20 Jun 2026

Membongkar Identiti Sebenar Mukundan

Cerpen “Mukundan Sudah Mati” dalam antologi Seruling Malam (2024) dan cerpen “Siapa Bunuh Mukundan?” dalam buku Sebelas Amanat Swamiji (2025) membentuk satu penceritaan berangkai yang saling melengkapi.

Hubungan yang wujud bukan sekadar dari segi plot tetapi juga dari segi perspektif dan tafsiran terhadap kematian seorang penjenayah yang telah membina empayar berasaskan ketakutan, kekerasan, dan manipulasi kuasa.

Untuk memahami kedua-dua cerpen ini secara menyeluruh, analisis perlu dimulakan dengan menyusun peristiwa mengikut kronologi. Langkah ini perlu kerana struktur penceritaan yang digunakan oleh pengarang dalam kedua-dua cerpen itu bersifat tidak linear, khususnya dalam cerpen kedua yang menggunakan teknik imbas kembali dan laporan wartawan.

Secara kronologi, kisah bermula dengan latar belakang Mukundan sebagai seorang remaja yang sudah terlibat dalam jenayah sebelum usia 15 tahun. Kecenderungannya terhadap keganasan dan manipulasi mula berkembang apabila dia menyedari bahawa ketakutan adalah alat paling berkesan untuk menguasai orang lain.

Pengalaman hampir membunuh seorang penduduk menjadi titik perubahan yang membentuk falsafah hidupnya iaitu kekuasaan mesti ditonjolkan secara terbuka. Dari situ, Mukundan membina empayar jenayah yang melibatkan pengedaran dadah, penyeludupan, pembunuhan upahan, pelacuran, dan pelbagai bentuk eksploitasi manusia.

Menjelang usia 25 tahun, Mukundan sudah menjadi ketua gengster yang digeruni serta memiliki jaringan pengaruh merangkumi pihak berkuasa (termasuk polis polis) dan ahli politik.

Perkahwinan dengan Khirija bukan berasaskan cinta, sebaliknya strategi untuk “memutihkan” wang haram melalui perniagaan karpet. Selepas kematian Khirija, Mukundan menyerahkan perniagaan itu kepada Satees, anak angkatnya. Sebenarnya, Satees sendiri merupakan mangsa eksploitasi seksual oleh bapa angkatnya sejak remaja.

Dalam masa yang sama, Mukundan mengembangkan budaya kultus dalam empayarnya. Dia dipuja seperti dewa oleh para pengikut, malah disamakan dengan Brahma, Vishnu, dan Shiva.

Kekejaman Mukundan mencapai kemuncak apabila dia membunuh ketua-ketua geng lain dan memperhambakan balu mereka sebagai gundik. Saradah, Indumathi, dan Ramyah merupakan antara mangsa yang dipaksa hidup dalam sistem tersebut. Anita pula memasuki lingkaran ini melalui hubungan cinta dengan Satees, sebelum akhirnya dirampas oleh Mukundan.

Dalam tempoh ini, jelas bahawa empayar Mukundan bukan sekadar organisasi jenayah, malah juga sebuah struktur kuasa totalitarian yang mengawal tubuh, emosi, dan kehidupan individu.

Peristiwa penting yang membawa kepada kematian Mukundan berlaku apabila dia merogol seorang wanita selepas membunuh keluarganya. Wanita itu kemudian menyediakan sup ayam kampung yang dicampur racun sebagai usaha licik membalas dendam.

Mukundan menyedari kehadiran racun tersebut tetapi sudah terlambat. Walaupun dia segera membunuh wanita itu, racun mula memberi kesan jangka panjang. Selama empat bulan, ketua gengster itu menderita dengan kesakitan pada bahagian dada yang digambarkan “seolah-olah salur darah disiat-siat”.

Dalam tempoh penderitaan itu, Mukundan menjadi paranoid dan mengasingkan diri; hanya bergantung kepada Anita dalam menguruskan segala keperluan harian.

Akhirnya, dia mati secara senyap di rumah Anita, seperti yang digambarkan dalam cerpen pertama. Reaksi awal watak-watak lain menunjukkan kekeliruan dan ketakutan, serta kesedaran bahawa kematian Mukundan tidak semestinya membawa pembebasan yang diharapkan dan diimpikan.

Dalam cerpen kedua, kematian Mukundan dianalisis melalui sudut pandang seorang wartawan yang mengumpulkan pelbagai versi cerita. Misalnya, berkaitan racun, santau, dan kemungkinan campur tangan kuasa lebih besar seperti watak Kapitan Tokong yang penuh misteri.

