Satu-satunya perkara yang saya tidak suka mengenai kumpulan
esei ini adalah penggunaan perkataan “kafir” pada judul.
Dalam acuan Islam, terdapat “kafir majusi” (orang bukan
Islam yang menyembah api), “kafir zimmi” (orang bukan Islam yang tunduk kepada
pemerintahan Islam), dan “kafir muahad” (orang bukan Islam yang tidak melawan
umat Islam).
Namun, dalam konteks Malaysia di mana pemahaman ajaran
sebenar Islam masih hanya pada permukaan, “kafir” sering membawa makna negatif,
dipandang hina, serta dianggap sebagai musuh Islam.
Buku Aku Kafir, Kau
Siapa? (2015) adalah kumpulan esei sulung Ooi Kok Hin, pemuda yang berasal
dari Pulau Pinang dan graduan The Ohio State University, Columbus, Amerika
Syarikat.
Untuk beberapa waktu, pemuda ini berbangga memperkenalkan
dirinya sebagai “kafir” menerusi laman rangkaian sosial; mungkin bagi
mempromosikan bukunya.
Buku setebal 189 halaman ini diterbitkan DuBook Press dan
merupakan buku sulung seorang penulis Bukan Melayu bagi penerbit indie ini.
Saya kagum dengan kemampuan Ooi Kok Hin menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Beliau juga menulis
kolum mingguan di The Malaysian Insider
menggunakan Bahasa Inggeris.
Seperti dinyatakan Fuad Rahmat pada bahagian prakata,
pendekatan yang digunakan Ooi Kok Hin berjaya menggabungkan kisah/pengalaman
peribadi dengan kisah/isu seputar Malaysia.
Walaupun penulis merendahkan kedudukan dengan menggelar
dirinya “kafir”, isu-isu yang disentuh menerusi 32 esei dalam buku ini
menunjukkan pandangan kritis yang dimiliki terhadap pelbagai perkara yang tidak
berani diperkatakan penulis arus perdana.
Penulis membahagikan bukunya kepada tiga bahagian, iaitu
esei-esei berkaitan kemelut pendidikan dan universiti tempatan; persoalan agama
dan kebebasan; serta politik yang tidak hanya terhad kepada parti.
Penulisannya sering bermula dengan pengalaman diri dan
berciri autobiografi. Maknanya, Ooi Kok Hin bercakap dan membahaskan isu-isu
yang berada di sekelilingnya.
Pendekatan ini membuatkan tulisannya lebih meyakinkan dan
pembaca tahu pemuda ini bercakap dari hati; bukan sekadar mengkritik dari jauh.
Pengalaman Ooi Kok Hin bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama sejak kecil
memungkinkan sudut pandangnya dalam banyak hal memiliki kepelbagaian dimensi.
Penulisannya tidak berciri memaksa orang menerima
hujah-hujah yang dikemukakan. Sebaliknya, pemuda ini hanya bercerita
berdasarkan pengalaman dan pandangan peribadi; terpulang kepada pembaca untuk
menerima atau menolak apa-apa yang diperkatakan.
Dalam soal sekolah satu aliran, nampaknya saya dan Ooi Kok
Hin mempunyai pandangan hampir sama. Sering kali orang mahu sekolah vernakular (Tamil dan Cina) beralih kepada penggunaan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar.
Akan tetapi, kelompok sama akan berpura-pura tidak menyedari
hakikat kewujudan sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) dan Kolej Mara yang menggunakan Bahasa Inggeris
sepenuhnya.
Kemelut perkauman dan prejudis kaum yang
sebenarnya ditanam dan dibajai sehingga menjadi subur sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana
menteri turut dibahaskan pemuda ini.
Kelompok penulis Bukan Melayu yang hidup dalam kalangan
masyarakat pelbagai kaum dan agama, serta menguasai lebih daripada dua bahasa,
sebenarnya memiliki kemampuan lebih baik dalam mengungkapkan isu-isu berkaitan Bangsa Malaysia.
Saya melihat Ooi Kok Hin sebagai salah seorang penulis muda
yang memiliki kelebihan itu. Para pembaca yang khatam kumpulan esei beliau akan
menyedari hakikat ini.
Pada penelitian Ooi Kok Hin, jurang antara manusia bukannya
perbezaan kaum atau agama; sebaliknya kedudukan sosio-ekonomi.
Pengalaman belajar di sekolah kebangsaan di Pulau Pinang,
kolej matrikulasi di Banting, kolej swasta di Subang Jaya, dan seterusnya
universiti di Amerika Syarikat membuka mindanya untuk mampu melihat pelbagai
isu dari sudut yang berbeza.
Isu agnostik dan LGBT yang dianggap terlalu sensitif
untuk ditulis menggunakan bahasa kebangsaan turut disentuh presiden Universiti
Terbuka Anak Muda (UTAM) ini.
Sekiranya anda ingin membaca esei-esei yang mencabar minda
dan disampaikan pula menggunakan teknik bervariasi dan Bahasa Malaysia santai,
maka buku Aku Kafir, Kau Siapa? wajar
dicari.
[Ulasan ini ditulis pada 14 Februari 2016 dan versi ringkas disiarkan di
The Malaysian Insider pada 21 Februari
2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Sila KLIK DI SINI untuk membaca lebih banyak
ulasan buku.]