28 Jun 2026

Masuk Senang, Keluar Susah—Realiti Mualaf di Malaysia

Ramai orang Bukan Islam di Malaysia memahami bahawa memeluk agama islam merupakan hak individu. Namun, tidak ramai yang benar-benar memahami implikasi undang-undang apabila seseorang yang telah memeluk islam kemudian mahu meninggalkan agama itu.

Hal ini menjadi jelas apabila saya berpeluang mendengar pengalaman dna luahan rasa beberapa individu Bukan Islam yang masuk islam (mualaf) dan kemudian mengalami kesukaran untuk keluar islam (murtad). Maka, siri tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam—khasnya umat Hindu—tentang hal-hal yang perlu diketahui sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti di Malaysia, keputusan memeluk islam kadangkala dibuat atas pelbagai faktor, termasuk perkahwinan, pengaruh keluarga, tekanan sosial, keyakinan peribadi, atau harapan untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Akan tetapi, sebelum membuat keputusan yang bakal mengubah seluruh kehidupan itu, umat Bukan Islam perlu memahami satu hakikat yang jarang dibincangkan secara terbuka: Masuk islam (mualaf) jauh lebih mudah berbanding keluar islam (murtad).

Kajian akademik oleh Zanariah Dimon bertajuk “Pemulihan Akidah bagi Kes-kes Permohonan Keluar Agama Islam di Mahkamah Syariah” yang diterbitkan dalam Al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues (Jun 2017) mampu memberikan gambaran yang jelas tentang realiti ini.

Untuk rekod, Zanariah Dimon menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang Syariah dengan pengkhususan Undang-undang Islam, serta sarjana bidang Syariah di Universiti Malaya. Beliau juga pensyarah di Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangos (KUIS) atau kini Universiti Islam Selangor (UIS).

Kajian Zanariah Dimon yang diperkatakan di sini meneliti prosedur selepas seseorang memohon keluar daripada agama islam serta proses pemulihan akidah atau istitabah yang wajib dilalui sebelum Mahkamah Syariah membuat keputusan. Hasil perbualan dengan sejumlah individu mualaf, mereka mengaku tidak tahu—atau tidak ambil tahu—sehinggalah saat mereka mahu murtad dan kembali kepada agama asal.

Keadaan mereka berbeza dengan pengalaman saya secara peribadi yang sudah mengenali islam sepenuhnya—inside out—selama 50 tahun sebelum mengambil keputusan untuk “selamat tinggal”kan islam pada April 2022.

Sebagaimana dinyatakan dalam kajian oleh Zanariah Dimon, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam menentukan persoalan akidah dan status agama seseorang.

Hal ini bermakna, seseorang yang sudah didaftarkan sebagai “muslim” atau “islam” tidak boleh sekadar mengisytiharkan dirinya “Bukan Islam” atau pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar status agama pada kad pengenalan. Sebaliknya, individu berkenaan perlu terlebih dahulu mendapatkan keputusan Mahkamah Syariah.

Bagi ramai orang Bukan Islam (sama ada masih kekal dengan agama asal atau sudah masuk islam), hakikat ini mungkin mengejutkan. Mereka mungkin menganggap bahawa jika seseorang mempunyai kebebasan untuk memeluk agama tertentu, maka individu itu juga mempunyai kebebasan yang sama untuk meninggalkannya.

Namun, dari sudut undang-undang syariah yang diamalkan di Malaysia, perkara itu tidak semudah yang disangka. Pada saat seorang individu masuk islam (mualaf), dia perlu sedar bahawa dia kini terikat sepenuhnya pada undang-undang syariah; tidak ada pengecualian.

Kajian Zanariah Dimon menunjukkan hakikat bagaimana apabila seseorang memfailkan permohonan untuk keluar islam, Mahkamah Syariah lazimnya tidak akan terus membenarkan permohonan tersebut. Sebaliknya, mahkamah akan mengarahkan pemohon menjalani proses istitabah iaitu proses pemulihan akidah dan usaha membawa individu itu kembali kepada Islam.