Pengesahan oleh Kapitan bahawa dia langsung tidak mengenali Mukundan memperkenalkan satu dimensi penuh ironi di mana seluruh legitimasi atau kesahihan kuasa konon dimiliki Mukundan mungkin dibina atas penipuan licik dan terancang.

Mukundan ialah watak fiksyen yang mewakili kemuncak keruntuhan moral dalam konteks sosial masyarakat. Dia berjaya membina empayar yang mempengaruhi kehidupan ramai orang, sama ada melalui ketakutan atau ketundukan. Dia dikelilingi pengikut setia yang mempercayai kesahihan kononnya dialah pemimpin ulung yang dipilih dan diutus oleh Kapitan Tokong. Malah, Mukundan digambarkan sebagai menerima “wahyu” daripada Kapitan; satu parodi terhadap konsep wahyu dalam agama suci seperti Kristian dan Yahudi.

Sekiraya diperhatikan, Mukundan membina kuasa melalui keganasan, eksploitasi, dan penipuan. Dia mencipta undang-undang sendiri untuk mengukuhkan dominasi peribadi. Dia membina satu kultus di mana para pengikut akur pada setiap arahannya.

Malah, dalam cerpen yang dikaji, terdapat pula ironi apabila Mukundan mati dengan cara yang selari dengan “hukuman” yang kononnya ditetapkan oleh Kapitan. Kejadian ini menunjukkan bagaimana sistem kepercayaan watak Mukundan sendiri menjadi alat yang membawa kepada kehancuran diri.

“Sila masukkan dalam berita yang awak tulis bahawa saya memang tak kenal Mukundan. Memang banyak orang suka menipu dan memperdaya orang ramai menggunakan nama saya. Mukundan ternyata salah seorang seperti itu.”

Si wartawan terkejut mendengar penafian keras dan tegas daripada Kapitan Tokong.

“Untuk rekod, dia bukan wakil saya dan dia bukan wakil Tokong. Orang seperti itu memang patut mati mengikut hukuman yang disebut pada kaligrafi berbingkai itu. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada sesiapa yang berjaya memastikan Mukundan mati betul-betul dengan cara yang dia sendiri kata dia akan mati kalau dia mempergunakan nama saya.” (Sebelas Amanat Swamiji, Halaman 149)

Mukundan menjadi simbol penindasan terancang serta memperhambakan wanita dan golongan tertindas. Dia mengamalkan kekerasan, rasuah, dan manipulasi untuk mendapatkan apa-apa yang diingini.

Pengarang jelas menggunakan watak Mukundan sebagai simbol terhadap penyalahgunaan kuasa yang sering disandarkan kepada pemimpin palsu, sama ada melalui agama, tradisi, atau autoriti.

Penggunaan istilah seperti “kultus” dan perbandingan dengan dewa-dewa Hindu menunjukkan pengarang ingin menonjolkan bagaimana manusia boleh mencipta sistem kepercayaan untuk mewajarkan segala bentuk kekejaman.

Dalam cerpen kedua, teknik penceritaan berbentuk laporan wartawan memperluas tafsiran pembaca dengan memperkenalkan pelbagai perspektif, termasuk teori konspirasi dan ironi kosmik kepada semua yang berlaku di dalam dan di luar teks.

Kekuatan utama kedua-dua cerpen ini sebagai karya fiksyen terletak pada keberanian pengarang menggabungkan realiti sosial dengan unsur simbolik dan satira. Penggambaran dunia jenayah yang terperinci memberi kesan realisme, manakala unsur seperti “wahyu Kapitan” dan kematian yang seolah-olah menepati ramalan menambah lapisan metafizik.

Selain itu, struktur cerpen “Mukundan Sudah Mati” dan “Siapa Bunuh Mukundan?” yang saling melengkapi membolehkan pembaca melihat satu peristiwa besar dari sudut emosi (cerpen pertama) dan analitikal (cerpen kedua).

Penggunaan watak-watak wanita sebagai saksi dan mangsa pula memperkaya dimensi penceritaan. Mereka bukan sekadar objek penderitaan dan mangsa manipulasi semata-mata, sebaliknya juga agen yang mencerminkan kesedaran kolektif masyarakat terhadap ketidakadilan.

Dialog dan penceritaan yang tajam memperlihatkan keupayaan pengarang mengolah bahasa secara ekonomikal tetapi bermakna, sejajar dengan gaya yang cenderung realistik dan simbolik. Pembaca biasa pasti tidak akan mampu menduga siapakah sebenarnya watak “Mukundan” yang sedang dikritik secara simbolik menerusi kedua-dua fiksyen ini.

Bacaan seterusnya: Amanat Kultus Yang Mengancam Negara