[Sambungan daripada Bahagian Tiga]
Pada tahun lalu, Majlis Gagak bersidang untuk pertama kali selepas tiga
puluh tahun. Kami berkumpul di Kuil Sri Navaneetha Krishnar yang mula ditelan
akar pohon beringin sejak tahun 2027.
Manusia menganggap kuil ini kosong. Mereka tidak tahu bahawa ruang yang
ditinggalkan manusia sering menjadi tempat sejarah dan roh berkumpul.
Tiga puluh tujuh ekor gagak hadir. Setiap gagak ada tugas khusus. Arul, si
gagak muda yang kehilangan separuh kaki kanan akibat perangkap manusia, dilantik
menjadi pemerhati.
“Manusia tidak menunggu sebelum menembak kita,” kata Arul yang sedikit
pemarah, sinis, dan sentiasa mahukan tindakan segera. “Kenapa kita harus
menunggu sebelum menghukum mereka?”
Di sebelahnya berdiri Meenakshi, seekor gagak betina yang terkenal
kerana kecerdasannya. Dia mampu membuka penutup bekas makanan yang gagal dibuka
oleh beberapa gagak lain. Dia juga mempunyai kebiasaan pelik iaitu menyimpan
objek-objek berkilat—duit syiling, cincin murah, butang baju—di dalam satu
lubang kecil pada pokok ketapang.
“Kerana kita bukan manusia,” jawabnya.
“Bukankah itu alasan yang selalu manusia gunakan untuk mengatakan kononnya
mereka lebih baik daripada kita?” Arul ketawa.
Aku tersenyum. Ya, kami kaum gagak juga mempunyai ironi.
Perbahasan berlangsung sehingga sang bulan berada tepat di atas kepala. Ada
gagak yang mahu membalas dendam ke atas semua nama dalam senarai. Ada yang mahu
menghapuskan hanya mereka yang tidak menunjukkan penyesalan. Ada pula yang mahu
melupakan semuanya dan membina kehidupan baharu.
Aku selaku ketua Majlis Gagak tidak segera membuat keputusan. Seorang
ketua yang terlalu cepat membuat keputusan sebenarnya hanya seorang diktator bersayap.
Sebaliknya, aku memilih untuk mendengar. Itulah tugas paling sukar: Mendengar
kesakitan yang bercanggah.
“Rajendran Arunachalam.”
Semua gagak menjadi senyap apabila akhirnya aku menyebut nama itu. Nama yang
ternyata mempunyai kuasa. Seperti mantera. Seperti sihir. Seperti kutukan dari
langit.
“Dia tidak akan diapa-apakan,” aku mengumumkan.
“Adakah kita sudah menjadi pengecut?” Arul mengepakkan sayap dengan
marah.
“Tidak.”
“Jadi, kenapa dia dikecualikan?”
“Kerana dendam yang tidak mempunyai sempadan akhirnya akan menjadi sama
seperti kebencian yang melahirkan dendam itu sendiri.”
[Senarai buku Uthaya Sankar SB]
Tiada siapa menjawab. Namun, dalam kegelapan, aku dapat merasakan
sesuatu. Sesuatu yang tidak berpunca atau bersumber daripada mana-mana
gagak yang berkumpul di sini.
Satu getaran halus dalam naluri kaka smriti. Seolah-olah ada satu
lagi kesedaran yang menyentuh ingatan kami. Bukan suara. Bukan bunyi. Tetapi
satu rasa atau emosi dalam jiwa. Seperti jari yang menyelak halaman sebuah
kitab suci yang terkunci selama ribuan tahun.
Ibu pernah memberi amaran tentang perkara ini. Katanya, ada sesuatu yang
hidup dalam ruang antara ingatan. Sesuatu yang usianya lebih tua berbanding usia
kewujudan kaum gagak di negara ini. Sesuatu yang tidak mempunyai bulu, tidak
mempunyai tulang, dan tidak mempunyai belas kasihan.
Tiga hari kemudian, Rajendran dilaporkan meninggal dunia. Jasadnya
ditemui oleh ahli keluarga di halaman rumah ketika matahari baru terbit. Dia terduduk
di kerusi yang sama seperti sewaktu dia memerhatikan cucunya, Meena, bermain
pada setiap pagi.
Wajahnya tenang. Malah, terlalu tenang. Tiada kesan keracunan. Tiada
luka. Tiada sebarang tanda serangan. Di atas meja kayu di halaman rumah,
terdapat secawan teh yang masih hangat.
Dan di sebelah cawan itu, sebiji nellikai. Serta sesuatu yang
membuatkan seluruh tubuhku menjadi sejuk. Sesuatu yang tidak mungkin dilakukan
oleh mana-mana gagak dalam Majlis Gagak.
Pada kulit buah nellikai terdapat satu ukiran kecil dalam aksara Prakrit
(Sanskrit kuno) yang berbunyi Smruti Jagrutam; ingatan telah bangun.
Aku tidak dapat tidur pada malam itu. Bukan kerana takut kepada manusia.
Bukan kerana pihak berkuasa mungkin memburu kami. Tetapi kerana buat pertama
kali dalam hidup, aku takut kepada ingatan kami sendiri.
Aku bimbang memikirkan kemungkinan kaka smriti bukan warisan
seperti dipercayai selama ini. Kemungkinan ia bukan anugerah istimewa daripada
Dewa Sani seperti disangka selama ini.
Mungkinkah selama ratusan tahun, kami telah menjadi sarang kepada sesuatu
yang sedang tidur dan menunggu masa untuk bangkit semula?
Dan pada Mei 2026—susulan 2,880 ekor gagak gugur dari langit Bandaraya
Diraja Klang—sesuatu itu akhirnya terjaga.
(bersambung pada 13 Julai 2026)
[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf
manuskrip yang dihasilkan pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong,
Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB.
Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media
sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

