[Sambungan daripada Bahagian Dua]
Pada pemerhatian aku, manusia mempunyai satu tabiat yang mengagumkan. Mereka mencatat segala-galanya.
Mereka menulis tarikh kelahiran pada sijil. Mereka menulis tarikh
kematian pada batu nisan. Mereka menyimpan nombor kad pengenalan, nombor
telefon, nombor akaun bank, nombor rumah, nombor kenderaan …
Mereka percaya, sesuatu yang diberi nombor tidak akan hilang. Namun,
mereka lupa satu perkara. Sesetengah perkara yang tidak ditulis akan hidup
lebih lama berbanding catatan dakwat: Kesakitan. Rasa bersalah. Dendam. Dan
nama.
Aku menyimpan satu senarai. Bukan pada kertas. Bukan di dalam komputer
yang dicipta manusia. Bukan dalam cip silikon yang menjadi otak kepada mesin
ciptaan mereka.
Senarai itu hidup dalam kaka smriti. Ia berpindah daripada mimpi
kepada mimpi, daripada denyutan jantung kepada denyutan jantung, daripada satu
generasi sayap hitam kepada generasi berikutnya.
Dua puluh lapan nama manusia. Dua puluh lapan wajah. Dua puluh lapan
suara. Mereka ialah manusia yang berdiri di bawah langit Bandaraya Diraja Klang
pada bulan Mei 2026 dengan senapang di tangan.
Aku tahu bagaimana seorang daripada mereka mengelap peluh menggunakan
sapu tangan biru sebelum menarik picu. Aku tahu bagaimana seorang lagi
menggumam nama isterinya setiap kali dia melepaskan tembakan; seolah-olah cinta
dapat mengurangkan berat dosa. Aku tahu bagaimana seorang pemuda yang baru
berusia dua puluh dua tahun muntah selepas menembak gagak pertamanya.
Aku tidak membenci mereka semua. Malah, ada yang aku kasihi. Itulah
hukuman sebenar yang dibawa oleh kaka smriti. Ia tidak membenarkan aku
membenci dengan mudah.
Nama pertama dalam senarai ialah Rajendran Arunachalam. Pada tahun 2028,
ketika dia membawa cucu perempuannya ke sebuah taman permainan kecil di Klang,
aku bertenggek di atas dahan pokok saga dan memerhatikannya.
Cucunya, Meena, berusia enam tahun ketika itu. Rambut diikat tocang dua.
Dia ketawa sewaktu mengejar kupu-kupu kuning. Rajendran ketawa bersamanya. Ketawa
seorang datuk yang telah lupa bahawa tangannya pernah menjadi mesin kematian.
“Thatha, tengok burung tu!”
Kata-kata Meena membuatkan Rajendran memandang ke arahku. Matanya
bertemu dengan mataku. Pada saat itu, sesuatu berlaku. Aku tahu dia mengenali
aku.
Tidak! Bukan aku. Dia mengenali mata yang berada di dalam diriku. Mata datukku—bapa
kepada ibuku. Mata gagak yang mati akibat peluru.
Wajah Rajendran berubah. Tangan yang memegang botol air kelihatan
sedikit menggigil.
“Gagak itu marah kepada thatha?”
Rajendran terdiam. Kanak-kanak kadangkala mampu melihat perkara yang
orang dewasa berusaha untuk sembunyikan.
“Tidak semua yang melihat kita berbuat demikian kerana marah,” katanya
perlahan.
Aku hampir bersedia untuk terbang pergi ketika itu. Namun, kata-kata Rajendran
membuatkan aku terus bertenggek pada dahan pokok saga.
“Kadang-kadang, mereka datang semula kerana mereka tidak tahu bagaimana
mahu memaafkan.”
Pada senja itu, aku mengunjungi ibu. Dia sedang membersihkan bulu
pelepah dengan perlahan. Aku menceritakan perihal pertemuan dengan Rajendran.
Ibu mendengar tanpa mencelah. Dia sudah tua. Bulu hitam pada tubuh mula
mempunyai garis kelabu yang hanya dapat dilihat apabila cahaya matahari
menyentuh dari arah tertentu.
Aku takut melihat tanda-tanda usia pada ibu. Gagak tidak takut mati. Kami
hanya takut dilupakan.
“Dia menyesal,” kataku.
“Ya.” Ibu seperti sudah sedia tahu.
“Haruskah kita memaafkannya?”
Ibu tidak menjawab. Dia menoleh ke arah Sungai Klang yang mengalir
perlahan seperti ular sawa tua yang sudah terlalu lama membawa racun manusia di
dalam perutnya.
“Kamu tahu apa yang paling sukar tentang menjadi tua?”
“Apa?” Aku memandang ibu.
“Apabila kamu menyedari bahawa musuh kamu juga ada anak atau cucu yang
menangis apabila bapa atau datuk tidak pulang.”
Aku tidak menjawab.
Malam beransur menyelubungi kami. Bau hujan yang mula turun memenuhi
udara. Dari sebuah rumah berdekatan, kedengaran lagu Tamil lama yang keluar
dari televisyen yang rosak sedikit sistem bunyinya.
Kehidupan manusia berterusan dengan cara yang kecil dan biasa. Seseorang
sedang memasak rasam dan menggoreng ikan bilis untuk makan mlam. Seseorang
sedang menyiapkan kerja sekolah. Seseorang sedang bergaduh dengan pasangannya. Seseorang
sedang berdoa kepada Tuhan supaya diberi satu hari lagi untuk hidup di muka
Bumi.
Sementara itu, dalam hati seekor gagak, peperangan yang telah berlangsung selama empat tahun masih belum selesai.
(bersambung pada 6 Julai 2026)
