24 Jun 2026

Hidup Dikandung Tanah


“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.” – Wasiat Raja-raja Melayu (5 Ogos 1957)


Namanya Kavitha, tetapi di pejabat Ahli Parlimen, semua orang memanggilnya “Kawi” dengan nada separuh mesra, separuh memendekkan jarak yang sebenarnya tidak pernah benar-benar dekat.

Dia belajar menerima panggilan itu seperti dia menerima segala perkara lain dalam hidup sebagai minoriti di negara berdaulat—tanpa banyak soal dan tanpa banyak pilihan.

Setiap pagi, sebelum matahari sempat menghangatkan dinding kaca bangunan pejabat, Kavitha sudah duduk di meja, membuka komputer riba yang kipasnya berbunyi seperti helaan nafas orang tua, dan menunggu arahan daripada Ahli Parlimen yang jarang menyebut namanya dengan betul.

“Kawi, awak kumpulkan semua maklumat pasal Tanah Rizab Melayu,” kata lelaki itu pada suatu petang, tanpa memandang wajahnya. “Saya nak tanya soalan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.”

Kavitha mengangguk, seperti biasa. Arahan itu ringkas, tetapi dia tahu, seperti biasa juga, bahawa kerja sebenar akan menjadi sesuatu yang jauh lebih kompleks, bercabang, dan berlapis. Seperti akar pokok tua yang menyusup ke dalam tanah, mencari air yang mungkin sudah lama kering.

Dia bermula dengan membaca fail PDF yang dikirim oleh seorang rakan melalui e-mel. Artikel panjang itu seolah-olah ditulis dengan semangat marah yang disalut dengan fakta sejarah.

Di dalamnya, terdapat kisah tentang tanah seluas ratusan hektar di Sitiawan, tentang dakwaan pemindahan milik tanah rizab kepada Bukan Melayu, tentang siasatan oleh pihak berkuasa, dan tentang kenyataan rasmi yang menenangkan—seolah-olah menutup luka dengan perca kain nipis.

Namun, hal yang lebih menarik perhatian Kavitha bukan sekadar fakta, tetapi nada penulisan itu. Seperti suara seseorang yang sedang bercakap terus ke telinga, berbisik tentang sesuatu yang tidak kena; suatu isu yang lebih besar daripada sekadar angka dan hektar.



Kavitha membaca dua buku kumpulan esei berjudul Malaiur Manikam (2015) dan Dewi Pertiwi (2024) yang turut membicarakan isu hak Melayu dan Tanah Rizab Melayu. Lalu, dia menyalin nota demi nota. Tahun 1913, Enakmen Rizab Melayu. Wasiat Raja-raja Melayu, Ogos 1957. Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

Dia mula memahami perbezaan takrif “Melayu” menurut enakmen di Kelantan, Kedah, Perlis, Johor, Terengganu, dan negeri-negeri lain. Bagaimana tafsiran “Melayu” dalam Enakmen Rizab Melayu yang dibuat berdasarkan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan tetap mengatasi tafsir “Melayu” dalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan.

Semua fakta terkumpul mula berlegar dalam kepala seperti lebah yang tidak pernah berhenti berdengung sepanjang siang dan malam.

Sewaktu tidur dengan kepala yang tepu, Kavitha bermimpi. Dalam mimpi itu, dia berjalan di atas sebidang tanah luas yang berwarna merah gelap. Tanah itu bernafas. Setiap kali dia melangkah, tanah itu mengeluarkan bunyi seperti keluhan.

Di kejauhan, dia melihat papan tanda lama dengan tulisan pudar: Tanah Rizab Melayu. Tetapi apabila dia mendekati papan itu, huruf-huruf mula berubah, mencair seperti lilin, menjadi perkataan lain yang tidak dapat dibaca.

Dia terjaga dengan peluh dingin di dahi.

Keesokan hari, Kavitha pergi ke Pejabat Tanah dan Galian. Bangunan itu kelihatan seperti bangunan kerajaan lain: Cat yang mula mengelupas, kipas siling yang berputar perlahan, pendingin hawa pada suhu paling rendah, dan bau kertas lama yang seolah-olah menyimpan rahsia puluhan tahun.

Seorang pegawai lelaki menyambutnya dengan senyuman yang terlalu cepat hilang sebaik melihat wanita berpakaian salwar kameez.

“Awak nak tahu pasal TRM?” tanya lelaki itu sambil memandang sekeliling, seolah-olah dinding mempunyai telinga. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Maka Kami, Rakyat …

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]