukan mentaliti “kita lawan mereka” (us against them).
Dalam konteks sebuah negara majmuk seperti Malaysia,
amanat seperti yang dipaparkan dalam cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” sangat
berbahaya kerana ia mampu meruntuhkan asas perpaduan sosial, keharmonian antara
agama, serta prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjamin
keamanan awam.
Amanat pertama berbunyi “Gunakan apa-apa senjata berbahaya untuk menakutkan sesiapa yang tidak mahu menyertai kultus ini.” Amanat ini jelas mengandungi unsur ugutan jenayah dan intimidasi, serta tidak boleh dibenarkan menjadi amalan.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, perbuatan mengugut orang lain dengan ancaman kecederaan atau keganasan boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang mentakrifkan criminal intimidation atau ugutan jenayah. Hukuman pula diperuntukkan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Amanat” daripada pengasas sebuah ajaran atau kultus
seperti di atas amat berbahaya dalam masyarakat majmuk kerana ia menggalakkan pemaksaan
ideologi melalui ketakutan, bukannya dialog. Jika ajaran sebuah kultus seperti yang
diasaskan oleh watak Prashamsaneeji dibenarkan menyebarkan idea bahawa senjata
boleh digunakan untuk menakutkan masyarakat, maka kumpulan fanatik mungkin mula
bertindak seperti militia atau vigilante.
Amanat kedua berbunyi “Kalau sesiapa mengkritik atau mempersoalkan kultus ini, tidak salah jika mereka dihapuskan dengan apa-apa cara.” Ini merupakan seruan terbuka kepada pembunuhan atau keganasan terhadap pengkritik!
Dalam undang-undang Malaysia, kenyataan sebegini boleh dikaitkan dengan kesalahan menghasut keganasan, ugutan jenayah, serta penerbitan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Dari sudut sosiopolitik, “amanat” seperti di atas pasti memusnahkan budaya demokrasi kerana kultus berkenaan menganggap kritikan sebagai jenayah yang mesti dibalas dengan penghapusan fizikal. Dalam sebuah negara demokrasi, hak untuk mempersoalkan mana-mana organisasi adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara.
Kalaulah wujud satu ajaran atau kultus yang
menormalisasikan penghapusan pengkritik, maka akan melahirkan budaya takut dan
akhirnya menutup ruang wacana awam.
Amanat ketiga berbunyi “Jangan perakukan mana-mana ajaran selain kultus Prashamsaneeji.” Amanat ini jelas memperlihatkan sikap eksklusivisme melampau.
Dalam masyarakat plural seperti Malaysia, ideologi yang menolak kewujudan dan legitimasi ajaran serta agama-agama lain boleh mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum. “Amanat” di atas juga jelas bertentangan dengan semangat toleransi yang menjadi asas pembentukan sebuah negara bangsa.
Apabila sebuah kumpulan agama atau kultus mendakwa
hanya ajaran mereka bersifat mutlak dan benar, serta semua ajaran lain wajib ditolak,
maka ruang kewujudan bersama secara aman semakin mengecil. Tentu sahaja situasi
ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Amanat keempat berbunyi “Hapuskan sesiapa yang tidak akur pada ajaran kultus ini dan janganlah berkawan dengan sesiapa yang tidak mempercayai ajaran Prashamsaneeji.”
“Amanat” ini mempunyai dua dimensi yang perlu diteliti. Pertama, seruan keganasan terhadap pihak luar dan kedua, pengasingan sosial pengikut daripada masyarakat umum.
Sesungguhnya, banyak kultus ekstremis dalam sejarah dunia menggunakan teknik pemencilan sosial atau social isolation untuk memastikan para pengikut hanya bergantung kepada organisasi itu sepenuhnya.
Dari sudut sosiologi, pengasingan seperti ini
menyebabkan individu terbabit kehilangan kemampuan untuk berfikir secara bebas
kerana semua hubungan sosial dikawal oleh kultus. Dalam konteks Malaysia, “amanat”
seperti ini (jika dibenarkan wujud) boleh mencetuskan pemisahan sosial atau social segregation berdasarkan
kepercayaan kultus, sekali gus menjejaskan integrasi nasional.