Zanariah Dimon menyebut: “Mahkamah Syariah tidaklah terus membenarkan permohonan tersebut [permohonan keluar islam], sebaliknya mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pemohon menjalani rundingcara akidah secara sukarela atau menahan pemohon di Pusat Pemulihan Akidah untuk tempoh tertentu bagi tujuan taubat.”

Di sinilah ramai umat Bukan Islam (dan mualaf) gagal memahami keadaan sebenar. Permohonan keluar islam bukan sekadar satu proses pentadbiran. Ia sebenarnya merupakan permulaan kepada satu proses yang panjang, rumit, dan sering memakan masa bertahun-tahun. Seolah-olah tidak ada jalan keluar!

Di Negeri Sembilan, misalnya, Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan bahawa apabila permohonan diterima, hakim hendaklah menangguhkan pendengaran selama 90 hari dan menyerahkan pemohon kepada pihak Mufti untuk tujuan kaunseling.

Jika pemohon masih mahu meninggalkan islam (murtad) selepas tempoh itu, mahkamah boleh menangguhkan lagi keputusan sehingga setahun. Hanya selepas melalui keseluruhan proses tersebut, barulah mahkamah mempertimbangkan sama ada hendak mengisytiharkan individu itu bukan lagi beragama islam atau menolak permohonan untuk keluar islam. Fakta ini selalu saya kongsi dengan sesiapa yang bertanya.

Zanariah Dimon menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 “bukanlah satu laluan bagi orang-orang yang ingin murtad” tetapi merupakan mekanisme untuk menghalang seseorang daripada keluar islam dengan mudah.

Dengan kata lain, tujuan utama prosedur itu bukan untuk memudahkan seseorang meninggalkan islam tetapi untuk memujuk dan menggalakkan mereka kekal dalam islam. Hakikat ini jarang disedari umat Bukan Islam sebelum membuat keputusan masuk ialam. Dan apabila mereka sedar, semuanya sudah terlewat.

Di beberapa negeri lain, proses keluar islam (murtad) lebih berat. Di Melaka, Sabah, dan Kelantan, terdapat peruntukan khas yang membolehkan individu yang didakwa melakukan percubaan keluar islam ditahan di pusat pemulihan akidah. Tempoh tahanan itu berbeza mengikut negeri. Di Melaka, tempohnya sehingga enam bulan. Di Sabah dan Kelantan pula, tempoh tahanan boleh mencecah tiga tahun.

Sebagai contoh, Seksyen 66(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 memperuntukkan bahawa individu beragama islam—termasuk mualaf—yang mengaku mahu keluar islam boleh diperintahkan supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi tujuan pendidikan dan taubat.

Jika dia bertaubat, mahkamah boleh mengesahkan taubatnya dan membebaskannya supaya meneruskan hidup sebagai orang islam. Jika tidak, proses akan diteruskan berdasarkan laporan pegawai yang bertanggungjawab.

Apa yang berlaku di pusat pemulihan akidah pula jarang diketahui oleh masyarakat umum. Individu mualaf yang menemui saya untuk berkongsi pengalaman terdiri daripada dua kategori. Satu, langsung tidak menyedari kewujudan pusat pemulihan akidah. Dua, mengesahkan apa yang dilaporkan oleh Zanariah Dimon dalam kajian akademiknya.

Kajian itu menjelaskan bahawa Pusat Pemulihan Akidah Baitul Iman di Ulu Yam, Selangor, merupakan satu-satunya pusat khusus yang digunakan bagi tujuan tersebut. Individu yang dihantar ke sana perlu mengikuti modul pemulihan yang merangkumi empat fasa iaitu rawatan, pemulihan, pengukuhan, dan sokongan.

