25 May 2024

Seruling Malam Saji Budaya Bukan Melayu

Idea menerbitkan sebuah antologi cerpen penulis pelbagai kaum diusulkan pada sesi Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia di Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2023.

Selepas menghubungi para penulis yang dikenali serta promosi berterusan di media sosial, sebelas penulis menyatakan minat dan komitmen.

Seorang lagi individu terlibat sebagai penterjemah kerana projek antologi ini turut mengalu-alukan karya bahasa Tamil dan Mandarin yang diterjemah kepada Bahasa Malaysia.

Selepas melalui proses mengumpul manuskrip, menyunting, dan penyelenggaraan, antologi yang diberi judul Seruling Malam dijadualkan terbit pada Jun 2024.

Semasa menyemak manuskrip cerpen, saya terasa puas dan gembira kerana kesemua penulis berjaya menyajikan kisah dan persoalan yang benar-benar memenuhi kehendak dan kerangka Sastera Kebangsaan.

Secara umum, para penulis kaum India menampilkan citra budaya, isu, dan permasalahan hidup komuniti itu secara penuh kreatif. Para penulis kaum Cina pula melakukan perkara sama bagi menggambarkan komuniti mereka.

Sebagaimana diterangkan dalam tesis sarjana sastera saya yang diterbitkan dengan judul Kavya Sastra (2021), konsep Sastera Kebangsaan mementingkan sumbangan penulis Bukan Melayu menulis tentang budaya, adat, amalan, kepercayaan, dan persoalan hidup komuniti mereka.

Kesemua 26 buah cerpen dalam antologi Seruling Malam menjanjikan pengalaman pembacaan yang unik dan penuh maklumat baharu bagi para pembaca pelbagai kaum di Malaysia.

Peserta projek ini terdiri daripada penulis veteran, mapan, dan baharu. Maka, sudut pandang, tahap sensitiviti, dan kreativiti yang pelbagai dapat dinikmati khalayak pembaca.

Usaha menerbitkan antologi secara mandiri atau indie bukanlah sesuatu yang baharu. Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) sebelum ini menghasilkan antologi Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022).

Majoriti penulis terbabit menyertai siri bengkel penulisan kreatif yang saya kendalikan dari semasa ke semasa. Maka, saya mengenali dan memahami gaya penulisan mereka serta saya berusaha mengekalkan gaya itu semasa menyunting manuskrip.

“Cerpen saya kali ini berbeza kerana menyampaikan keinginan seorang individu yang sudah tiada. Sebenarnya, apa yang ingin disampaikan individu itu menjadi kelainan dalam cerpen ini,” kata Anuradha Chelliah.

Cerpen kedua Anuradha bertajuk “Terubat Tidak” memperkatakan isu amang seksual yang semakin kerap dilaporkan di media masa kini.

“Luka di luar mudah dirawat. Bolehkah masa menjadi ubat untuk luka yang menguris hati? Cerpen ini cuba memberikan jawapan,” tambah guru ini yang turut aktif menulis karya bahasa Inggeris.

Cerpen “Penyakit Bisu” oleh Chia Chen Eng secara penuh kreatif menyindir situasi di mana kebebasan bersuara disekat. Digambarkan bagaimana ketika kebebasan dihalang, bahasa hilang fungsi.

“Sebuah lagi cerpen menggunakan imej telefon bimbit untuk memperkatakan ketidakmampuan seseorang menyesuaikan diri setelah kehilangan kuasa dan kedudukan politik,” kata Chia Chen Eng.

[Video pendek reka letak buku - di sini]

Ketiga-tiga cerpen penulis veteran, M. Mahendran mengambil kisah kaum India. Penulis ini mengetengahkan permasalahan dan isu dalam komuniti India yang kurang diketahui orang luar.

“Sebuah cerpen saya dalam antologi ini mengetengahkan betapa penting nama berunsur Tamil diberi kepada anak-anak keluarga Tamil. Cerpen kedua menceritakan keinginan seorang kanak-kanak belajar di sekolah Tamil,” katanya.

Cerpen ketiga Mahendran mengangkat kisah remaja India yang meninggalkan rumah dan mendapat perlindungan daripada sepasang suami isteri Melayu.

Duola @ Lim Guat See seorang penulis dan pelukis profesional yang sudah menerbitkan lebih 50 buah buku serta menerima lebih daripada 60 anugerah sastera dari dalam dan luar negara.

Saya amat gembira apabila Liumx @ Liew Meng Seng bersetuju menterjemah dua cerpen Duola bagi projek ini. Kedua-dua karya kreatif itu amat unik dan mengetengahkan dunia surreal, lalu memaksa pembaca berfikir secara mendalam untuk memahami mesej tersirat yang disampaikan.

Kamalah Suppiah pula penulis yang amat menginspirasikan. Beliau mula menulis cerpen dan puisi moden Tamil pada 1981. Kemudian, menang Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP pada 1988.

Kedua-dua mata Kamalah buta sejak 2008 akibat penyakit glaukoma tetapi situasi itu tidak menghalangnya terus menghasilkan karya bahasa Tamil dengan bantuan anak-anak.

Tentu sahaja saya amat gembira dan teruja apabila penulis yang saya kagumi ini mengirim tiga cerpen untuk dinilai bagi projek antologi Seruling Malam. Kamalah bercerita secara amat bersahaja dan pembaca boleh mevisualkan setiap perkara yang ditulis.

Seorang lagi penulis veteran yang sudi terlibat sama ialah Lai Choy @ Lai Yoke Choy. Beliau yang berumur 83 tahun dan baru sahaja menerbitkan buku berjudul Ada Padang Ada Belalang (2024) menyumbangkan dua cerpen untuk antologi ini.

Judul buku ditentukan menerusi undian demokrasi. Tajuk cerpen Malini Lakshmi Bai ternyata menarik minat majoriti peserta projek yang memilihnya menjadi judul antologi. Sebuah lagi cerpen Malini mengetengahkan unsur budaya penganut Buddha.

Pesara guru, VK Ezhilarasi gemar menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik. Kebijaksanaan bermain dengan bahasa, emosi, dan imejan boleh dinikmati menerusi tiga cerpen dalam buku ini.

Dua penulis muda turut terlibat menjayakan projek ini. Jeffry Solomon Victor menghidap diskalkulia dan disleksia yang mengganggu pelajarannya. Namun, Jeffry berjaya menghasilkan dua cerpen selepas menyertai bengkel anjuran Kavyan.

Thivyajayanthi Nair pula memiliki bakat terpendam dalam bidang penulisan. Beliau bijak menyusun kata dan menangani gaya naratif. Bakat itu akhirnya disajikan menerusi dua cerpen dalam antologi ini yang wajar dimiliki dan dibaca orang ramai.

(Harga pasaran RM25. Jika mahu membeli pada harga diskaun, rujuk di sini.)

[Rencana ini ditulis pada 21 Mei 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 25 Mei 2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]