Apabila
saya mengetengahkan 10 kelemahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
menerusi makalah bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016),
saya dituduh “pengkhianat” oleh akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2016). [RUJUK
MAKLUMAT PENUH DI SINI]
Anehnya,
antara perkara yang diketengahkan menerusi makalah saya bukanlah hal-hal
baharu. Malah, turut diperkatakan orang menerusi tulisan Tamil; sama ada di
blog atau Facebook.
Misalnya,
menerusi makalah saya pada 12 Januari 2016, ditegaskan “MIC wajar memastikan
semua pemimpin parti itu menghantar anak ke SJKT. Jangan hanya pandai berkempen
kepada masyarakat tetapi anak cucuk tidak dihantar ke SJKT!”
Isu
sama sebenarnya sudah diperkatakan seorang penulis dan ahli Persatuan
Penulis-penulis Tamil Malaysia, Sundar
Raj Krishnan menerusi Facebook
pada 7 Januari 2016.
Katanya,
pemimpin kita (politikus MIC) perlu menjadi contoh utama dengan menghantar
anak-anak mereka ke SJKT.
Pandangan
itu disukai (like) 27 orang, termasuk
presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Mannar Mannan Maruthai.
Suppiah Subramaniam menulis komen yang antara
lain menyebut perlunya aspek pembelajaran dan pengajaran di SJKT ditingkatkan
dahulu sebelum memujuk orang menghantar anak-anak ke sana.
“Sejak
Tun Sambanthan hingga pemimpin MIC sekarang, Dr Subramaniam, seorang pun tidak menghantar
anak-anak mereka ke sekolah Tamil. Kita jangan musnahkan hidup kita dengan
mempercayai pengkhianat kaum India seperti mereka,” kata Suppiah.
Dalam
pada itu, hampir 30% murid SJKT yang mengambil subjek Bahasa Tamil dalam UPSR
didapati meminggirkan subjek berkenaan apabila melangkah ke sekolah menengah.
Kelompok
yang kononnya memperjuangkan sekolah Tamil dan pendidikan Tamil juga mengambil
sikap tidak peduli. Akibatnya, kini timbul pertanyaan tentang masa depan
pendidikan Tamil di Malaysia.
Demikian
antara kebimbangan yang diluahkan oleh Patchaibalan
Nadarajah, guru dan penulis buku rujukan SPM Tamil Ilakiyam (“Sastera Tamil SPM”) menerusi catatan di blognya
pada 29 Mac 2015. [RUJUK DI SINI]
Penulis
Tamil dan guru SJKT, Balamurugan Kesavan
turut memperkatakan mengenai isu yang berlaku di depan mata sewaktu mengulas
makalah “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita”.
“Berapa
ramai politikus yang menggesa ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT
bertindak menghantar anak-anak mereka sendiri ke sekolah Tamil?” Balamurugan
bertanya menerusi catatan di blognya pada 13 Januari 2016. [RUJUK DI SINI]
Penulis
itu turut mengaku sekolah Tamil perlu memberikan penekanan terhadap penguasaan
Bahasa Malaysia bagi murid-murid SJKT sebagai persiapan apabila mereka
melangkah ke sekolah menengah.
Sementara itu, pencinta Bahasa Tamil dan ibu bapa sekitar Chaah, Johor
menyelar tindakan sebahagian guru besar dan guru-guru SJKT yang tidak
menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil.
Akhbar Malaysia
Nanban (24 Januari 2016)
melaporkan kenyataan yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT
Chaan, Gunasegaran menyelar sikap
hipokrit itu.
“Dalam pada akhbar dan stesen radio Tamil
menjalankan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT, ibu bapa di
sekitar Chaah marah dengan sikap sejumlah guru besar dan guru SJKT yang
menghantar anak-anak ke sekolah lain,” akhbar Tamil itu melaporkan.
Menurut Gunasegaran, apabila PIBG membuat
kempen dalam kalangan kaum India di kawasan berkenaan, ibu bapa mengemukakan
bukti menunjukkan kepincangan yang berlaku.
“Apakah guru besar dan guru-guru SJKT tidak
yakin pada sekolah Tamil? Atau mereka tidak lagi yakin pada sistem pendidikan
di SJKT?” Gunasegaran bertanya.
Katanya, guru besar dan guru-guru sekolah
Tamil yang bersikap hipokrit dengan tidak menghantar anak-anak ke SJKT wajar
melepaskan jawatan.
Persoalan mengenai mengapa guru-guru SJKT
tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil turut disiarkan sebuah
akhbar Tamil pada hujung Disember 2015.
Seorang guru memberitahu saya bahawa SJKT
tempat dia mengajar mempunyai 30 guru dan 19 daripadanya menghantar anak-anak
ke sekolah kebangsaan (SK). Guru besar sekolah itu sendiri menghantar anak ke
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)!
Apabila 10 isu berkaitan SJKT diketengahkan
menerusi makalah saya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dilaporkan berkata, “tidak ada satu pun kes
seumpama itu berlaku di SJKT”.
Akhbar Malaysia
Nanban (14 Januari 2016) memetik penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan
Sekolah-sekolah Tamil, Dr NS Rajendran
bertanya, “Apakah Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?”
Malah, menerusi e-mel bertarikh 27 Januari
2016, Dr Rajendran menegaskan, “PTST memang memiliki data sahih dan empirikal
untuk menangkis setiap 10 perkara yang telah diutarakan berkaitan SJKT oleh
saudara.” [RUJUK DI SINI]
Entah apa “data sahih dan empirikal” yang
dimiliki PTST kerana sejak makalah saya tersiar pada 12 Januari 2016, semakin
ramai guru, bekas guru, ibu bapa, bekas murid dan murid SJKT tampil berkongsi
maklumat yang membuktikan kebenaran pendedahan saya.
Pelbagai isu dan masalah tambahan juga
dikemukakan. Misalnya isu kekurangan buku rujukan, seperti diperkatakan dalam
makalah “Buku Rujukan dan Dilema SJKT” (The
Malaysian Insider, 9 Februari 2016).