Akhirnya, pada tahun 2032, Karuppar
Appukutti berjaya menjadi Perdana Menteri Pulau Cinta. Walaupun berlaku
peralihan kuasa secara mendadak, pulau itu masih kelihatan seperti syurga
tropika. Dari satelit dan penerbangan di angkasa, ia nampak seperti zamrud yang
terapung pada permukaan lautan biru.
Bandar raya Kota Cinta bersinar
dengan menara kaca, rumah ibadat berkubah biru, dan lebuh raya melilit seperti
naga keluli. Akan tetapi, seperti kebanyakan negara yang terlalu lama hidup
dalam bayang sejarah, Pulau Cinta juga menyimpan luka lama dan rahsia yang
lebih tua daripada usia republik ini sendiri.
Karuppar sudah berjaya menjadi Perdana
Menteri. Bagi generasi muda, Karuppar adalah legenda hidup. Dia pernah
dipenjarakan, pernah dikhianati, kemudian kembali daripada kehancuran politik
seperti burung phoenix dalam mitologi Yunani yang bangkit selepas terbakar
menjadi abu.
Rambut politikus itu kini beruban
tetapi suara masih mempunyai getaran yang mampu memukau dewan parlimen dan ruang
perhimpunan awam.
Bagi generasi lama, nama Karuppar
sentiasa disertai bisikan kecil. Dan bagi seorang lelaki tua bernama Mahaveeran
Pandian, Karuppar umpama nubuat yang menjadi kenyataan.
Mahaveeran kini tinggal di sebuah
rumah agam lama di pinggir bandar. Rumah itu dipenuhi buku, keratan akhbar
lama, dan manuskrip yang belum selesai. Usianya hampir satu abad tetapi fikiran
masih tajam seperti pisau bedah.
Pada dinding bilik kerja tergantung
peta lama Asia Tenggara—peta yang penuh dengan pin merah dan benang hitam.
Pada suatu malam hujan lebat,
seorang wartawan muda datang menemuinya.
“Tuan,” kata wartawan itu sambil menekan
butang pada perakam suara, “adakah benar Tuan pernah memberi amaran kepada
penduduk Pulau Cinta bahawa Karuppar tidak layak menjadi Perdana Menteri?”
Mahaveeran tersenyum nipis.
“Hanya orang yang tidak membaca
sejarah silam akan menyebutnya sebagai amaran,”
katanya perlahan. “Orang lain akan memanggilnya sebagai ramalan.”
Di luar rumah, kilat memancar
seperti kamera kosmik cuba merakam kisah politik terkini di Pulau Cinta.
Mahaveeran bangun perlahan-lahan,
berjalan ke rak buku, lalu menarik keluar sebuah fail kuning yang sudah hampir
reput. Di dalamnya terdapat keratan akhbar dari tahun 2012—tahun ketika republik
itu hampir terbelah dua oleh demonstrasi, propaganda, dan perbicaraan mahkamah.
“Kamu tahu,” katanya, “kuasa
tidak pernah datang tanpa harga tertentu.”
“Apakah harga Karuppar?” Wartawan
itu menelan liur.
Mahaveeran tidak menjawab. Sebaliknya,
dia menunjukkan satu keratan akhbar lama bahasa Malayalam. Tajuknya kabur
dimakan masa tetapi masih dapat dibaca: Skandal Moral Goncang Politik Pulau
Cinta.
“Rahsia,” kata Mahaveeran, “adalah
mata wang paling mahal dalam geopolitik.”
Sementara itu, di Kota Cinta, Karuppar
sedang duduk sendirian di pejabat ketua jemaah pemerintah. Di luar, tasik
buatan memantulkan cahaya lampu bandar seperti ribuan lilin yang terapung di
awang-awang.
Di atas meja terdapat dua
dokumen. Dokumen pertama ialah perjanjian pertahanan bersama antara Pulau Cinta
dan Amerika Syarikat. Dokumen kedua pula memorandum rahsia yang ditandatangani dengan
sebuah negara kecil di Timur Tengah.
Karuppar memandang kedua-duanya;
lama. Kemudian, telefon khas di meja berdering seperti sudah dirancang. Dia
tahu siapa yang menelefon sebelum mengangkat gagang.
“Selamat malam, Mister Prime Minister,” kata suara di
hujung talian dengan loghat Amerika yang licin seperti kaca.
Karuppar diam sambil membetulkan
cermin mata.
“Kami hanya ingin memastikan pelan
pelabuhan tentera di rantau sana berjalan lancar.”
Karuppar memandang keluar
tingkap. Di ufuk jauh, lampu kapal perang berkelip seperti bintang tiruan.
“Pulau Cinta sebuah negara
berdaulat,” katanya perlahan.
“Sudah tentu,” jawab suara itu.
“Dan rakan yang baik kepada kami.”
Karuppar
meletakkan gagang sebelum duduk termenung. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Puteri Manora di Bachok
[Petikan cerpen
ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti
sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!