[Sambungan daripada Bahagian Satu]
Ibu mengenali seorang penjual teh di Jalan Tengku Kelana yang selalu meninggalkan cebisan vadai dan muruku di tepi gerai. Kami memanggil lelaki itu sebagai Vadai Thatha. Nama sebenarnya Muthuvel Palani. Dia kehilangan isteri, lima tahun sebelum aku dilahirkan.
Setiap pagi, sebelum membuka gerai, dia meletakkan sedikit makanan di
atas daun pisang. Bukan kerana dia menyayangi gagak. Bukan juga kerana dia mahu
kami melindunginya. Sebaliknya, Vadai Thatha percaya bahawa kaum gagak
membawa pesanan daripada pitru iaitu roh para leluhur.
Kadangkala, ketika dia bersendirian, lelaki tua itu bercakap kepada
kami.
“Hari ini, aku masak saambar seperti yang disukai Lakshmi.”
Kami tidak memahami semua kata-katanya. Tetapi kami memahami nada suara
yang diselubungi kesunyian dan perasaan rindu. Manusia dan gagak mempunyai satu
persamaan yang mereka tidak suka akui: Kami sama-sama hidup bersama hantu dan
roh.
Aneh? Aku mula menyedari ada sesuatu yang tidak normal dalam diriku
ketika berumur enam bulan. Aku mula bermimpi tentang tempat yang tidak pernah
aku kunjungi.
Aku mengetahui lokasi sebuah sarang lama yang musnah sebelum aku
dilahirkan. Aku mengetahui nama seekor gagak betina yang mati sebelum ibuku sempat
menetas dari telur. Aku mengetahui suara seorang lelaki yang menembak datukku.
Rajendran Arunachalam. Apabila aku menyebut nama itu di hadapan ibu,
seluruh tubuhnya menjadi kaku. Angin berhenti. Malam berhenti. Malah, cengkerik
juga seolah-olah takut untuk berbunyi.
“Siapa yang memberitahu nama manusia itu kepada kamu?” tanya ibu.
“Aku tidak tahu.”
“Kamu bermimpi lagi?”
Aku mengangguk. Ibu memandang ke arah langit hitam. Untuk pertama kali
dalam hidup, aku melihat ketakutan dalam mata seekor gagak yang pernah melihat
kematian.
“Kaka smriti,” bisiknya.
Ibu menyebut frasa itu seperti manusia menyebut nama makhluk yang tidak
mahu diseru.
Dalam bahasa Sanskrit, smriti bermaksud memori atau ingatan. Tetapi
kaka smriti bukan sekadar ingatan. Ia bukan cerita yang diajarkan oleh
ibu kepada anak. Ia bukan amaran yang disampaikan melalui bunyi panggilan.
Ia sesuatu yang lebih purba. Lebih gelap. Lebih sunyi. Lebih
menggerunkan.
Menurut kisah yang disampaikan kepada generasi kami, ketika Dewa Sani terbang
merentasi langit dengan menunggang gagak yang menjadi vahana, beberapa
butir air mata dewa itu jatuh ke Bumi.
Air mata itu bukan air biasa. Ia adalah ingatan. Dan gagak yang meminum
air itu memperoleh kemampuan istimewa untuk membawa kesedihan dan pengetahuan
nenek moyang manusia yang sudah meninggal dunia.
Manusia menganggapnya sebagai mitos. Mungkin mereka betul. Mungkin
mereka belum tahu hakikat dan kebenaran.
Pada tahun 2030, seorang saintis dari Chennai, Tamil Nadu bernama Dr.
Ananthan Subramaniam menemui sesuatu di dalam otak gagak yang mati secara
semula jadi. Sesuatu yang membuatkan seorang saintis yang mempercayai angka
mula takut kepada cerita lama.
Dan pada malam yang sama, seorang lagi penembak berlesen yang terlibat
dalam Operasi Menembak Gagak di Bandaraya Diraja Klang pada Mei 2026 ditemukan
mati.
Di atas mejanya terdapat sebiji nellikai atau nama saintifiknya, Phyllanthus
emblica. Dan di luar tingkap yang terbuka, terdapat sehelai bulu pelepah hitam
yang tidak bergerak walaupun ditiup angin kencang.
Aku berada di situ. Tetapi aku tidak akan mengatakan bahawa akulah pembunuh. Sesungguhnya, kebenaran umpama seekor burung mistik yang mempunyai terlalu banyak sayap. Dan tidak semua bayang-bayang yang jatuh dari langit adalah milik kaum gagak.