Sepanjang berada di pusat itu, peserta perlu mengikuti pelbagai program agama, kaunseling dan bimbingan akidah. Prestasi mereka dipantau dan direkodkan. Setiap perkembangan dimasukkan dalam laporan yang kemudian dihantar kepada mahkamah. Berdasarkan laporan itulah nanti mahkamah membuat keputusan lanjut mengenai status agama individu berkenaan. Rata-rata mualaf yang menemui saya akan terkejut dan hampir tidak peraya apabila proses ini saya ceritakan kepada mereka.

Kajian Zanariah Dimon turut menjelaskan bagaimana individu yang dibenarkan pulang selepas tempoh pemulihan biasanya ialah mereka yang telah menarik balik hasrat untuk keluar islam. Maknanya, individu itu membuat keputusan untuk kekal beragama islam; sama ada secara rela atau kerana terpaksa. Sebaliknya, individu yang masih mahu meneruskan hasrat keluar islam perlu kembali ke mahkamah untuk proses selanjutnya—biasanya mengulangi proses istitabah.

Satu lagi perkara penting yang wajar difahami ialah Mahkamah Syariah secara umumnya tidak menggunakan frasa “mengisytiharkan seseorang itu murtad”. Sebaliknya, mahkamah membuat keputusan mengenai status agama seseorang berdasarkan fakta dan pembuktian yang dikemukakan.

Dalam banyak kes yang berjaya, keputusan mahkamah bukan kerana individu itu diberi “hak untuk murtad” tetapi kerana mahkamah berpuas hati bahawa terdapat kekeliruan mengenai status agama atau individu terbabit sebenarnya tidak pernah mengamalkan islam sejak awal.

Zanariah Dimon turut memetik maklumat daripada Jabatan Mufti Selangor yang mengesahkan bahawa sehingga waktu kajian dilakukan (2017), belum ada kes seseorang yang sememangnya lahir sebagai muslim dibenarkan keluar daripada islam melalui Mahkamah Syariah. Sebaliknya, kebanyakan kes yang berjaya melibatkan golongan mualaf yang memohon untuk kembali kepada agama asal.

Semua fakta yang dipaparkan di sini membawa kepada satu kesimpulan yang amat penting. Itulah juga tujuan siri tulisan ini. Orang Bukan Islam yang bercadang memeluk islam perlu memahami bahawa keputusan tersebut bukan sekadar urusan kepercayaan peribadi. Ia juga mempunyai implikasi undang-undang yang besar dan berpanjangan—malah sehingga selepas meninggal dunia!

Sekiranya suatu hari nanti mereka berubah fikiran, proses untuk keluar islam atau murtad bukanlah proses yang mudah, cepat, atau automatik. Mereka perlu bersedia secara fikizal dan mental untuk melalui kaunseling wajib, pemantauan akidah, perintah mahkamah, tempoh menunggu yang panjang, dan dalam sesetengah negeri, tahanan di pusat pemulihan akidah.

Oleh itu, sesiapa yang sedang mempertimbangkan untuk memeluk islam perlu berfikir secara mendalam, jujur, dan matang. Keputusan itu tidak wajar dibuat kerana desakan pasangan, tekanan keluarga, urusan perkahwinan, atau harapan jangka pendek—seperti dialami kebanyakan mualaf yang berkongsi cerita dengan saya.

Ingat: Apabila anda melafazkan syahadah (tidak kiralah anda memahami atau tidak) dan didaftarkan sebagai muslim, maka anda secara automatik sudah memasuki satu sistem perundangan yang mempunyai peraturan tersendiri mengenai identiti dan status agama.

Memahami realiti ini sejak awal jauh lebih baik daripada menyesal kemudian hari apabila anda terpaksa berdepan proses yang panjang, rumit, dan dalam banyak keadaan, hampir mustahil untuk ditempuh.

Bacalah juga catatan berkaitan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay”.

Bacaan seterusnya: Apabila Mualaf Meninggal Dunia, Siapa Mewarisi Harta?

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]