Amanat kelima berbunyi “Kalau ada orang di kawasan kejiranan anda tidak mahu menjadi ahli kultus Prashamsaneeji, perangi mereka dan hapuskan mereka.” Amanat ini jelas menyeru keganasan oleh komuniti kultus terhadap komuniti lain. Ia berpotensi melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan perbuatan menyebabkan ketidakharmonian, permusuhan, atau kebencian atas alasan perbezaan agama, kepercayaan, ajaran, dan kultus.
Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, ajaran seperti terkandung dalam “amanat” di atas boleh mencetuskan konflik kejiranan, serangan bermotif agama, dan rusuhan komuniti.
Kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai sejarah
sensitif berkaitan hubungan kaum dan agama yang tidak perlulah diperincikan di sini.
Apa yang penting, sebarang ideologi yang
menggalakkan permusuhan sistematik amat berbahaya kepada keselamatan negara.
Amanat keenam berbunyi “Jangan sesekali bersedia untuk berdamai dengan orang yang tidak mahu menyertai kultus ini.” Amanat ini pula mempromosikan budaya permusuhan kekal. Ia menolak konsep rundingan, kompromi, dan kewujudan bersama (coexistence).
Dalam teori politik moden, keamanan dalam sebuah negara majmuk hanya dapat dikekalkan melalui toleransi dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian. Apabila perdamaian dianggap sebagai kelemahan, maka keganasan menjadi mekanisme utama hubungan sosial. Amat jelas, “amanat” seperti di atas juga mempunyai unsur fahaman pelampau (ekstremisme) kerana ia menolak sebarang ruang mengamalkan kesederhanaan (moderation).
Amanat ketujuh pula berbunyi “Jangan beri mereka peluang untuk bernafas.” Walaupun mungkin bersifat metaforikal, frasa ini tetap membawa unsur nyahinsani atau dehumanisasi (dehumanisation) terhadap pihak luar yang tidak mahu menyertai kultus berkenaan.
Dalam sejarah gerakan ekstremis, dehumanisation merupakan langkah awal sebelum berlakunya keganasan secara
besar-besaran. Apabila pihak lawan dianggap tidak layak “bernafas”, maka
penghapusan fizikal boleh dianggap sah oleh pengikut fanatik kultus terbabit.
Dari sudut undang-undang, kenyataan seperti ini boleh dianggap menghasut
keganasan serta mendorong ke arah gangguan ketenteraman awam.
Amanat kelapan berbunyi “Hanya ajaran kultus ini paling mulia.” Perlu ditekankan bahawa “amanat” ini jemas memperlihatkan sikap supremasisme ideologi. Dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia, fahaman supremacism yang mendakwa hanya satu kelompok atau kultus mempunyai nilai tertinggi pasti membawa kepada diskriminasi sosial dan kebencian antara komuniti.
Fahaman yang dibaw menerusi amanat seperti di atas juga berpotensi membuka jalan kepada radikalisasi kerana pengikut kultus mula melihat diri mereka sebagai golongan terpilih yang lebih agung dan mempunyai hak moral untuk menindas orang lain.
Amanat kesembilan berbunyi “Kalau sesiapa cuba mengangkat teks ajaran lain, ugutlah untuk memancung leher mereka.” Bayangkan! Amanat seperti ini secara terang-terangan merupakan ancaman bunuh yang amat serius. Ia jelas memiliki unsur criminal intimidation di bawah Seksyen 503 dan individu terbabit boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Jika “amanat” itu disebarkan melalui media sosial,
tindakan itu juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan
mengancam dan jelik. Amanat seperti ini amat berbahaya kerana secara terang-terangan
menghalalkan keganasan terhadap kebebasan beragama dan kebebasan intelektual.
Amanat kesepuluh berbunyi “Gunakan apa sahaja cara dan senjata untuk menyeksa orang Hindu yang tidak mahu menyertai kultus Prashamsaneeji.” Amanat ini amat signifikan kerana sasaran bukan lagi penganut agama lain, sebaliknya sesama penganut Hindu yang enggan menyertai kultus berkenaan. Maknanya, kultus tersebut bersifat totalitarian dan tidak menerima kepelbagaian yang menjadi sebahagian amalan penganut Hinduisme.
Dari segi undang-undang, “amanat” seperti di atas
boleh dikaitkan dengan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendorong permusuhan
atas alasan agama. Amanat seperti ini juga berpotensi disiasat di bawah
undang-undang berkaitan keganasan sekiranya terdapat elemen perekrutan militan
atau perancangan serangan fizikal.
Amanat kesebelas berbunyi “Semua orang lain adalah golongan bodoh. Pengikut kultus ini wajib melawan mereka.” Amanat ini pula secara jelas menanam mentaliti anti-intelektual dan kebencian sosial.
Pengikut kultus diajar supaya melihat masyarakat luar sebagai musuh yang hina dan tidak layak dihormati. Dalam kajian kultus, teknik seperti ini digunakan untuk membina identiti kolektif yang tertutup dan agresif. Dari sudut sosiopolitik, ia boleh melahirkan kelompok ekstremis yang memusuhi negara, institusi awam, media, dan masyarakat umum.
Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” juga mendedahkan bagaimana kultus menggunakan manipulasi psikologi untuk mengawal pengikut. Watak Guluji melarang para pengikut berfikir secara kritis dan menyatakan bahawa “para pengikut kultus ini hanya perlu menjadi pengikut. Mereka tidak perlu menjadi pemikir.”
Untuk makluman, hal ini merupakan ciri klasik autoritarianisme. Dalam masyarakat demokratik, kemampuan berfikir secara kritis adalah asas kewarganegaraan. Kultus yang melarang pemikiran bebas akan melahirkan masyarakat yang mudah dimanipulasi dan cenderung bertindak mengikut arahan ketua tanpa pertimbangan moral atau undang-undang.
Dalam konteks Malaysia, pihak berkuasa boleh menggunakan pelbagai undang-undang untuk mengekang penyebaran “amanat” seperti ini. Selain Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 juga boleh digunakan sekiranya ucapan atau penerbitan tersebut mempunyai kecenderungan menghasut kebencian antara kaum atau agama
Seksyen 505 Kanun Keseksaan pula boleh digunakan
terhadap kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan awam atau menghasut sesuatu
komuniti melakukan kesalahan terhadap komuniti lain. Jika kultus yang
disebutkan dalam fiksyen ini berkembang menjadi sebuah organisasi militan atau
terlibat dengan latihan bersenjata, undang-undang berkaitan keselamatan dan
keganasan juga boleh digunakan untuk menghapuskannya.
Untuk rekod, Malaysia pernah menyaksikan pelbagai kes berkaitan ucapan berunsur hasutan, ancaman, dan provokasi agama yang disiasat di bawah Seksyen 298A, Seksyen 505(b), serta Akta Hasutan. Terdapat juga kes individu ditahan kerana menawarkan ganjaran untuk membunuh pemimpin negara menerusi media sosial, dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kes-kes sebegini menunjukkan bahawa undang-undang Malaysia sememangnya menyediakan ruang untuk menangani ancaman berbentuk ugutan atau intimidasi, hasutan ke arah keganasan, dan sebarang bentuk ekstremisme atau fahaman pelampau.
Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” bukan sekadar kisah fiksyen atau rekaan tentang sebuah kultus ajaran sesat dalam dunia imaginasi. Apa-apa yang terkandung di dalamnya boleh juga dilihat sebagai sindiran sosial terhadap bahaya fanatisme, manipulasi agama, dan autoritarianisme.
Sejumlah sebelas “amanat” yang dipaparkan dalam cerpen ini memperlihatkan bagaimana bahasa spiritual boleh diperalatkan untuk menormalisasikan kebencian dan keganasan dalam kalangan pengikut kultus.
Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, penyebaran “amanat” seperti di atas berpotensi menghancurkan asas toleransi dan keamanan sosial. Cerpen-cerpen yang memaparkan amalan kultus yang sama terdapat juga dalam antologi Seruling Malam (2024) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026). Kesemuanya boleh dijadikan amaran dan peringatan tentang bahaya penularan kultus.










